Subscribe:

adds 468 x 60

Friday, May 25, 2012

Kenangan Pelayaran PKBM (L) SMK Ambrose Bersama KD Mahawangsa


Pada tanggal 5 April 2012, seramai 12 ahli kadet PKBM (L) SMK Ambrose telah berpeluang menaiki kapal logistik KD Mahawangsa, sebagai salah satu aktiviti pelayaran latihan PKBM (L) Zon Perak. 2 orang guru pengiring juga turut serta menyertai rombongan lawatan bersama ahli kadet. Seawal 0830 pagi, kami telah berhimpun bersama-sama ahli kadet PKBM (L) dari 9 buah sekolah yang lain di Pelabuhan Pangkalan TLDM. Sebelum menaiki kapal KD Mahawangsa kami telah diberi jaket keselamatan untuk digunakan sepanjang pelayaran di sekitar Pulau Pangkor. 


Semua ahli kadet PKBM (L) berkumpul di Geladak Kereta Kebal. Taklimat keselamatan telah disampaikan oleh Pegawai Laksana KD Mahawangsa, Komander Ahmad Nazree Abu Hasaan TLDM. Kami turut disajikan dengan persembahan video KD Mahawangsa mengenai kejayaan dan pencapaian kapal tersebut. Di antara kejayaan yang menarik hati kami adalah Anugerah Pensijilan Amalan 5S iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa amal, yang mana amalan ini telah memberi cetusan idea yang amat bermanfaat buat kami mengaplikasikannya di bilik PKBM (L) di sekolah kami nanti. 


Setelah taklimat dan persembahan video, kami dibenarkan berada di Geladak Penerbangan untuk melihat suasana pelayaran KD Mahawangsa yang bermula pada pukul 0900 pagi. Semasa pelayaran kami berpeluang melihat tradisi yang cukup unik dan tak pernah kami saksikan bahkan mengetahui tradisi tersebut di dalam TLDM iaitu salute between ship di mana kapal junior akan memberi penghormatan kepada kapal senior semasa 'berselisih' di lautan. Salute between ship telah diberikan oleh KD Laksamana Muhamad Amin kepada KD Mahawangsa semasa kapal melewati Pulau Pangkor. Kami cukup kagum melihat tradisi ini yang telah menunjukkan bahawa TLDM mengamalkan sifat hormat-menghormati walau di mana jua mereka berada antara satu sama lain. 


Setelah semua kadet bersarapan pada jam 1000 di Geledak Kereta Kebal, kami menyertai aktiviti seterusnya iaitu ‘Jom Melawat Kapal’. Seorang juru pandu dari kalangan staf TLDM telah ditugaskan untuk mengiringi setiap rombongan sekolah. 


Setiap tempat yang kami lawati telah diberi penerangan yang jelas oleh para krew kapal tentang fungsi bilik-bilik, persenjataan, sistem kawalan radar dan sebagainya. Ini termasuk kawasan Geladak Bendera, Anjungan, Geladak Bot, Geladak Penerbangan, port/stbt wing, Wisma Bintara, Galley dan ruangan bilik kapal seperti Bilik Kawalan Keselamatan Kebakaran dan Kerosakan. Kami difahamkan bahawa bilik ini merupakan nadi kepada ‘kesihatan’ kapal tersebut.Kami juga telah didedahkan dengan pelbagai fungsi alatan yang terdapat di atas kapal seperti fungsi lifebouy, fog horn, serta peranan pemerhati kapal dan sebagainya. 


Detik 1200 tengahari amat kami nantikan. Semua ahli kadet PKBM (L) dijemput untuk menikmati hidangan istimewa bersama Kepten, pegawai, staf dan guru pengiring. Kepada yang beragama Islam, sembahyang jamak Zohor dan Asar turut di dilaksanakan secara berjemaah di Geladak Kereta Kebal. 


Pada kira-kira jam 1500 petang, sekali lagi kami semua berpeluang berada di Geladak Penerbangan untuk melihat kapal KD Mahawangsa mendekati Tambatan Pengkalan TLDM, menandakan berakhirnya pelayaran kami. Majlis penutupan telah diadakan di Geladak Kereta Kebal dengan ucapan ringkas disampaikan oleh Pegawai Memerintah KD Mahawangsa, Kepten Jamel Abd Rahman TLDM serta wakil pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Muhammad Zaki Abdul Rahim. 


Pegawai Memerintah banyak meluahkan kata-kata semangat agar semua kadet yang hadir menperkuatkan azam untuk mengejar segala cita-cita agar menjadi manusia yang berguna kepada agama bangsa dan negara. Majlis diakhiri dengan pertukaran cenderahati kenangan antara Pegawai Memerintah dan wakil pengarah Jabatan Pelajaran Negeri. Semua ahli kadet PKBM (L) menuruni kapal KD Mahawangsa dan berhimpun di Pelabuhan Pangkalan TLDM serta menyerahkan semula jaket keselamatan seterusnya bersurai pulang. 


Kami yakin bahawa pelayaran yang telah kami lalui amatlah menyeronokkan kerana walaupun singkat, pelbagai ilmu kelautan serta ilmu perkapalan yang bukan senang untuk diperolehi telah kami pelajari. Benarlah bak kata pepatah ‘jauh berjalan luas pemandangan’. 

Sesungguhnya,pelayaran bersama KD Mahawangsa yang julung-julung kali diadakan ini telah memberi seribu satu kenangan manis buat kami dan akan terus segar dalam ingatan selamanya. 

Sekian. 

NUR FARAH BT HJ MAT LAWI 
Setiausaha, 
Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM Laut), 
SMK Ambrose Ayer Tawar Perak.

1 comments:

  1. salam.saya adalah seorang komander di UiTM segamat.saya ingin bertanya bagaimana sekiranya kami ingin membuat lawatan sambil belajar ke kapal KD MAHAWANGSA?.apa yang perlu saya lakukan?.boleh tak sekiranya pihak tuan sertakan sekali nombor telefon yang boleh dihubungi.sekiranya ada maklumbalas dari pihak tuan,saya berharap pihak tuan akan emailkan ke ain_ucu538@yahoo.com secepat yang mungkin.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...