Subscribe:

adds 468 x 60

Thursday, May 03, 2012

Wawancara Bersama Kepten Jamel bin Abd Rahman TLDM Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA

Sumber: www.kdsriklang.org


Bersempena latihan aktiviti pelayaran yang diadakan pada 9 hingga 13 April 2012 yang lalu, satu sesi wawancara Pegawai-pegawai PSSTLDM KD SRI KLANG bersama Kepten Jamel bin Abd Rahman TLDM telah diadakan di kamar beliau di KD MAHAWANGSA. Temubual tersebut diadakan bertujuan untuk menyusuri latar belakang dan berkongsi pengalaman dengan orang No.1 dalam KD MAHAWANGSA iaitu Pegawai Memerintahnya sebagai seorang pegawai tentera yang telah berkhidmat selama 31 tahun dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di samping berkongsi tentang kejayaan-kejayaan serta suka duka memerintah sebuah kapal yang terbesar dalam TLDM ketika ini. 

Wawancara telah dimulakan dengan menyingkap kembali zaman kelahiran dan permulaan kehidupan beliau. Kepten Jamel Bin Abd Rahman TLDM telah dilahirkan pada 23 April 1963 di Ipoh, Perak Darul Ridzuan dan mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Sg. Rokam, Ipoh dan melanjutkan pelajaran ke Sek. Men. Raja Chulan sehingga tingkatan tiga serta seterusnya menyertai Maktab Tentera Diraja (MTD) sehingga ke tingkatan lima. Penglibatan beliau dalam TLDM bermula sebagai pegawai kadet TLDM pada tahun 1981 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM pada tahun 1983. Beliau melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Universiti Malaya dalam Pengajian Strategi Pertahanan di bawah tajaan TLDM dan pada tahun 2002 melanjutkan pelajaran Sarjana Pengurusan di universiti yang sama. 

Beliau pernah menjalani beberapa kursus kerjaya tajaan TLDM diluar negara seperti Kursus panjang Komunikasi di India selama 7 bulan dan Kursus Peperangan Anti Kapal Selam dan Peperangan Periuk Api selama 6 bulan di Amerika Syarikat. Beliau juga adalah Alumni ‘Asia Pacific Centre for Security Studies’ (APCSS) di Hawaii dan telah mengikuti kursus Pengurusan dan Kepimpinan di University of Cambridge, UK selama 6 bulan. 


Sepanjang karier beliau dalam TLDM, beliau pernah berkhidmat di kapal-kapal TLDM dan pangkalan. Antara jawatan yang pernah disandang beliau sebagai Pegawai Memerintah ialah Pegawai Memerintah KD LEDANG, Pegawai Memerintah Stesen Komunikasi TLDM, Pegawai Memerintah Pusat Kepimpinan TLDM, Pegawai Memerintah KD PELANDOK dan kini adalah Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA yang juga dikenali sebagai ‘The Best Damn Ship In The Navy’. 

Di bawah pemerintahan beliau, KD MAHAWANGSA telah berjaya mendapatkan beberapa pengiktirafan melalui persijilan Polisi Amalan Persekitaran Berkualiti (5S), OHSAS dan ISO 9001/2008. Sistem 5S merupakan suatu amalan bagi meningkatkan prestasi kerja dengan membentuk budaya kerja yang berkualiti dan kondusif. Objektis 5S adalah mewujudkan tempat kerja yang bersih, kemas dan sistematik untuk keselesaan kakitangan, meningkatkan kerjasama antara kakitangan dalam melaksanakan tugasan harian serta mewujudkan disiplin yang tinggi dan berhemah di kalangan kakitangan, serta memastikan keselamatan di tempat kerja untuk setiap kakitangan adalah terjamin agar dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kerja melalui penerapan budaya kaizen (inovasi). 

Budaya 5S ini telah diperkenalkan oleh seorang perunding kepada Kept Jamel semasa beliau masih memerintah KD PELANDOK. Dalam tempoh 7 minggu, beliau telah berjaya manjadikan budaya 5S sebagai budaya kerja warga KD PELANDOK. Legasi itu telah diteruskan dan telah mendapat pengiktirafan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan telah menjadikan KD MAHAWANGSA kapal pertama yang mendapat persijilan 5S. 


Menurut beliau, proses persijilan itu adalah tidak sukar kerana kebanyakan proses bagi memenuhi syarat persijilan telah lama diamalkan dan di gunapakai di atas kapal. Tetapi, yang menjadikan ia sukar adalah kerana sikap segelintir anggota yang tidak dapat menerima dan tidak bersedia menerima perubahan yang dilakukan. Namun, berkat kesabaran dan kesungguhan semua pihak, KD MAHAWANGSA telah mendapat persijilan 5S pada Januari 2012. Kejayaan ini diperolehi atas sikap kepimpinan beliau yang tinggi. Beliau berpegang kepada falsafah yang tersendiri dalam menerajui sesebuah organisasi. Falsafah tersebut mengandungi pengharapan beliau kepada warga 1 MAHAWANGSA yang mengandungi tiga elemen utama iaitu sikap, belajar secara berterusan dan semangat berpasukan. Dalam falsafah itu juga, beliau menekankan penerimaan seluruh warga 1 MAHAWANGSA terhadap sikap kepimpinan, ambil bahagian, bertanggungjawab dan kemajuan yang beliau usahakan. 

Sesi wawancara yang telah dijalankan selama hampir dua jam menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang begitu komited dalam menjalankan tanggungjawab sebagai anggota TLDM. Ketokohan beliau wajar dicontohi dan dijadikan teladan kepada semua anggota TLDM. Beliau menyatakan harapan agar semua kapal – kapal TLDM yang lain dapat menjadikan KD Mahawangsa sebagai contoh bagi mendapatkan pengiktirafan di masa hadapan dan pada masa yang sama menjadikan TLDM sebagai ‘World Class Navy’.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...