Subscribe:

adds 468 x 60

Friday, May 04, 2012

Masak-Memasak di KD MAHAWANGSA

Oleh: Lt M Siti Amirah bt Harun@Dollah PSSTLDM
         PSSTLDM KD SRI KLANG 

Pengalaman merupakan perkara yang tidak ternilai harganya. Tiada satu mata wang dunia pun yang mampu membeli sesuatu pengalaman itu. Pada 8 hingga 13 Apr 12 lalu, satu lagi pengalaman dicoretkan dalam kehidupan saya. Tarikh tersebut menyenaraikan salah satu impian saya, iaitu belayar bersama kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Tiada terungkap dengan kata-kata, perasaan saya apabila dikhabarkan bahawa kami, warga Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) KD SRI KLANG akan belayar bersama KD MAHAWANGSA ke Pulau Langkawi. 


Pelbagai aktiviti disusun rapi oleh pihak KD MAHAWANGSA sepanjang pelayaran ke Pulau Langkawi. Walau bagaimanapun, aktiviti dikurangkan semasa pelayaran pulang ke Lumut. Kesempatan itu saya ambil untuk membuat sesuatu yang dirasakan berlainan dari biasa. Permintaan untuk memasak di dalam kapal yang sedang belayar direalisasikan apabila Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA Kepten Jamel, B Abdul Rahman TLDM, membenarkan kami memasak di galley bagi santapan anak-anak kapal dan warga PSSTLDM. 


Peluang yang diberikan tidak kami sia-siakan, perasaan teruja menjadikan kami lebih bersemangat untuk menyediakan masakan tersebut. Menu utama yang kami sediakan ialah ayam masak Phat Phet, iaitu masakan dari Thailand manakala menu lain, disediakan oleh pihak kapal. Selain itu kami juga menyediakan kek coklat bagi minum petang. 


Kerja-kerja memasak bagi santapan tengahari bermula seawal 9.30 pagi, saya dan beberapa orang rakan dikehendaki melapor di galley sebelum waktu itu. Kami memulakan aktiviti memasak dengan menyediakan bahan-bahan bagi menu tenghari. Kami diletakkan dibahagikan kepada beberapa bahagian mengupas, mengisar, memotong, membasuh dan menggoreng dibantu oleh anak-anak kapal. Chief Of Galley (COG) dan anak-anak kapal yang bertugas di galley melakukan kerja dengan pantas, saya yang pada mulanya melihat keadaan itu, tergamam seketika, tidak tahu di mana perlu saya mulakan. Sehinggalah COG menyediakan bahan-bahan yang saya minta, barulah kerja masak-memasak saya bermula. 

Apabila semua alatan memasak dibuka, keadaan galley menjadi sangat panas dan berbahang, ketika itulah tuala muka menjadi peneman setia kami. Selain itu, kami tidak terlepas dari merasa pening-pening ketika sedang memasak. Walau bagaimanapun, keadaan COG dan anak-anak kapal yang bekerja dengan ceria sambil menyanyi mengikut alunan muzik di radio, membuatkan kami lupa akan panas, pening malah kami lebih gembira untuk meneruskan aktiviti itu. 


Minat memasak yang ada tidak membantu saya menganggar sukatan bahan-bahan bagi kuantiti yang banyak. Oleh yang demikian, saya dibantu sepenuhnya oleh COG dalam menetapkan sukatan tersebut, dan barulah saya mendapat rasa masakan yang diinginkan. Menu tengahari tersedia lebih kurang jam 11 pagi, Kami berehat sebentar di midship bagi menghilangkan penat dan panas, ternyata sungguh nikmat, apabila merasa angin yang nyaman sambil melihat laut yang terbentang luas ketika itu. 


Kami seterusnya menyambung kerja-kerja membuat kek coklat untuk minum petang pada jam 11.15 pagi. Kerja-kerja membuat kek terganggu sebentar apabila kami diminta turun ke Geladak Kereta Kebal bagi mempersembahkan masakan. Masing-masing saling berpandangan dengan muka cemas. Sebelum turun, kami disiapkan dengan apron dan chef hat bagi setiap seorang. Saya juga diminta memberi sedikit ucapan pada majlis makan tengahari tersebut. Kepuasan yang saya perolehi ketika memasak di galley, menghilangkan rasa gementar untuk memberikan ucapan spontan. 


Pengalaman dan kenangan indah itu tidak akan saya lupakan sampai bila-bila, saya yakin, bahawa rakan-rakan saya yang lain juga akan merasai perasaan yang sama. Sesungguhnya, bukan mudah untuk mendapat peluang seperti itu,dan kami antara orang-orang yang bertuah dapat merasainya. Tiada kata yang dapat saya ungkapkan buat seluruh warga KD MAHAWANGSA, yang sudi menerima kunjungan kami dan memberi peluang kepada kami untuk merasai pengalaman yang berbeza. Semoga KD MAHAWANGSA lebih maju, pada masa akan datang. Jasa kalian, akan kami kenang hingga akhir hayat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...