Subscribe:

adds 468 x 60

Thursday, June 28, 2012

Lawatan 5S Oleh UiTM Seri Iskandar

Sumber: Lt Muhammad Hafiz Bin Mohammad TLDM
             Pembantu Ketua Pegawai Peperangan


26 Jun 2012 - Kejayaan KD Mahawangsa mendapat pengiktirafan cemerlang audit Amalan 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal) dikagumi pelbagai agensi kerajaan dan swasta sehingga ada yang ingin menjadikan kapal logistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sebagai model untuk dicontohi. Walaupun sentiasa sibuk dengan rutin kerja harian namun warga 1 MAHAWANGSA dengan berbesar hati menerima kunjungan Lawatan 5S seramai 80 orang pensyarah dan staf dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar yang tiba seawal jam 10 pagi. 


Ketibaan rombongan ini disambut dengan mesra oleh Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA, Kept Jamel bin Abd Rahman TLDM yang kemudiannya membawa rombongan ke Geladak Kereta Kebal untuk mendengar kata-kata aluan daripada Pegawai Memerintah dan menonton tayangan montaj Amalan 5S. 

Pada ucapan pembukaan yang berlangsung di Geladak Kereta Kebal, Pegawai Memerintah KD Mahawangsa, Kapten Jamel Abd. Rahman berkata, Amalan 5S amat berbaloi dilaksanakan kerana berjaya mewujudkan suasana kerja yang lebih sistematik serta profesional. 


"Cabaran melaksanakannya akan menjadi lebih mudah jika mendapat kerjasama setiap warga kapal tanpa mengira hierarki pangkat dan kejayaan kapal ini adalah atas kerjasama dan pengorbanan yang dilakukan oleh setiap warga kapal demi memastikan kapal mencapai tahap pencapaian seperti sekarang.," katanya.

 
Seterusnya, rombongan dibawa melawat ke sekitar kapal mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Penerangan 5S yang cukup bersemangat dan bertenaga sepanjang lawatan oleh Pegawai Memerintah, Pegawai Laksana dan para pegawai lain telah menaikkan lagi perasaan teruja rombongan dari UiTM tentang budaya dan amalan 5s yang telah diterapkan di kapal ini. 

Dalam ucapan balas oleh YBHG. Prof Ir. Dr Hjh Zainab bt Mohamed selepas melakukan Lawatan 5S di sekeliling kapal, beliau tidak menjangka KD MAHAWANGSA dapat mengekalkan tahap Amalan 5S setelah hampir 6 bulan setelah dipersijilkan. Malah berasa kagum kerana sentiasa dikemaskinikan walaupun banyak krew kapal telah bertukar keluar. Ini menunjukkan pihak pengurusan menitik beratkan Amalan 5S ini diserapkan di minda krew kapal. Tambah beliau, meskipun ada banyak lagi agensi lain yang memperoleh sijil Amalan 5S, pelaksanaannya di KD MAHAWANGSA menarik perhatian beliau kerana dilihat hampir sempurna. 


"Saya kagum dengan kesungguhan dan disiplin kakitangan kapal yang telah menjadikan 5S sebagai amalan seharian mereka.Lawatan ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk saya laksanakan di kampus nanti," katanya dalam ucapan balas. 


Diharapkan lawatan kali ini memberi manfaat yang besar kepada yang hadir dan kami warga 1MAHAWANGSA berbangga kerana kejayaan kami dapat dikongsi bersama dengan rakyat 1MALAYSIA. Sedia Berkorban.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...