Subscribe:

adds 468 x 60

Saturday, August 11, 2012

OSTEX 2012- TINGKATKAN KEUPAYAAN DAN KECEKAPAN TLDM DALAM PEPERANGAN MARITIM


Lumut, 2 Jul 12- Majlis Pembukaan Operational Sea Training Exercise (OSTEX) 2012 telah disempurnakan oleh Panglima Armada, Laksamana Madya Dato’ Abd Hadi bin A. Rashid di Pusat Taktik Maritim, Pangkalan TLDM, Lumut. Turut hadir Ketua Staf Markas Armada, Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Mohamad Adib bin Abdul Samad, Panglima-panglima, Pegawai Memerintah, Pegawai-pegawai Kanan dan Pegawai-pegawai yang berpangkalan di Lumut. 


OSTEX 2012 melibatkan secara langsung aset TLDM yang terdiri daripada lapan buah kapal iaitu KD JEBAT, KD LEKIU, KD SELANGOR, KD KELANTAN, KD PAHANG, KD PERAK dan KD MAHAMIRU, sebuah aset strategik negara, kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN, sebuah helikopter Super Lynx dan sebuah helikopter FENNEC. 

Selain daripada aset-aset TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bakal menyumbang dalam pelaksanaan latihan gabungan TLDM ini dengan menugaskan dua buah pesawat pejuang HAWK, sebuah pesawat MPA (Maritime Patrol Aircraft) dan sebuah pesawat CN235.

Panglima Armada dalam ucapannya menyatakan bahawa dengan perlaksanaan eksesais ini memberi kesempatan untuk kita menguji keberkesanan peralatan dan keupayaan Tim Pemerintah kapal. Peluang untuk beroperasi dalam satu Gugus Tugas jarang diperolehi dan kesempatan ini harus dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi meningkatkan tahap kecekapan dan prestasi setiap warga kapal. Beliau juga yakin eksesais ini dapat membantu anggota-anggota TLDM dalam menilai keberkesanan latihan individu, tim dan kapal serta menguji keupayaan kerjasama setiap warga yang terlibat.


Beliau juga menegaskan dalam melaksanakan eksesais ini, hendaklah sentiasa memberi keutamaan dan perhatian serius serta tidak berkompromi dalam aspek keselamatan. Ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Ambil iktibar dari kejadian yang telah berlaku dan elakkannya dari berulang. Lazimnya kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian manusia.

Setiap peringkat pegawai dan anggota juga diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam melaksanakan tugas. Jangan sesekali mengamalkan sikap ambil mudah atau ‘taking things for granted and allow complacency to set in’ semasa menjalankan tugas. Beliau juga berharap agar Pegawai Memerintah, Pegawai-pegawai, Bintara-bintara serta semua yang terlibat di dalam eksesais ini memainkan peranan masing-masing supaya tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.


Di akhir ucapan, Panglima Armada menegaskan dan berharap supaya semua yang terlibat dalam eksesais ini akan berusaha bersungguh-sungguh dan memperoleh manfaat sepenuhnya dari latihan yang dirancang dan bakal dilaksanakan. Segala kekangan yang ada pada aset yang telah berusia jangan dijadikan alasan untuk tidak melakukan yang terbaik dan melaksanakan eksesais dengan lancar seterusnya mencapai objektif yang digariskan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...