Subscribe:

adds 468 x 60

Wednesday, May 16, 2012

Lawatan 5S di Pelabuhan Klang

Sumber : Lt Mohd Khusainy bin Anua TLDM 
              Timbalan Pegawai Jurutera Hull


Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Istilah penat dan jemu tidak pernah ada dalam diri warga 1MAHAWANGSA apabila sekali lagi berjaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Duta 5S bagi Lawatan 5S Malaysia Productivity Corporations (MPC) pada 9 Mei 12. Walaupun sibuk dengan tugas operasi, namum peluang ketika berada di Pelabuhan Klang Utara digunakan dengan sebaik mungkin.


Kehadiran peserta pada mulanya diwar-warkan dalam 140 orang, namun sambutan adalah melebihi jangkaan di mana jumlah yang hadir adalah di dalam lingkungan 200 orang. Keterujaan wajah para peserta tidak dapat digambarkan sebaik sahaja menaiki kapal ini di mana ia melibatkan wakil MPC, agensi badan kerajaan, agensi swasta dan turut tidak ketinggalan juga Bahagian Pengurusan Strategik Markas Tentera Laut yang hadir bagi melihat dengan lebih dekat dan terperinci Amalan Persekitaran Berkualiti 5S yang digembar-gemburkan selama ini.


Seperti kita sedia maklum, lawatan ini bertujuan membuktikan kejayaan bahawa Amalan Persekitaran Berkualiti 5S ini tidak mustahil dipraktikkan di kapal. Semangat 5S masih kuat di hati sanubari para warga 1MAHAWANGSA di mana setiap kawasan tanggungjawab dijaga dan diselia dengan sebaik mungkin. Lawatan kali ini dimulakan dengan sesi bergambar peserta bersama Pegawai Memerintah sebelum kesemua peserta dibawa masuk ke kapal dan seterusnya diturunkan menggunakan elevator ke Geladak Kereta Kebal.


Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA Kept Jamel bin Abd Rahman TLDM selaku penaung 5S KD MAHAWANGSA tidak ketinggalan untuk memberikan sedikit ucapan dan diikuti dengan Taklimat 5S oleh Pegawai Laksana KD MAHAWANGSA Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM selaku Ketua 5S. 


Para peserta juga turut disajikan dengan tayangan montaj yang memaparkan kejayaan transformasi KD MAHAWANGSA ke arah Amalan Persekitaran Berkualiti 5S dengan motto ‘Persekitaran Berkualiti Warga Berinovasi’. Hasil kreativiti montaj oleh para pegawai KD MAHAWANGSA membuktikan penglibatan semua warga 1MAHAWANGSA.


Para peserta turut dibawa melawat ke sekitar kapal mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Penerangan 5S yang cukup bersemangat dan bertenaga sepanjang lawatan oleh Pegawai Memerintah, Pegawai Laksana dan para pegawai lain telah menaikkan lagi perasaan teruja para peserta lawatan. 


Setiap sudut diperhatikan dengan teliti dan dikaji agar setiap gambaran yang diperolehi dapat dipraktikkan di tempat kerja mereka nanti. Lawatan yang berlangsung selama 1 jam ini berakhir dengan ucapan yang diberikan oleh wakil MPC iaitu En Burhanuddin Saidin disusuli dengan upacara penyampaian cenderahati oleh kedua-dua belah pihak. 


Diharapkan lawatan kali ini memberi manfaat yang besar kepada yang hadir dan kami warga 1MAHAWANGSA berbangga kerana kejayaan kami dapat dikongsi bersama dengan rakyat 1MALAYSIA. Sedia Berkorban.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...