Subscribe:

adds 468 x 60

Friday, October 26, 2012

ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM) LANCAR PENEMBAKAN MISIL DAN ROKET SECARA BERSEPADU



Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya melancarkan penembakan misil dan roket secara bersepadu di Perairan Selat Melaka Utara sekitar jam 10 hingga 11 pagi tadi. Penembakan yang dilancarkan dari platform penembak yang berbeza ini telah berjaya mengenai sasaran permukaan pada jarak dan kelajuan yang diprogram.


Dalam penembakan pagi tadi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melancarkan misil jenis EXOCET MM40 dari Kapal Diraja (KD) LEKIU dan misil jenis Sea Skua dari helikopter TLDM jenis Super Lynx. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula telah melancarkan misil jenisMaverick dan Harpoon dari pesawat pejuang F/A-18D. Sementara itu, pasukan 51 Rejimen Artileri Diraja, Tentera Darat Malaysia (TDM) pula telah melancarkan Sistem Roket Lancar Berganda ASTROS II dari tapak penembakan di Tanjung Antu, Segari, Perak. Kesemua penembakan ini telah berjaya mengenai tepat dan memusnahkan sasaran.


Penembakan bersepadu ATM ini telah dilancarkan semasa Eksesais ANGSA 7/2012 yang melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan, Darat, Laut dan Udara yang bermula dari 10 hingga 28 Sep 12. Penembakan secara bersepadu ini dilaksanakan dalam usaha meningkatkan latihan secara bersama (joint) antara ketiga-tiga perkhidmatan. Selain itu, penembakan ini digabungkan sebagai langkah penjimatan secara perkongsian perbelanjaan dalam pengoperasian penembakan.


Penembakan bersepadu ini telah melibatkan aset bantuan ketiga-tiga perkhidmatan sebagai unsur untuk pembersihan kawasan, tim penyediaan sasaran, rakaman dan analisis. Antara aset dan unsur TLDM lain yang terlibat ialah KD MAHAWANGSA, KD PAHANG, KD TERENGGANU, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD MAHAMIRU, KTD PENYU, Bot Tempur CB 90, Tim Penyelam, Weapon Trial and Assesment Team (WTAT) dan helikopter Fennec. Sementara aset TUDM lain yang terlibat ialah pesawat SU30MKM, pesawat CN235, pesawat B200T danC130. Unit TDM yang terlibat ialah 51 Rejimen Artileri DiRaja.


Kejayaan penembakan misil dan roket bersepadu ATM ini telah sekali lagi membuktikan bahawa kesiagaan aset-aset ATM sentiasa di tahap yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara. Ia juga sekaligus meletakkan ATM antara pasukan Angkatan Tentera yang wajar digeruni di rantau ini.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Jaafar, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi dan Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Dato’ Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Operasi Udara Dato’ Seri Mohd Ackban bin Hj Abdul Samad TUDM dan Panglima Armada Laksamana Madya Dato’ Abdul Hadi bin A. Rashid hadir menyaksikan penembakan ini dari platform kapal KD MAHAWANGSA di Perairan Selat Melaka.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...