Subscribe:

adds 468 x 60

Monday, October 29, 2012

EKSESAIS ANGSA 7/2012 BERJAYA CAPAI OBJEKTIF




Eksesais ANGSA Siri 7/2012 (Eks ANGSA) merupakan eksesais tahunan yang membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). ANGSA adalah singkatan Angkasa dan Samudera yang merupakan gabungan dua eksesais utama TUDM dan TLDM. Bermula daripada tahun 2006 ia telah dilaksanakan secara CPX (Command Post Exercise) dan FTX (Field Training Exercise) serta dihoskan secara bergilir-gilir antara kedua-dua perkhidmatan dimana dalam eksesais kali ini Pangkalan Udara Butterworth telah dipilih untuk menjadi lokasi utama eksesais yang dianjurkan oleh TUDM. 

Bagi edisi kali ini, buat pertama kalinya CPX dan FTX telah dilaksanakan secara serentak yang membabitkan penumpuan kepada STAFFEX (Staff Exercise) dan pelaksanaan CPX menggunakan JTLS (Joint Theatre Level System) manakala FTX tertumpu kepada pelaksanaan secara bersama diperingkat taktikal dan menggunakan kaedah SOE Driven (Schedule of Event).


Tujuan utama eksesais kali ini adalah bagi menilai keupayaan bersama (TUDM dan TLDM) dalam operasi maritim dan udara. Manakala beberapa objektifnya adalah: 

a. Menilai kesiapsiagaan TUDM dan TLDM. 

b. Meningkatkan keserasian (interopability) pasukan bersama (TUDM dan TLDM). 

c. Meningkatkan perhubungan di antara pihak awam dengan angkatan tentera. 

Eksesais yang telah dilaksanakan mulai 10 September hingga 28 September 2012 adalah berdasarkan beberapa konsep iaitu:

a. Eks ANGSA 7/2012 CPX adalah merupakan kesinambungan daripada Eks ANGSA 6/2011 dimana Pelan Kotigensi OP NUSA BENTENG TIMUR telah diterjemahkan kepada Pelan Operasi bagi diuji keberkesanan pelaksanaan operasi dengan menggunakan sistem JTLS sebagai medium untuk tujuan simulasi. 

b. Bagi menyahut seruan dan arahan kerajaan perbelanjaan berhemah adalah merupakan teras utama yang telah digunapakai bagi pelaksanaan eksesais pada tahun ini. Ini berjaya dicapai dengan mengoptimumkan penggunaan aset-aset ATM yang sedia ada merangkumi infrastruktur, peralatan dan kemudahan serta meminimumkan penyewaan bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Namun begitu, skala dan pencapaian objektif adalah tidak terjejas walaupun konsep perbelanjaan berhemah dilaksanakan dan ingin dimaklumkan bahawa skala eksesais pada siri kali ini adalah merupakan yang terbesar jika dibandingkan dengan siri-siri yang lepas.

c. Eksesais ini juga adalah bertujuan untuk menilai kesiagaan operasi TUDM dan TLDM serta bertujuan untuk meningkatkan keupayaan taktikal bagi pengoperasian bersama didalam menangani spektrum konflik maritim berdasarkan kepada persekitaran konflik semasa.


Eks ANGSA 7/2012 juga adalah satu platform bagi menilai pelaksanaan operasi dan latihan berdasarkan kepada SOP (Standard Operating Procedure) bagi pengoperasian aset tempur udara, laut dan darat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM serta menguji keberkesanan SOP berkenaan mengikut keperluan semasa. Selain itu, eksesais ini dapat mempertingkatkan dan memperkukuhkan keupayaan daya tahan (sustainability) dan kesiapsiagaan ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya.

Kemampuan dan kecekapan pengurusan ‘Combat Logistic’ serta logistik domestik merupakan antara elemen yang juga dinilai melalui pelaksanaan eksesasi ini. Sebagai menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan secara berhemah, perancangan rapi dari segi pengurusan logistik juga telah dibuat dalam pelaksanaan eksesais. Skala dan pencapaian objektif eksesasi tidak terjejas walaupun konsep perbelanjaan berhemah dilaksanakan.

Semua peringkat pegawai dan anggota yang terlibat telah mempamerkan semangat dan komitmen yang tinggi bagi memastikan tahap kesiagaan semua elemen di tahap terbaik. Kejayaan mengoperasikan aset dari pelbagai kategori secara bersama dalam satu eksesais adalah bukti keberkesanan latihan yang dilalui oleh semua peringkat pegawai dan anggota. Kerjasama sebagai satu pasukan yang ditunjukan oleh semua peserta eksesais merupakan kunci utama kepada kejayaan pencapaian objektif yang telah ditetapkan.


Eksesais pada tahun ini diketuai oleh Panglima Operasi Udara, Lt Jeneral Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM selaku Pengarah Eksesais dan dibantu oleh Pegawai memerintah Pusat Taktik dan Maritim (PUSTAKMAR), Laksamana Pertama Chin Yoon Chin. Seramai 442 orang dari tiga perkhidmatan ATM telah terlibat di dalam eksesais kali ini. 

Latihan Penembakan Misil dan Roket

Dalam pelaksanaan eksesais kali ini, ATM telah berjaya melaksanakan penembakan misil dan roket secara bersepadu di Utara Perairan Selat Melaka. Penembakan yang dilancarkan dari platform penembakan yang berbeza ini telah berjaya mengenai sasaran di permukaan pada jarak dan kelajuan yang dipogramkan.

TUDM telah melancarkan misil jenis Maverick dan Harpoon dari pesawat pejuang F/A-18D Hornet, manakala TLDM pula melancarkan misil jenis EXOCET MM40 dari Kapal Diraja (KD) LEKIU dan misil jenis Sea Skua dari helikopter TLDM iaitu Super Lynx. Sementara itu pasukan 51 Rejimen Arteleri Diraja TDM pula telah melancarkan Sistem Roket Lancar Berganda ASTROS II dari tapak penembakan di Tanjung Antu, Segari, Perak. Kesemua penembakan ini telah berjaya mengenai tepat dan memusnahkan sasaran.

Program Jiwa Murni

Program ini adalah merupakan salah satu daripada aktiviti kemasyarakatan peserta eksesais yang dilaksanakan khas bertujuan untuk mengwujudkan dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan masyarakat awam khususnya kepada Pusat Pendidikan dalam Komuniti (PPDK) An Nur Paya Keladi, Kepala Batas. Selain itu juga, pendekatan berkonsepkan ‘Military Outreach Programme’ atau program ketenteraan di kawasan pedalaman telah diguna pakai ATM khususnya oleh peserta Eks ANGSA pada program kali ini dan ia amat berkesan dalam meraih sokongan penduduk setempat sekaligus menjayakan setiap operasi dan eksesais yang telah dirancang.


Di dalam program yang dianjurkan ini, TUDM dan TLDM telah memberikan bantuan dari segi menyediakan kemudahan satu unit Water Dispenser, menggantikan pagar baru bagi kawasan sekeliling premis dan mengecat bangunan yang agak usang serta bergotong-royong membersihkan keseluruhan kawasan PPDK tersebut. Seramai 50 orang pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang juga merupakan peserta eksesais telah terlibat dalam program jiwa murni yang telah bermula sejak 25 September 2012. Majlis simbolik penyerahanWater Dispenser oleh Timbalan Eks ANGSA iaitu Laksamana Pertama Chin Yoon Chin kepada wakil penerima bagi pihak PPDK An Nur Paya keladi iaitu Pengarah JKM Pulau Pinang, En Zukifli bin Ismail telah diadakan pada 27 September 2012 yang lalu. Untuk pengetahuan, PPDK An Nur Paya Keladi ini turut menempatkan seramai lebih kurang 35 orang OKU yang masing-masingnya adalah terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa di kawasan sekitar Kepala batas. 

Majlis Penutup Eksesais

Majlis Penutup Eks ANGSA 7/2012 pada kali ini telah diadakan di Pangkalan Udara Butterworth dengan disempunakan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin bin Ali pada 28 September 2012. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jeneral Dato’ Seri Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jeneral Dato’ Roslan bin Saad TUDM, Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Operasi Udara selaku Pengarah Eks ANGSA 7/2012, Lt Jeneral Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM, Pegawai-pegawai kanan ATM serta perserta-peserta eksesais dari ketiga-tiga perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara).


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...