Subscribe:

adds 468 x 60

Wednesday, September 26, 2012

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI ARMADA 2012



LUMUT, 8 Sep 12 – Kehangatan sambutan Aidilfitri yang sudah masuk hari ke-21 bulan syawal kalendar Islam 1433 hijrah ini diteruskan dengan Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Armada 2012. Majlis yang penuh meriah ini telah diadakan di Helipad Markas Armada TLDM dan warga armada mula membanjiri kawasan tersebut sejak dari jam 7.45 petang lagi. Telah menjadi acara tahunan dalam kalendar armada di pangkalan TLDM Lumut, namun pada tahun ini agak berbeza sedikit kerana sambutan tahun ini diraikan bukan sahaja bersama keluarga tetapi bersama Pegawai Kanan Armada yang baru iaitu Kepten Abd Halim bin Hj Shaari TLDM.


Pelbagai juadah istimewa telah disediakan antaranya, lemang, ketupat, nasi himpit, lontong, pasembur, bihun SinJo, rendang, kuah kacang dan laksa Penang. Rata-rata juadah yang dihidangkan merupakan hasil dari penggemblengan tenaga oleh warga armada dalam menyiapkan juadah yang istimewa mengikut penugasan menu kapal masing-masing. Pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan dari wakil skuadron antaranya, 31 MPCSS dengan sketsa Jejak Kasihan, Frigat ke-21 dengan persembahan Nasyid Moden, Frigat ke-23 dengan Dikir Barat Moden, Korvet 24 dengan pantomen Merdekaraya, Skuadron 36 Hidro dengan persembahan Muzikalraya, Korvet 22 dengan sketsa Maskot Armada Mr Popeye, Kapal Ronda ke-17 dengan sketsa Suasana Hari Raya serta Skuadron Penangkis Periukapi 26 dengan Tarian Seloka Raya.


Tidak ketinggalan juga, acara yang dinanti-nantikan oleh anak-anak warga armada iaitu pemberian ‘Duit Raya’. Sebanyak 1000 keping sampul ‘Duit Raya’ telah diagihkan sekaligus menambah keceriaan kanak-kanak kecil warga armada yang hadir. Dan sudah tentu mereka akan pulang dengan wajah senyuman yang menawan.


Kira-kira 2500 orang warga armada bersama keluarga masing-masing telah memeriahkan Sambutan Aidilfitri kali ini dan majlis turut diserikan dengan kehadiran Panglima Sistem Armada, Laksamana Muda Dato’ Hj Khairuddin bin Khalid dan isteri, Datin Radzi binti Abd Manap. 


Bagi pihak Pegawai Kanan Armada dan seluruh warga Armada diucapkan syabas dan jutaan penghargaan kepada pihak yang menjayakan majlis ini. Kesungguhan dan komitmen tinggi yang dicurahkan oleh setiap kapal dan warga Armada sungguh membanggakan. Salam Aidilfitri kepada semua warga armada yang sedang bertugas di perantauan. Bravo Zulu. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...