Subscribe:

adds 468 x 60

Monday, October 29, 2012

EKSESAIS ANGSA 7/2012 BERJAYA CAPAI OBJEKTIF




Eksesais ANGSA Siri 7/2012 (Eks ANGSA) merupakan eksesais tahunan yang membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). ANGSA adalah singkatan Angkasa dan Samudera yang merupakan gabungan dua eksesais utama TUDM dan TLDM. Bermula daripada tahun 2006 ia telah dilaksanakan secara CPX (Command Post Exercise) dan FTX (Field Training Exercise) serta dihoskan secara bergilir-gilir antara kedua-dua perkhidmatan dimana dalam eksesais kali ini Pangkalan Udara Butterworth telah dipilih untuk menjadi lokasi utama eksesais yang dianjurkan oleh TUDM. 

Bagi edisi kali ini, buat pertama kalinya CPX dan FTX telah dilaksanakan secara serentak yang membabitkan penumpuan kepada STAFFEX (Staff Exercise) dan pelaksanaan CPX menggunakan JTLS (Joint Theatre Level System) manakala FTX tertumpu kepada pelaksanaan secara bersama diperingkat taktikal dan menggunakan kaedah SOE Driven (Schedule of Event).


Tujuan utama eksesais kali ini adalah bagi menilai keupayaan bersama (TUDM dan TLDM) dalam operasi maritim dan udara. Manakala beberapa objektifnya adalah: 

a. Menilai kesiapsiagaan TUDM dan TLDM. 

b. Meningkatkan keserasian (interopability) pasukan bersama (TUDM dan TLDM). 

c. Meningkatkan perhubungan di antara pihak awam dengan angkatan tentera. 

Eksesais yang telah dilaksanakan mulai 10 September hingga 28 September 2012 adalah berdasarkan beberapa konsep iaitu:

a. Eks ANGSA 7/2012 CPX adalah merupakan kesinambungan daripada Eks ANGSA 6/2011 dimana Pelan Kotigensi OP NUSA BENTENG TIMUR telah diterjemahkan kepada Pelan Operasi bagi diuji keberkesanan pelaksanaan operasi dengan menggunakan sistem JTLS sebagai medium untuk tujuan simulasi. 

b. Bagi menyahut seruan dan arahan kerajaan perbelanjaan berhemah adalah merupakan teras utama yang telah digunapakai bagi pelaksanaan eksesais pada tahun ini. Ini berjaya dicapai dengan mengoptimumkan penggunaan aset-aset ATM yang sedia ada merangkumi infrastruktur, peralatan dan kemudahan serta meminimumkan penyewaan bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Namun begitu, skala dan pencapaian objektif adalah tidak terjejas walaupun konsep perbelanjaan berhemah dilaksanakan dan ingin dimaklumkan bahawa skala eksesais pada siri kali ini adalah merupakan yang terbesar jika dibandingkan dengan siri-siri yang lepas.

c. Eksesais ini juga adalah bertujuan untuk menilai kesiagaan operasi TUDM dan TLDM serta bertujuan untuk meningkatkan keupayaan taktikal bagi pengoperasian bersama didalam menangani spektrum konflik maritim berdasarkan kepada persekitaran konflik semasa.


Eks ANGSA 7/2012 juga adalah satu platform bagi menilai pelaksanaan operasi dan latihan berdasarkan kepada SOP (Standard Operating Procedure) bagi pengoperasian aset tempur udara, laut dan darat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM serta menguji keberkesanan SOP berkenaan mengikut keperluan semasa. Selain itu, eksesais ini dapat mempertingkatkan dan memperkukuhkan keupayaan daya tahan (sustainability) dan kesiapsiagaan ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya.

Kemampuan dan kecekapan pengurusan ‘Combat Logistic’ serta logistik domestik merupakan antara elemen yang juga dinilai melalui pelaksanaan eksesasi ini. Sebagai menyahut seruan kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan secara berhemah, perancangan rapi dari segi pengurusan logistik juga telah dibuat dalam pelaksanaan eksesais. Skala dan pencapaian objektif eksesasi tidak terjejas walaupun konsep perbelanjaan berhemah dilaksanakan.

Semua peringkat pegawai dan anggota yang terlibat telah mempamerkan semangat dan komitmen yang tinggi bagi memastikan tahap kesiagaan semua elemen di tahap terbaik. Kejayaan mengoperasikan aset dari pelbagai kategori secara bersama dalam satu eksesais adalah bukti keberkesanan latihan yang dilalui oleh semua peringkat pegawai dan anggota. Kerjasama sebagai satu pasukan yang ditunjukan oleh semua peserta eksesais merupakan kunci utama kepada kejayaan pencapaian objektif yang telah ditetapkan.


Eksesais pada tahun ini diketuai oleh Panglima Operasi Udara, Lt Jeneral Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM selaku Pengarah Eksesais dan dibantu oleh Pegawai memerintah Pusat Taktik dan Maritim (PUSTAKMAR), Laksamana Pertama Chin Yoon Chin. Seramai 442 orang dari tiga perkhidmatan ATM telah terlibat di dalam eksesais kali ini. 

Latihan Penembakan Misil dan Roket

Dalam pelaksanaan eksesais kali ini, ATM telah berjaya melaksanakan penembakan misil dan roket secara bersepadu di Utara Perairan Selat Melaka. Penembakan yang dilancarkan dari platform penembakan yang berbeza ini telah berjaya mengenai sasaran di permukaan pada jarak dan kelajuan yang dipogramkan.

TUDM telah melancarkan misil jenis Maverick dan Harpoon dari pesawat pejuang F/A-18D Hornet, manakala TLDM pula melancarkan misil jenis EXOCET MM40 dari Kapal Diraja (KD) LEKIU dan misil jenis Sea Skua dari helikopter TLDM iaitu Super Lynx. Sementara itu pasukan 51 Rejimen Arteleri Diraja TDM pula telah melancarkan Sistem Roket Lancar Berganda ASTROS II dari tapak penembakan di Tanjung Antu, Segari, Perak. Kesemua penembakan ini telah berjaya mengenai tepat dan memusnahkan sasaran.

Program Jiwa Murni

Program ini adalah merupakan salah satu daripada aktiviti kemasyarakatan peserta eksesais yang dilaksanakan khas bertujuan untuk mengwujudkan dan mengeratkan hubungan serta kerjasama dengan masyarakat awam khususnya kepada Pusat Pendidikan dalam Komuniti (PPDK) An Nur Paya Keladi, Kepala Batas. Selain itu juga, pendekatan berkonsepkan ‘Military Outreach Programme’ atau program ketenteraan di kawasan pedalaman telah diguna pakai ATM khususnya oleh peserta Eks ANGSA pada program kali ini dan ia amat berkesan dalam meraih sokongan penduduk setempat sekaligus menjayakan setiap operasi dan eksesais yang telah dirancang.


Di dalam program yang dianjurkan ini, TUDM dan TLDM telah memberikan bantuan dari segi menyediakan kemudahan satu unit Water Dispenser, menggantikan pagar baru bagi kawasan sekeliling premis dan mengecat bangunan yang agak usang serta bergotong-royong membersihkan keseluruhan kawasan PPDK tersebut. Seramai 50 orang pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang juga merupakan peserta eksesais telah terlibat dalam program jiwa murni yang telah bermula sejak 25 September 2012. Majlis simbolik penyerahanWater Dispenser oleh Timbalan Eks ANGSA iaitu Laksamana Pertama Chin Yoon Chin kepada wakil penerima bagi pihak PPDK An Nur Paya keladi iaitu Pengarah JKM Pulau Pinang, En Zukifli bin Ismail telah diadakan pada 27 September 2012 yang lalu. Untuk pengetahuan, PPDK An Nur Paya Keladi ini turut menempatkan seramai lebih kurang 35 orang OKU yang masing-masingnya adalah terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa di kawasan sekitar Kepala batas. 

Majlis Penutup Eksesais

Majlis Penutup Eks ANGSA 7/2012 pada kali ini telah diadakan di Pangkalan Udara Butterworth dengan disempunakan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin bin Ali pada 28 September 2012. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jeneral Dato’ Seri Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jeneral Dato’ Roslan bin Saad TUDM, Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Operasi Udara selaku Pengarah Eks ANGSA 7/2012, Lt Jeneral Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM, Pegawai-pegawai kanan ATM serta perserta-peserta eksesais dari ketiga-tiga perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara).


Friday, October 26, 2012

ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM) LANCAR PENEMBAKAN MISIL DAN ROKET SECARA BERSEPADU



Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya melancarkan penembakan misil dan roket secara bersepadu di Perairan Selat Melaka Utara sekitar jam 10 hingga 11 pagi tadi. Penembakan yang dilancarkan dari platform penembak yang berbeza ini telah berjaya mengenai sasaran permukaan pada jarak dan kelajuan yang diprogram.


Dalam penembakan pagi tadi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melancarkan misil jenis EXOCET MM40 dari Kapal Diraja (KD) LEKIU dan misil jenis Sea Skua dari helikopter TLDM jenis Super Lynx. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula telah melancarkan misil jenisMaverick dan Harpoon dari pesawat pejuang F/A-18D. Sementara itu, pasukan 51 Rejimen Artileri Diraja, Tentera Darat Malaysia (TDM) pula telah melancarkan Sistem Roket Lancar Berganda ASTROS II dari tapak penembakan di Tanjung Antu, Segari, Perak. Kesemua penembakan ini telah berjaya mengenai tepat dan memusnahkan sasaran.


Penembakan bersepadu ATM ini telah dilancarkan semasa Eksesais ANGSA 7/2012 yang melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan, Darat, Laut dan Udara yang bermula dari 10 hingga 28 Sep 12. Penembakan secara bersepadu ini dilaksanakan dalam usaha meningkatkan latihan secara bersama (joint) antara ketiga-tiga perkhidmatan. Selain itu, penembakan ini digabungkan sebagai langkah penjimatan secara perkongsian perbelanjaan dalam pengoperasian penembakan.


Penembakan bersepadu ini telah melibatkan aset bantuan ketiga-tiga perkhidmatan sebagai unsur untuk pembersihan kawasan, tim penyediaan sasaran, rakaman dan analisis. Antara aset dan unsur TLDM lain yang terlibat ialah KD MAHAWANGSA, KD PAHANG, KD TERENGGANU, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD MAHAMIRU, KTD PENYU, Bot Tempur CB 90, Tim Penyelam, Weapon Trial and Assesment Team (WTAT) dan helikopter Fennec. Sementara aset TUDM lain yang terlibat ialah pesawat SU30MKM, pesawat CN235, pesawat B200T danC130. Unit TDM yang terlibat ialah 51 Rejimen Artileri DiRaja.


Kejayaan penembakan misil dan roket bersepadu ATM ini telah sekali lagi membuktikan bahawa kesiagaan aset-aset ATM sentiasa di tahap yang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan negara. Ia juga sekaligus meletakkan ATM antara pasukan Angkatan Tentera yang wajar digeruni di rantau ini.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Jaafar, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi dan Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Dato’ Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Operasi Udara Dato’ Seri Mohd Ackban bin Hj Abdul Samad TUDM dan Panglima Armada Laksamana Madya Dato’ Abdul Hadi bin A. Rashid hadir menyaksikan penembakan ini dari platform kapal KD MAHAWANGSA di Perairan Selat Melaka.


Monday, October 22, 2012

ANGSA CUP: Kehebatan Armada TLDM Tiada Tandingan

Sumber: Lt Hafiz TLDM
            Pem. Peg. Jurutera Elektrik dan Senjata 2

Acara sukan ANGSA telah diadakan di padang sukan No. 18 Skuadron, Pangkalan TUDM Butterworth sempena tamat Eksesais ANGSA 2012. Dua jenis sukan telah dipertandingi iaitu bola sepak dan bola tampar. 


Perlawanan ini adalah antara TUDM dan TLDM, dimana KD LEKIU, KD PAHANG, KD SELANGOR dan KD MAHAWANGSA sebagai gabungan membentuk pasukan TLDM. 

Acara bola sepak bermula pada 9 pagi dan ditonton oleh penyokong dari pasukan masing-masing yang bertanding. Keputusan akhir bola sepak adalah 8-0 dengan kemenangan berpihak pada TLDM. 3 gol dijaringkan oleh Lt Azmir TLDM, 3 gol oleh Lt Ridzwan TLDM, 1 gol oleh Lt Hafiz TLDM dan 1 gol oleh LK I KOM Iqbal. Kehebatan pasukan bola sepak Armada TLDM memang tiada tandingan, sebelum ini pasukan Armada TLDM telah menewaskan Arsenal FC.

Acara sukan ANGSA diakhiri pada 11 pagi dengan santapan ringan disediakan oleh pihak TUDM Butterworth.

Monday, October 15, 2012

MAJLIS DINING OUT PEGAWAI DALAM LATIHAN

Sumber: Lt Mohd Fauzi bin Amayah TLDM 
             Pembantu Pegawai Peperangan Elektronik


Pada 26 September yang lalu, satu majlis makan malam bertempat di Ocean Blue Seafood Station, Pulau Pinang telah dianjurkan oleh 4 orang Pegawai Dalam Latihan KD MAHAWANGSA. Setelah 4 bulan menjalani latihan fasa pertama di KD MAHAWANGSA, Keempat-empat orang Pegawai Latihan akan meneruskan latihan fasa kedua selama 4 bulan di unit-unit di Pangkalan TLDM pula.Majlis yang bermula pada jam 2030H itu telah dihadiri oleh Yang Berbahagia Pegawai Memerintah, Kepten Roslee bin Mohamad Isa TLDM. Majlis tersebut juga turut diserikan dengan kehadiran kesemua pegawai KD MAHAWANGSA walaupun terpaksa meredah hujan. 


Pelbagai ilmu pengetahuan telah dipelajari sepanjang berada di KD MAHAWANGSA termasuklah dari segi aspek pengendalian kapal dan juga pengurusan KD MAHAWANGSA serta yang paling penting bagi seorang pegawai adalah bagaimana menjadi Pegawai Bahagian yang bertanggungjawab dan dihormati oleh anggota bawahan. Pelbagai masalah akan timbul dalam kalangan anggota bawahan jika Pegawai Bahagian memandang rendah berkenaan perkara ini. Para Pegawai Dalam Latihan diberikan tunjuk ajar yang sebaiknya oleh kesemua warga KD MAHAWANGSA yang sangat prihatin ke atas aspek latihan Pegawai Dalam Latihan ini. 


Majlis makan malam tersebut berakhir pada jam 2200H dan kesemua Pegawai Dalam Latihan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terutamanya kepada Yang Berbahagia Pegawai Memerintah kerana beliau memberikan kebenaran bagi kami menjalani latihan di KD MAHAWANGSA. Tidak lupa juga kepada semua pegawai KD MAHAWANGSA kerana tidak menegur dan memberikan tunjuk ajar kepada kesemua Pegawai Dalam Latihan sepanjang menjalani latihan di KD MAHAWANGSA. Diharapkan kepada semua Pegawai Dalam Latihan dapat mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari di unit-unit selepas ini.


Monday, October 08, 2012

Open Ship di Penang

Sumber: Lt Muhammad Hafiz Mohammad TLDM

             Pembantu Ketua Pegawai Peperangan

Selesai sudah Eksesais Angsa 7/12 KD MAHAWANGSA kini KD MAHAWANGSA disambut mesra oleh seluruh penduduk Pulau Mutiara setibanyanya kapal merapat di Jeti Star Cruise Swetteham Port, Pulai Pinang pada 25 September 2012. 


Pada 25 September lalu,KD MAHAWANGSA sekali lagi membuat Open Ship untuk orang awam di Penang. Sungguh di luar jangkaan apabila sambutan lawatan dari seluruh penduduk Penang amat memberansangkan. Kapal dibuka untuk lawatan bermula jam 1000H dan bermula dari jam itulah pengunjung mula berpusu-pusu datang untuk membuat lawatan ke kapal. Selain itu turut sama mengadakan Open Ship adalah KD LEKIU yang berada di jeti yang sama. Ini membuktikan bahawa penduduk Penang untuk datang melihat sendiri aset negara yang masih cantik, berfungsi dengan baik serta menjadi kebanggaan negara. Warga kapal telah menunjukkan sikap semangat kerja yang bersungguh, komited serta ikhlas menunaikan amanah yang diberi ditambahpula dengan sokongan yang diberikan oleh perkhidmatan memenuhi keperluan operasi. 


Sepanjang sehari suntuk kapal dibuka untuk lawatan, pengunjung yang hadir mencecah jumlah yang agak memberangsangkan. Ini merupakan suatu penghargaan yang diberi oleh seluruh penduduk Penang yang sanggup meluangkan sedikit masa mereka untuk melawat kapal walaupun hari tersebut adalah hari bekerja. Pengunjung diberi taklimat keselamatan terlebih dahulu mengenai "do’s and don’ts" sepanjang berada di atas kapal dari aspek keselamatan. Ini sejajar dengan anugerah yang diterima oleh kapal iaitu Operational Health and Safety System (OHSAS). 


Pelawat juga didedahkan dengan sistem pengurusan dan kepimpinan berkesan apabila mereka sendiri menyaksikan tahap kebersihan dan moral warga kapal yang tinggi. Walaupun warga 1 Mahawangsa terpaksa mengorbankan masa melayani pengunjung, namun atas semangat "proud with the best damn ship in the navy", warga 1 Mahawangsa telah melakukan yang terbaik bagi memastikan para pengunjung mendapat layanan yang baik dan mesra sekali gus menaikkan nama baik dan imej TLDM. 

Peluang sebegini haruslah diperluaskan lagi agar seluruh rakyat 1 Malaysia dapat merasai serta melihat sendiri bagaimana anggota tentera menjaga aset kerajaan yang telah diamanahkan oleh mereka untuk kita kendalikan sebaik mungkin.


Saturday, October 06, 2012

PELAYARAN BERSAMA PENJAWAT AWAM


Lumut, 2 Okt – Peluang pelayaran selama empat jam bersama aset TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) SELANGOR di sekitar Perairan Pangkor tidak dilepaskan oleh seramai 52 orang kakitangan awam yang berkhidmat di unit bawah Formasi Markas Armada sempena Majlis Mesra Panglima Armada Bersama Penjawat Awam pagi tadi.


Dalam pelayaran ini, penjawat awam dapat merasai sendiri dan melihat gambaran dengan lebih jelas tentang tugas dan peranan yang dipikul oleh warga TLDM khususnya yang bertugas di kapal. Mereka berpeluang melihat bagaimana warga kapal bertindak terhadap situasi di laut dimana memerlukan komitmen serta tindakan yang pantas dan efisyen bagi membantu menjayakan sesuatu misi.


Sepanjang pelayaran, penerangan Dalam pelayaran tersebut, beberapa demostrasi telah di buat seperti pendaratan helikopter fennec, latihan kebakaran dan juga stesen bertindak bagi melawan musuh..

Menurut Ramli Hamdan, 53, “sepanjang berkhidmat bersama TLDM selama 34 tahun, ini merupakan pengalaman pertama saya mengikuti pelayaran bersama kapal TLDM dan ianya amat bermakna dalam hidup saya. Tambah beliau lagi, “saya sangat seronok kerana saya adalah antara kakitangan yang terpilih untuk merasai pengalaman yang seumpamanya”. Ujarnya lagi, “aktiviti seperti ini wajar diteruskan lagi pada masa akan datang kerana sekurang-kurangnya mereka dapat serba sedikit gambaran terhadap peranan dan tugas yang digalas oleh warga TLDM.


Bagi Roziah bt Kasim pula, “pada mulanya, saya merasa agak cemas kerana ini merupakan kali pertama saya manaiki kapal perang namun segalanya berubah apabila saya diberi taklimat dan lawatan oleh pegawai-pegawai serta warga KD SELANGOR. Pengalaman dan pendedahan cara kerja warga TLDM sekaligus membuatkan saya rasa kagum dengan kecekapan dan kebolehan yang ditonjolkan. Pengalaman bekerja di bahagian pentadbiran Markas Armada sama sekali berbeza dengan apa yang dialami hari ini”, katanya yang juga merupakan isteri kepada bekas anggota TLDM.

Seterusnya mereka dibawa ke KD MAHAWANGSA untuk hidangan makan tengahari bersama Panglima Markas Armada, Laksamana Madya Dato’ Abdul Hadi bin A. Rashid, Ketua Staf Markas Armada, Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Hj Mohamad Adib bin Abdul Samad, pegawai memerintah KD SELANGOR, Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA, Pegawai memerintah KD JEBAT serta pegawai- pegawai kanan Markas Armada.


Di kesempatan itu, Panglima Markas Armada melahirkan perasaan sukacita beliau kerana mereka telah berjaya mengharungi pelayaran bersama warga kapal dan diharap mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberikan dan seterusnya dapat memberikan khidmat yang terbaik dalam mendokong usaha TLDM dalam usaha memantap serta mengukuhkan lagi perkhidmatan TLDM dimata dunia.


Monday, October 01, 2012

SENAMROBIK DI PADANG KOTA LAMA PENANG

Sumber: Lt Shaiful TLDM
             Pegawai Persuratan


Tiada rasa yang dapat dizahirkan lagi selain perasaan syukur yang tidak terhingga setibanya KD MAHAWANGSA di pelabuhan awam Swetenham Port Penang setelah tamatnya Eksesais ANGSA 7/12. Tidak dinafikan fasa laut selama seminggu ini sangat memberi impak kepada warga 1MAHAWANGSA serta kapal yang terlibat dari segi fizikal dan mental. 


Justeru dengan keprihatinan RNO PENANG selaku tuan rumah telah menyediakan aktiviti riadah bagi semua warga kapal yang terlibat dengan Eksesais ANGSA 7/12. Senamrobik ini bukan sekadar aktiviti riadah semata-mata malah ia juga merupakan terapi bagi individu yang berhadapan dengan masalah dan tekanan. 

Bermula seawal pukul 8 pagi, semua warga kapal dikehendaki berkumpul di Padang Kota Lama Penang. Sedikit taklimat mengenai senamrobik diberikan sebelum mulanya acara. Seramai enam instructor yang berpengalaman dijemput bagi mengajar serta menunjukkan cara dan teknik senamrobik. 


Tidak ketinggalan sikap turun padang Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA dan KD LEKIU yang turut hadir untuk mengikuti aktiviti senamrobik ini sangat membanggakan setiap warga kapal yang berkhidmat di bawah pemerintahan mereka. Kesan positif senamrobik ini jelas terpapar pada wajah-wajah ceria warga 1MAHAWANGSA di setiap penjuru dan ruang Padang Kota Lama Penang. 


Senamrobik ini tamat pada pukul 10.15 pagi dan sebagai menghargai kerjasama dan komitmen setiap warga 1MAHAWANGSA, Pegawai Memerintah bersetuju untuk membenarkan warga 1MAHAWANGSA yang tidak bertugas berkelepasan selesai sahaja senamrobik ini. Ribuan terima kasih diucapkan kepada RNO PENANG kerana keprihatinan yang diberikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...