Subscribe:

adds 468 x 60

Monday, May 28, 2012

Epilog Sebuah Pelayaran Bersama KD Mahawangsa

Sekalung budi dan junjungan kasih buat Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM dan Lt Kdr Mohamad Hazril bin Fadzil TLDM atas segala tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang usia perkenalan. Semoga kuntuman silaturrahim antara saya dan warga KD Mahawangsa kekal bertaut hingga akan akhir nyawa. 


Epilog Sebuah Pelayaran Bersama KD Mahawangsa 

Kesempatan untuk menyertai pelayaran KD Mahawangsa yang ditauliahkan pada 16 Mei 1983 ke Wilayah II sangat mengujakan. Sebagai seorang yang sukakan cabaran peluang keemasan ini melengkapkan impian saya sejak kecil lagi untuk menyertai pelayaran bersama Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia. Pada 09 1500H Mei 2012 KD Mahawangsa di bawah pimpinan Kept Jamel Bin Abd Rahman TLDM meninggalkan Southpoint menuju ke Pelabuhan Pending, Sarawak. Pelayaran selama 3 hari ini membuka dimensi baru di dalam kehidupan saya sebagai seorang pegawai Tentera Darat Malaysia kerana saya berpeluang untuk mengharungi hidup sebagai seorang krew KD Mahawangsa. Misi pelayaran logistik ini mengambil masa 22 hari ini akan melibatkan destinasi-destinasi di Wilayah II seperti Kuching, Sandakan dan Kota Kinabalu sebelum kembali ke Pangkalan TLDM Lumut. Apa yang lebih menarik, penyertaan daripada Tentera Darat Malaysia akan mencoretkan satu lagi sejarah bagi kapal sepanjang 103 meter ini. 

Hari Pertama di KD Mahawangsa saya berpeluang untuk menikmati pemandangan indah Selat Melaka yang merupakan perairan pemisah antara Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Sumatera Indonesia. Kesibukan Selat Melaka yang terkenal sebagai selat tersibuk di dunia kerana ia adalah laluan bagi kira-kira 50 000 kapal dagang setahun ini melakarkan pengalaman baru bagi saya. Kehidupan sebagai seorang kelasi baru bermula sebaik KD Mahawangsa memasuki Selat Melaka. Saya kagum dengan kepakaran pegawai dan anggota KD Mahawangsa mengendalikan kapal sebesar ini di dalam kesibukan Selat Melaka yang tidak mempunyai signage seperti di atas jalan raya. Kesempatan berada di bridge KD Mahawangsa membuka mata saya mengenai pengendalian kapal. Saya juga berpeluang untuk menimba pengalaman para pegawai KD Mahawangsa sepanjang pelayaran mereka bersama KD Mahawangsa. 

Kesempatan ini juga diambil untuk mengenali pegawai-pegawai serta anak kapal KD Mahawangsa. Sikap peramah dan ceria mereka melenyapkan rasa gusar saya untuk meneruskan pelayaran ke Kuching, Sarawak. Saya juga mengambil peluang ini untuk mengenali KD Mahawangsa dengan lebih dekat. KD Mahangsa yang seusia dengan saya ini merupakan kapal terbesar di dalam angkatan TLDM. Kapal yang di kategorikan sebagai MULTI PURPOSE COMMAND SUPPORT SHIPS (MPCSS) ini dibina oleh Bremer Vulkan : Korea Tacoma. KD Mahawangsa mampu membawa 17 kereta kebal dan 600 anggota ini terus gagah membelah lautan demi kedaulatan negara yang tercinta. KD Mahawangsa juga merupakan kapal pertama yang menerima Sijil Sistem Pengurusan Berintergrasi (SPB); ISO 9001:2008 dan OHSAS 18001:2007 daripada Menteri Pertahanan Malaysia dan kapal Angkatan Tentera Laut yang pertama mempraktikkan Amalan 5S. 


Pada hari kedua saya meneruskan pelayaran saya terus memperoleh pengalaman berharga. Mengenali Pegawai Memerintah Kd Mahawangsa iaitu Kept Jamel Bin Abd Rahman TLDM yang merupakan penerima Anugerah Pujian Panglima Tentera Laut sempena Hari TLDM ke-78 adalah pemimpin yang harus dicontohi. Ketegasan beliau dalam memimpin KD Mahawangsa sepanjang masa memberi saya satu iltizam untuk meneruskan perkhidmatan sebagai seorang pegawai. Aktiviti solat berjemaah di Geladak Kereta Kebal (Tank Deck) telah dicetuskan oleh beliau bagi sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak menyedarkan saya bahawa amalan berjemaah mampu mengeratkan silaturrahim, menjana idea di kalangan pegawai dan anggota serta pelbagai hikmah tersembunyi. Saya juga berbesar hati apabila mendapat sajian di Wisma Perwira KD Mahawangsa yang juga digelar Wardroom. Wardroom ini dilengkapi dengan peralatan audio visual canggih seperti di Wisma Perwira lain. 

Pada hari ketiga pula saya berpeluang untuk memasak di galley KD Mahawangsa. Memandang kepakaran saya dalam bidang Culinary Arts atau lebih dikenali sebagai Chef Training saya mengambil peluang ini untuk memasak dengan bantuan daripada anggota Bendari. Walaupun dalam keadaan ration yang terhad di tengah lautan, saya anggap pengalaman menyediakan lauk Ayam Masak Merah ini sebagai penghargaan dari warga KD Mahawangsa. Hasrat untuk menyediakan kek terbantut kerana bahan mentah yang ada di galley tidak mencukupi. Dengan penuh harapan satu hari nanti saya diberi peluang untuk memasak di galley lagi kerana memasak dalam limitasi ration ini mampu menambah skil masakan dan membolehkan kita berfikir secara pantas. 


Pada hari yang sama saya berpeluang menyertai majlis makan dalam talam yang diadakan di Geladak Kereta Kebal. Majlis ini disertai oleh semua pegawai dan anak kapal termasuk pemimpin tertinggi KD Mahawangsa yang dikagumi, Kept Jamel Bin Abd Rahman TLDM. Sebanyak 25 talam disediakan dan Pegawai Laksana, Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM mahu kesempatan ini diambil untuk semua pegawai dan anggota pelayaran mengenali semua individu dari cawangan berbeza. Setiap talam mesti mempunyai seorang pegawai, PTTK (Pegawai Tanpa Tauliah Kanan) serta anggota lain-lain pangkat yang lain. Daripada sudut pandangan saya, aktivit makan dalam talam ini sangat menarik serta memberi banyak impak dari segi sifat kekeluargaan dan Esprit De Corp di kalangan pegawai dan anggota KD Mahawangsa. 

Sejurus selepas majlis makan dalam talam selesai saya berpeluang untuk menjelajah seluruh KD Mahawangsa bersama Pegawai Laksana. Kesempatan untuk melihat sendiri cara pengurusan pejabat dan stor yang efektif serta aplikasi amalan 5S di setiap sektor KD Mahawangsa. Saya juga berpeluang untuk melihat sendiri bilik enjin KD Mahawangsa yang sentiasa bersih tanpa sebarang calitan minyak mahupun habuk. Taklimat ringkas oleh Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM tentang operasi di bilik enjin memberi banyak input tentang kerjaya sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia. Jelajah ke semua tempat di KD Mahawangsa amat beerti dalam erti kata untuk mempelajari system cara kerja warga KD Mahawangsa yang diiktiraf sebagai The Best Damn Ship in The Navy. 

Di hari ketiga juga Latihan Kebakaran telah dijalankan bagi melatih krew-krew baru yang mengikuti pelayaran. Untuk makluman pembaca, setiap kapal TLDM akan mengadakan latihan kebakaran kerana sistem pencegahan kebakaran adalah berbeza. Pipe adalah satu istilah yang saya pelajari di dalam pelayaran yang membawa erti pengumuman yang dibuat menggunakan broadcast dan akan didengari di setiap sudut kapal. Semasa latihan kebakaran ini, amaran kebakaran akan di pipe kan bagi semua anggota berjaga-jaga dan pasukan pemadam api bersiap sedia berkumpul. Kecekapan anggota KD Mahawangsa memadamkan kebakaran boleh dicontohi, walaupun dikategorikan sebagai latihan tetapi semua daripada mereka bersungguh-sungguh melaksanakannya. Maklumbalas latihan telah disampaikan oleh Kdr Ahmad Nazree Bin Abu Hasaan TLDM daripada pemerhatian saya latihan kebakaran sangat penting tak kira dimana kita berada. Pendekatan yang dilakukan sangat efektif untuk dicontohi. 


Pada malam terakhir saya di KD Mahawangsa, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk makan malam bersama Pegawai Memerintah. Semua pegawai Tentera Darat Malaysia dan seorang Pegawai Warren dijemput untuk menikmati makan malam bersama Yang Berbahagia Kept Jamel bin Abd Rahman TLDM. Uniknya budaya Tentera Laut Diraja Malaysia, mereka akan memulakan jamuan makan dengan buah-buahan selaras dengan sunnah Rasulullah SAW. Menikmati makan malam sambil berkongsi pengalaman adalah rutin yang menyenangkan. Saya bangga mengenali seorang pejuang seperti Pegawai Memerintah KD Mahawangsa. Sesungguhnya masa amat mencemburui saya. Sebaik amat makan malam itu saya sedar bahawa masa saya di KD Mahawangsa semakin singkat. Sebaik sauh dilabuhkan saya panjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Illahi atas kuniaan pengalaman ini. Sesungguhnya pertukaran budaya, carakerja dan buah fikiran diantara Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia harus diteruskan. 


Menungan di Pelabuhan Pending membawa saya kepada coretan kenangan di KD Mahawangsa. Terlalu singkat pengembaraan ini namun saya rasa bersyukur. Peluang untuk melihat ikan lumba-lumba mengikut kapal di Laut China Selatan, rasa pening tatkala kapal bergoyang meninggalkan memori terindah untuk di karya kan kelak. Tatkala kapal terbang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching saya terus mendoakan seluruh warga KD Mahawangsa terus dirahmati Allah SWT. Saya juga berdoa agar berpeluang untuk belayar lagi bersama Tentera Laut Diraja Malaysia. Berakhirlah sebuah epilog sebuah pelayaran yang diakhiri dengan pujian rasa syukur. Semoga bersua lagi KD Mahawangsa. 

Lagu untuk Perwira, Bintara dan Laskar KD Mahawangsa 

Pahlawanku 

Pahlawanku
Pergilah berjuang untuk bangsa
Jangan ragu
Namamu tetap dipuja

Biar mati
Sebagai pahlawan yang sejati
Jangan undur
Jasamu kelak bertabur

Selamat kau pergi
Selamat kembali
Dengan hati suci
Dan tak takut mati

Pahlawanku
Menuju ruang ke medan perang
Jangan takut
Sebagai askar berjuang 

Nukilan: Kapt Nur Hanani bt Karim
               Ketua Sel Pergerakan Kargo 


Kaptchef2474@gmail.com 

1 comments:

  1. Isk..nama penuh tu..hahaha..Thanks KD Mahawangsa

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...