Subscribe:

adds 468 x 60

Thursday, May 30, 2013

Falsafah Pegawai Memerintah

Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA

Sebagai seorang pemerintah KD MAHAWANGSA saya mempunyai falsafah dalam melaksanakan tugas. Saya berazam untuk membawa KD MAHAWANGSA ke arah kecemerlangan yang berterusan. Visi dan misi TLDM diangkat sebagai teras mengoperasikan kapal. Saya berharap dengan berpandukan tatatertib kerja yang betul dan sentiasa meletak kesedaran di tahap yang tertinggi warga kapal akan dapat melaksanakan tugas-tugas dengan efisiensi yang terbaik. Kualiti hidup juga akan terjaga dengan pemeliharaan budaya kerja yang cemerlang. Sebagai kapal yang boleh menjadi penanda-aras ataupun benchmark dalam beberapa aspek seperti 5S, OSHAS 18001:2007 & MS ISO 9001:2008, kepada pasukan-pasukan TLDM lain, saya berharap KD MAHAWANGSA terus menjalankan peranan role model yang terbaik lagi disegani.
Sebagai Pegawai Memerintah, saya terus mendukung pengharapan dari segi Sikap (Attitude), Belajar Secara Berterusan (Continuous learning), dan Semangat Berpasukan (Teamwork) dari seluruh warga KD MAHAWANGSA.
Sikap yang baik dapat ditunjukkan dengan disiplin yang baik. Setiap warga kapal perlu melatih dalam diri sendiri untuk membezakan antara perkara yang betul dan salah. Dengan meletakkan kesedaran diri yang tinggi setiap individu akan mengelakkan diri dari terleka dalam menjalankan tugas. Mereka yang tidak berjaya akan sering menanam sikap ambil kerja mudah dan sentiasa mencari alasan dalam melakukan sesuatu. Justeru, saya meletakkan harapan agar warga kapal sentiasa berfikiran “Saya boleh” berbanding “Saya tidak mampu”. Warga kapal hendaklah fokus kepada mencari penyelesaian kepada masalah selain dapat mengenal pasti akan kewujudan masalah dan kepincangan agar dapat menyumbang kepada pembangunan yang berterusan. Contohi dan ikutilah jejak langkah individu-individu yang cemerlang dan bantulah membina jati diri rakan sekerja yang kelemahan. Setiap warga kapal sama ada dari kalangan pegawai, bintara dan lasykar hendaklah mengambil setiap tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin untuk terus mengekalkan warga dengan budaya 1stClass.
Kualiti diri setiap individu dapat dipertingkatkan dengan pembelajaran yang berterusan, tanpa mengenal usia. Saya berharap setiap warga kapal mengambil peluang memperoleh ilmu dari mereka yang mempunyai kelebihan ilmu pengetahuan tidak mengira usia atau jawatan. Setiap individu mempunyai pengalaman yang tersendiri di mana ia harus dikongsi dan berkepentingan terutamanya dalam penyelesaian masalah dan pencegahan kepincangan. Mereka yang mempunyai kelebihan ilmu hendaklah memberi panduan serta tunjuk ajar yang baik dan berterusan kepada warga yang baru. Warga KD MAHAWANGSA hendaklah menjadi Positif, Produktif, Berilmu dan Berpengetahuan tinggi.
Kerja berpasukan merupakan identiti wira dan satria yang berkhidmat bawah naungan Angkatan Tentera Malaysia. “Bersatu teguh, bercerai roboh” membawa maksud bahawa keutuhan sesebuah pasukan bergantung pada kesatupaduan warga pasukan manakala kecelakaan akan menimpa pasukan ini dengan pecahnya keakraban sesama warga KD MAHAWANGSA. Kita seharusnya saling membantu antara satu sama lain dalam memelihara dan memupuk semangat kekitaan yang sedia ada. Suasana 1 keluarga perlu disemarakkan pada setiap peringkat tidak kira pegawai mahupun anggota.
Seluruh warga KD MAHAWANGSA boleh mengharapkan untuk menerima daripada saya sebagai Pegawai Memerintah “Kepimpinan, Ambil bahagian, Bertanggungjawab dan Kemajuan”.
Saya sebagai Pegawai Memerintah dengan sedaya upaya akan memimpin KD MAHAWANGSA dengan pengalaman, ilmu serta pengetahuan yang saya miliki. Saya akan sering turun padang dan membuat pemeriksaan sendiri secara hands-on. Saya berjanji akan memelihara moral dan kebajikan warga kapal dengan baik.
Sebagai pemerintah, saya mahu warga KD MAHAWANGSA bekerja bersama saya berbanding dengan bekerja untuk saya. Bahawasanya kita perlu sedar akan khidmat kita keseluruhannya adalah untuk Angkatan Tentera Malaysia dan Kerajaan Malaysia. Saya dan barisan pegawai bawah pimpinan saya akan mengamalkan sikap “menjaga tepi kain orang” dan mengambil berat agar tidak berlaku perkara yang terbiar.
Tugas saya sebagai Pegawai Memerintah akan membawa saya untuk bertanggungjawab terhadap apa jua yang berlaku di kapal selain memegang amanah yang diberi oleh perkhidmatan dan pucuk pimpinan. Saya meletakkan penerimaan penuh pada tanggungjawab yang ada dan berusaha memberi komitmen terbaik dalam menjalankan tugas saya ini.
Pengetahuan dan pengalaman yang saya miliki akan di aplikasi kepada kemajuan KD MAHAWANGSA dari aspek kerjaya dan individu. Saya percaya bahawa warga KD MAHAWANGSA adalah salah satu aset terpenting yang saya miliki dan perlu dijaga sebaik mungkin.
Akhir kata, marilah kita sama-sama meneruskan legasi KD MAHAWANGSA sebagai sebuah organisasi yang cemerlang dan terus menjadi penanda aras dalam Tentera Laut Diraja Malaysia. Saya yakin dan percaya dengan warga kapal berwibawa, berpengetahuan dan komited, akan membawa organisasi ini berlayar lebih jauh ke hadapan mengharungi cabaran. Ingatlah, dengan pengharapan saya dan penerimaan warga kapal, kita akan merealisasikan kecemerlangan KD MAHAWANGSA sepanjang perkhidmatan kita di kapal ini. Akhir kata saya berdoa kepada Allah Yang Maha Esa agar sentiasa mengurniakan berkat dan rahmat-Nya ke atas seluruh warga KD MAHAWANGSA dan keluarganya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...