Subscribe:

adds 468 x 60

Thursday, May 31, 2012

PEMUNGGAHAN MASUK PELURU DI PELABUHAN KLANG

Sumber : Lt. Muhammad Norfadli bin Badri TLDM 
              Timb. Pegawai Persenjataan

Bersesuaian dengan fungsi kapal sebagai kapal pengangkut logistik bagi Tentera Laut Diraja Malaysia, KD MAHAWANGSA telah ditugaskan untuk menghantar barang-barang logistik ke unit-unit di Sabah dan Sarawak. 


Selain barang-barang logistik seperti perabot, pakaian dan peralatan pejabat, kapal juga ditugaskan untuk membawa bahan-bahan letupan untuk kegunaan unit-unit di Sabah dan Sarawak. Sebanyak 187 pallet peluru dan bahan letupan telah dipunggah masuk semasa kapal berada di Pelabuhan Klang.

Kerja-kerja pemunggahan masuk peluru ini mengambil masa selama 15 jam dan melibatkan semua warga 1 MAHAWANGSA serta dibantu oleh anggota dari Kor Ordnans Diraja di mana pada hari pertama ianya bermula pada jam 1030H dan berakhir pada jam 2230H. 


Pemunggahan masuk peluru ini disambung semula pada keesokan harinya seawal jam 0930H dan tamat pada jam 1230H. Sesungguhnya seperti kata pepatah ‘Berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing,’ tanpa komitmen dan semangat 1 MAHAWANGSA yang tinggi di kalangan warganya kerja-kerja pemunggahan masuk peluru ini tidak dapat disiapkan dalam masa yang singkat. 

Wednesday, May 30, 2012

Malam Riadah Wisma Perwira

Sumber: Lt Misyran Haffizul Izlan Mazuki TLDM 
              Pembantu Pegawai Jurutera Letrik & Senjata 2 



Sudah menjadi rutin bagi pegawai-pegawai KD MAHAWANGSA untuk makan bersama-sama setelah merapat di pelabuhan luar dari Lumut. Selain dapat mengeratkankan lagi silaturrahim sesama pegawai KD MAHAWANGSA, ianya dapat merapatkan lagi hubungan pegawai-pegawai dengan Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA. 


Pada malam tersebut juga, pegawai-pegawai baru sempat bertemu muka dengan mantan Pegawai Jurutera Elektrik & Senjata KD MAHAWANGSA, Lt Kdr Matthew TLDM yang kini bertugas di MAWILLA 2. 


Ketika merapat di PTKK, sekali lagi pegawai-pegawai KD MAHAWANGSA keluar bersama-sama menuju ke gerai Masakan Jawa Special yang menyediakan makanan laut yang segar bertempat di tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu. Lokasi yang strategik, tempat yang nyaman serta makanan laut yang segar memang menarik minat semua untuk ke gerai tersebut. 


Pegawai-pegawai KD MAHAWANGSA memilih untuk menikmati juadah yang paling istimewa di gerai tersebut iaitu Ikan Kerapu masak 3 rasa, Sotong goreng sambal, udang goreng mentega dan juga kangkung goreng belacan. Lauk pauk tersebut amat menyelerakan. 


Disarankan kepada sesiapa yang berpeluang menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu untuk mencuba sendiri masakan di gerai tersebut kerana makanannya dikategorikan makanan bertaraf masakan hotel dengan harga yang sangat berpatutan.


Tuesday, May 29, 2012

RPC di Wisma Kejora, PTKK

Sumber: Lt Dya Mohd Hafizi bin Mohd Fauzi TLDM
            Timbalan Pegawai Geladak


Wisma Kejora Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) telah mengadakan majlis RPC pada 22 Mei 2012 jam 2 petang bagi menyambut kedatangan KD MAHAWANGSA dan USS MAKIN ISLAND yang telah melabuh di PTKK. 


Pegawai-pegawai dari seluruh unit PTKK telah menghadiri majlis tersebut termasuklah pegawai-pegawai dari KD MAHAWANGSA. Pegawai-pegawai KD MAHAWANGSA telah membawa sekali hadiah untuk Captain Vic Cooper USN yang dibeli khas oleh Pegawai Laksana KD MAHAWANGSA, Kdr Nazree TLDM yang merupakan rakan karibnya sewaktu mereka berkursus di US dahulu. 



Kedatangan USS MAKIN ISLAND telah disambut dengan meriah dan Pegawai Memerintah USS MAKIN ISLAND Captain Cedric E. Pringle telah menyuarakan rasa terharu kerana inilah kali pertama dalam karier beliau disambut sebegitu meriah di pelabuhan asing.


Monday, May 28, 2012

Epilog Sebuah Pelayaran Bersama KD Mahawangsa

Sekalung budi dan junjungan kasih buat Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM dan Lt Kdr Mohamad Hazril bin Fadzil TLDM atas segala tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang usia perkenalan. Semoga kuntuman silaturrahim antara saya dan warga KD Mahawangsa kekal bertaut hingga akan akhir nyawa. 


Epilog Sebuah Pelayaran Bersama KD Mahawangsa 

Kesempatan untuk menyertai pelayaran KD Mahawangsa yang ditauliahkan pada 16 Mei 1983 ke Wilayah II sangat mengujakan. Sebagai seorang yang sukakan cabaran peluang keemasan ini melengkapkan impian saya sejak kecil lagi untuk menyertai pelayaran bersama Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia. Pada 09 1500H Mei 2012 KD Mahawangsa di bawah pimpinan Kept Jamel Bin Abd Rahman TLDM meninggalkan Southpoint menuju ke Pelabuhan Pending, Sarawak. Pelayaran selama 3 hari ini membuka dimensi baru di dalam kehidupan saya sebagai seorang pegawai Tentera Darat Malaysia kerana saya berpeluang untuk mengharungi hidup sebagai seorang krew KD Mahawangsa. Misi pelayaran logistik ini mengambil masa 22 hari ini akan melibatkan destinasi-destinasi di Wilayah II seperti Kuching, Sandakan dan Kota Kinabalu sebelum kembali ke Pangkalan TLDM Lumut. Apa yang lebih menarik, penyertaan daripada Tentera Darat Malaysia akan mencoretkan satu lagi sejarah bagi kapal sepanjang 103 meter ini. 

Hari Pertama di KD Mahawangsa saya berpeluang untuk menikmati pemandangan indah Selat Melaka yang merupakan perairan pemisah antara Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Sumatera Indonesia. Kesibukan Selat Melaka yang terkenal sebagai selat tersibuk di dunia kerana ia adalah laluan bagi kira-kira 50 000 kapal dagang setahun ini melakarkan pengalaman baru bagi saya. Kehidupan sebagai seorang kelasi baru bermula sebaik KD Mahawangsa memasuki Selat Melaka. Saya kagum dengan kepakaran pegawai dan anggota KD Mahawangsa mengendalikan kapal sebesar ini di dalam kesibukan Selat Melaka yang tidak mempunyai signage seperti di atas jalan raya. Kesempatan berada di bridge KD Mahawangsa membuka mata saya mengenai pengendalian kapal. Saya juga berpeluang untuk menimba pengalaman para pegawai KD Mahawangsa sepanjang pelayaran mereka bersama KD Mahawangsa. 

Kesempatan ini juga diambil untuk mengenali pegawai-pegawai serta anak kapal KD Mahawangsa. Sikap peramah dan ceria mereka melenyapkan rasa gusar saya untuk meneruskan pelayaran ke Kuching, Sarawak. Saya juga mengambil peluang ini untuk mengenali KD Mahawangsa dengan lebih dekat. KD Mahangsa yang seusia dengan saya ini merupakan kapal terbesar di dalam angkatan TLDM. Kapal yang di kategorikan sebagai MULTI PURPOSE COMMAND SUPPORT SHIPS (MPCSS) ini dibina oleh Bremer Vulkan : Korea Tacoma. KD Mahawangsa mampu membawa 17 kereta kebal dan 600 anggota ini terus gagah membelah lautan demi kedaulatan negara yang tercinta. KD Mahawangsa juga merupakan kapal pertama yang menerima Sijil Sistem Pengurusan Berintergrasi (SPB); ISO 9001:2008 dan OHSAS 18001:2007 daripada Menteri Pertahanan Malaysia dan kapal Angkatan Tentera Laut yang pertama mempraktikkan Amalan 5S. 


Pada hari kedua saya meneruskan pelayaran saya terus memperoleh pengalaman berharga. Mengenali Pegawai Memerintah Kd Mahawangsa iaitu Kept Jamel Bin Abd Rahman TLDM yang merupakan penerima Anugerah Pujian Panglima Tentera Laut sempena Hari TLDM ke-78 adalah pemimpin yang harus dicontohi. Ketegasan beliau dalam memimpin KD Mahawangsa sepanjang masa memberi saya satu iltizam untuk meneruskan perkhidmatan sebagai seorang pegawai. Aktiviti solat berjemaah di Geladak Kereta Kebal (Tank Deck) telah dicetuskan oleh beliau bagi sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak menyedarkan saya bahawa amalan berjemaah mampu mengeratkan silaturrahim, menjana idea di kalangan pegawai dan anggota serta pelbagai hikmah tersembunyi. Saya juga berbesar hati apabila mendapat sajian di Wisma Perwira KD Mahawangsa yang juga digelar Wardroom. Wardroom ini dilengkapi dengan peralatan audio visual canggih seperti di Wisma Perwira lain. 

Pada hari ketiga pula saya berpeluang untuk memasak di galley KD Mahawangsa. Memandang kepakaran saya dalam bidang Culinary Arts atau lebih dikenali sebagai Chef Training saya mengambil peluang ini untuk memasak dengan bantuan daripada anggota Bendari. Walaupun dalam keadaan ration yang terhad di tengah lautan, saya anggap pengalaman menyediakan lauk Ayam Masak Merah ini sebagai penghargaan dari warga KD Mahawangsa. Hasrat untuk menyediakan kek terbantut kerana bahan mentah yang ada di galley tidak mencukupi. Dengan penuh harapan satu hari nanti saya diberi peluang untuk memasak di galley lagi kerana memasak dalam limitasi ration ini mampu menambah skil masakan dan membolehkan kita berfikir secara pantas. 


Pada hari yang sama saya berpeluang menyertai majlis makan dalam talam yang diadakan di Geladak Kereta Kebal. Majlis ini disertai oleh semua pegawai dan anak kapal termasuk pemimpin tertinggi KD Mahawangsa yang dikagumi, Kept Jamel Bin Abd Rahman TLDM. Sebanyak 25 talam disediakan dan Pegawai Laksana, Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM mahu kesempatan ini diambil untuk semua pegawai dan anggota pelayaran mengenali semua individu dari cawangan berbeza. Setiap talam mesti mempunyai seorang pegawai, PTTK (Pegawai Tanpa Tauliah Kanan) serta anggota lain-lain pangkat yang lain. Daripada sudut pandangan saya, aktivit makan dalam talam ini sangat menarik serta memberi banyak impak dari segi sifat kekeluargaan dan Esprit De Corp di kalangan pegawai dan anggota KD Mahawangsa. 

Sejurus selepas majlis makan dalam talam selesai saya berpeluang untuk menjelajah seluruh KD Mahawangsa bersama Pegawai Laksana. Kesempatan untuk melihat sendiri cara pengurusan pejabat dan stor yang efektif serta aplikasi amalan 5S di setiap sektor KD Mahawangsa. Saya juga berpeluang untuk melihat sendiri bilik enjin KD Mahawangsa yang sentiasa bersih tanpa sebarang calitan minyak mahupun habuk. Taklimat ringkas oleh Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM tentang operasi di bilik enjin memberi banyak input tentang kerjaya sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia. Jelajah ke semua tempat di KD Mahawangsa amat beerti dalam erti kata untuk mempelajari system cara kerja warga KD Mahawangsa yang diiktiraf sebagai The Best Damn Ship in The Navy. 

Di hari ketiga juga Latihan Kebakaran telah dijalankan bagi melatih krew-krew baru yang mengikuti pelayaran. Untuk makluman pembaca, setiap kapal TLDM akan mengadakan latihan kebakaran kerana sistem pencegahan kebakaran adalah berbeza. Pipe adalah satu istilah yang saya pelajari di dalam pelayaran yang membawa erti pengumuman yang dibuat menggunakan broadcast dan akan didengari di setiap sudut kapal. Semasa latihan kebakaran ini, amaran kebakaran akan di pipe kan bagi semua anggota berjaga-jaga dan pasukan pemadam api bersiap sedia berkumpul. Kecekapan anggota KD Mahawangsa memadamkan kebakaran boleh dicontohi, walaupun dikategorikan sebagai latihan tetapi semua daripada mereka bersungguh-sungguh melaksanakannya. Maklumbalas latihan telah disampaikan oleh Kdr Ahmad Nazree Bin Abu Hasaan TLDM daripada pemerhatian saya latihan kebakaran sangat penting tak kira dimana kita berada. Pendekatan yang dilakukan sangat efektif untuk dicontohi. 


Pada malam terakhir saya di KD Mahawangsa, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk makan malam bersama Pegawai Memerintah. Semua pegawai Tentera Darat Malaysia dan seorang Pegawai Warren dijemput untuk menikmati makan malam bersama Yang Berbahagia Kept Jamel bin Abd Rahman TLDM. Uniknya budaya Tentera Laut Diraja Malaysia, mereka akan memulakan jamuan makan dengan buah-buahan selaras dengan sunnah Rasulullah SAW. Menikmati makan malam sambil berkongsi pengalaman adalah rutin yang menyenangkan. Saya bangga mengenali seorang pejuang seperti Pegawai Memerintah KD Mahawangsa. Sesungguhnya masa amat mencemburui saya. Sebaik amat makan malam itu saya sedar bahawa masa saya di KD Mahawangsa semakin singkat. Sebaik sauh dilabuhkan saya panjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Illahi atas kuniaan pengalaman ini. Sesungguhnya pertukaran budaya, carakerja dan buah fikiran diantara Tentera Darat Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia harus diteruskan. 


Menungan di Pelabuhan Pending membawa saya kepada coretan kenangan di KD Mahawangsa. Terlalu singkat pengembaraan ini namun saya rasa bersyukur. Peluang untuk melihat ikan lumba-lumba mengikut kapal di Laut China Selatan, rasa pening tatkala kapal bergoyang meninggalkan memori terindah untuk di karya kan kelak. Tatkala kapal terbang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching saya terus mendoakan seluruh warga KD Mahawangsa terus dirahmati Allah SWT. Saya juga berdoa agar berpeluang untuk belayar lagi bersama Tentera Laut Diraja Malaysia. Berakhirlah sebuah epilog sebuah pelayaran yang diakhiri dengan pujian rasa syukur. Semoga bersua lagi KD Mahawangsa. 

Lagu untuk Perwira, Bintara dan Laskar KD Mahawangsa 

Pahlawanku 

Pahlawanku
Pergilah berjuang untuk bangsa
Jangan ragu
Namamu tetap dipuja

Biar mati
Sebagai pahlawan yang sejati
Jangan undur
Jasamu kelak bertabur

Selamat kau pergi
Selamat kembali
Dengan hati suci
Dan tak takut mati

Pahlawanku
Menuju ruang ke medan perang
Jangan takut
Sebagai askar berjuang 

Nukilan: Kapt Nur Hanani bt Karim
               Ketua Sel Pergerakan Kargo 


Kaptchef2474@gmail.com 

Sunday, May 27, 2012

Lawatan Kebajikan

Sumber: PW I KOM (I) Noor Azman b. Hj. Nordin
             Yeoman Komunikasi


15 Mei 12 – Semasa KD MAHAWANGSA berada di Pelabuhan Pending, Kuching dalam rangka tugasan penghantaran logistik ke Sabah dan Sarawak, beberapa warga kapal telah mengambil peluang ini melakukan lawatan ke rumah seorang Bintara kapal iaitu BK TLS Fauzian bin Jobli di Kampung Baru, Kota Samarahan yang mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan dari Pelabuhan Pending. 


Tujuan lawatan ini adalah bagi merapatkan lagi hubungan antara warga kapal dan juga kunjungan kebajikan ke atas ayah Bintara yang mengalami masalah kesihatan. Pegawai Bahagian Bintara iaitu Lt Kdr Chuan Lew Kern TLDM juga turut serta dalam lawatan ini. 


Warga kapal disambut mesra oleh keluarga BK TLS Fauzian, mereka juga sempat menikmati juadah makan tengahari yang telah disediakan oleh keluarga Bintara.


Saturday, May 26, 2012

Selamat Hari Lahir Kept Jamel TLDM

Sumber: PW I KOM (I) Noor Azman b. Hj. Nordin
             Yeoman Komunikasi 


17 Mei 12 – Semasa dalam pelayaran dari Kuching ke Kota Kinabalu, Ahli Wisma Bintara KD MAHAWANGSA sekali lagi telah mengadakan majlis makan tengahari bersama Yang Berbahagia Pegawai Memerintah. 


Walaupun ruang Wisma Bintara yang terhad untuk menampung jumlah Bintara yang ada, ini sedikitpun tidak menyekat majlis tersebut dari berjalan lancar, malah keadaan ini lebih merapatkan keakraban dan kemesraan diantara Bintara dan Pegawai Memerintah. 


Sejurus sebelum majlis makan tengahari itu, satu sesi bergambar kenangan bersama Pegawai Memerintah dan penyampaian hadiah dari Wisma Bintara sempena harijadi Pegawai Memerintah yang ke 49 telah dilaksanakan di geladak kereta kebal. 

Di dalam majlis serba ringkas tersebut, Pegawai Memerintah telah menyampaikan kata-kata perangsang dan nasihat kepada Bintara semua untuk meneruskan perlaksanaan tugas dengan cemerlang bagi menjaga nama baik kapal dan meneruskan kesinambungan meletakkan KD MAHAWANGSA sebagai “The Best Damn Ship In The Navy”. 

Friday, May 25, 2012

Kenangan Pelayaran PKBM (L) SMK Ambrose Bersama KD Mahawangsa


Pada tanggal 5 April 2012, seramai 12 ahli kadet PKBM (L) SMK Ambrose telah berpeluang menaiki kapal logistik KD Mahawangsa, sebagai salah satu aktiviti pelayaran latihan PKBM (L) Zon Perak. 2 orang guru pengiring juga turut serta menyertai rombongan lawatan bersama ahli kadet. Seawal 0830 pagi, kami telah berhimpun bersama-sama ahli kadet PKBM (L) dari 9 buah sekolah yang lain di Pelabuhan Pangkalan TLDM. Sebelum menaiki kapal KD Mahawangsa kami telah diberi jaket keselamatan untuk digunakan sepanjang pelayaran di sekitar Pulau Pangkor. 


Semua ahli kadet PKBM (L) berkumpul di Geladak Kereta Kebal. Taklimat keselamatan telah disampaikan oleh Pegawai Laksana KD Mahawangsa, Komander Ahmad Nazree Abu Hasaan TLDM. Kami turut disajikan dengan persembahan video KD Mahawangsa mengenai kejayaan dan pencapaian kapal tersebut. Di antara kejayaan yang menarik hati kami adalah Anugerah Pensijilan Amalan 5S iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa amal, yang mana amalan ini telah memberi cetusan idea yang amat bermanfaat buat kami mengaplikasikannya di bilik PKBM (L) di sekolah kami nanti. 


Setelah taklimat dan persembahan video, kami dibenarkan berada di Geladak Penerbangan untuk melihat suasana pelayaran KD Mahawangsa yang bermula pada pukul 0900 pagi. Semasa pelayaran kami berpeluang melihat tradisi yang cukup unik dan tak pernah kami saksikan bahkan mengetahui tradisi tersebut di dalam TLDM iaitu salute between ship di mana kapal junior akan memberi penghormatan kepada kapal senior semasa 'berselisih' di lautan. Salute between ship telah diberikan oleh KD Laksamana Muhamad Amin kepada KD Mahawangsa semasa kapal melewati Pulau Pangkor. Kami cukup kagum melihat tradisi ini yang telah menunjukkan bahawa TLDM mengamalkan sifat hormat-menghormati walau di mana jua mereka berada antara satu sama lain. 


Setelah semua kadet bersarapan pada jam 1000 di Geledak Kereta Kebal, kami menyertai aktiviti seterusnya iaitu ‘Jom Melawat Kapal’. Seorang juru pandu dari kalangan staf TLDM telah ditugaskan untuk mengiringi setiap rombongan sekolah. 


Setiap tempat yang kami lawati telah diberi penerangan yang jelas oleh para krew kapal tentang fungsi bilik-bilik, persenjataan, sistem kawalan radar dan sebagainya. Ini termasuk kawasan Geladak Bendera, Anjungan, Geladak Bot, Geladak Penerbangan, port/stbt wing, Wisma Bintara, Galley dan ruangan bilik kapal seperti Bilik Kawalan Keselamatan Kebakaran dan Kerosakan. Kami difahamkan bahawa bilik ini merupakan nadi kepada ‘kesihatan’ kapal tersebut.Kami juga telah didedahkan dengan pelbagai fungsi alatan yang terdapat di atas kapal seperti fungsi lifebouy, fog horn, serta peranan pemerhati kapal dan sebagainya. 


Detik 1200 tengahari amat kami nantikan. Semua ahli kadet PKBM (L) dijemput untuk menikmati hidangan istimewa bersama Kepten, pegawai, staf dan guru pengiring. Kepada yang beragama Islam, sembahyang jamak Zohor dan Asar turut di dilaksanakan secara berjemaah di Geladak Kereta Kebal. 


Pada kira-kira jam 1500 petang, sekali lagi kami semua berpeluang berada di Geladak Penerbangan untuk melihat kapal KD Mahawangsa mendekati Tambatan Pengkalan TLDM, menandakan berakhirnya pelayaran kami. Majlis penutupan telah diadakan di Geladak Kereta Kebal dengan ucapan ringkas disampaikan oleh Pegawai Memerintah KD Mahawangsa, Kepten Jamel Abd Rahman TLDM serta wakil pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Muhammad Zaki Abdul Rahim. 


Pegawai Memerintah banyak meluahkan kata-kata semangat agar semua kadet yang hadir menperkuatkan azam untuk mengejar segala cita-cita agar menjadi manusia yang berguna kepada agama bangsa dan negara. Majlis diakhiri dengan pertukaran cenderahati kenangan antara Pegawai Memerintah dan wakil pengarah Jabatan Pelajaran Negeri. Semua ahli kadet PKBM (L) menuruni kapal KD Mahawangsa dan berhimpun di Pelabuhan Pangkalan TLDM serta menyerahkan semula jaket keselamatan seterusnya bersurai pulang. 


Kami yakin bahawa pelayaran yang telah kami lalui amatlah menyeronokkan kerana walaupun singkat, pelbagai ilmu kelautan serta ilmu perkapalan yang bukan senang untuk diperolehi telah kami pelajari. Benarlah bak kata pepatah ‘jauh berjalan luas pemandangan’. 

Sesungguhnya,pelayaran bersama KD Mahawangsa yang julung-julung kali diadakan ini telah memberi seribu satu kenangan manis buat kami dan akan terus segar dalam ingatan selamanya. 

Sekian. 

NUR FARAH BT HJ MAT LAWI 
Setiausaha, 
Persatuan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM Laut), 
SMK Ambrose Ayer Tawar Perak.

Thursday, May 24, 2012

KD MAHAWANGSA - DUTA 5S NASIONAL


KD MAHAWANGSA sekali lagi telah mencatat sejarah yang tersendiri apabila dipilih sebagai Duta 5S peringkat nasional.


Pemilihan ini berdasarkan kecemerlangan KD MAHAWANGSA dalam mengurus serta mengaplikasikan Amalan 5S secara menyeluruh di ke semua lokasi kapal. 

Anugerah ini disampaikan oleh Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Dato' Mohd Razali Hussain sempena "Seminar On Business Excellence: A Transformation Story Board".


Seminar yang dianjurkan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) ini bersempena dengan Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Produktiviti 2011/2012.

Dikesempatan yang ada Kept Jamel telah diberi penghormatan untuk memberikan ceramah bertajuk "KD MAHAWANGSA: HARNESSING HUMAN POTENTIALS FORORGANISATIONAL TRANSFORMATION".




Wednesday, May 23, 2012

MAKAN BERJEMAAH DI DALAM TALAM WARGA KD MAHAWANGSA

Oleh: Lt Mohd Nasrul bin Hashim TLDM 
         Pembantu Pegawai Jurutera Letrik & Senjata

Satu aktiviti keagamaan “Makan Berjemaah Di Dalam Talam” telah dilaksanakan oleh warga KD MAHAWANGSA dalam pelayaran menuju ke Kuching, Sarawak selepas solat jama’ Zohor dan Asar pada 11 Mei 12. 


Aktiviti tersebut bertujuan mengeratkan silaturrahim di kalangan warga KD MAHAWANGSA tanpa mengira pangkat dan juga menjalinkan ukwah islamiyah sesama warga kapal. Aktiviti tersebut turut disertai oleh anggota Tentera Darat yang turut mengikuti pelayaran ini. 

Sebanyak 40 talam dihidangkan bersama dengan nasi minyak bersama ayam masak kurma untuk dijamah seramai empat orang setiap talam. Berkumpul menghadapi hidangan dan makanan secara berjemaah adalah suatu yang dianjurkan bagi kaum muslimin di samping akan mendapatkan keutamaan berdasarkan hadith berikut: 


“Berjemaahlah dalam menyantap hidanganmu dan sebut nama Allah padanya, nescaya akan mengandungi berkat bagimu” (Silsilah Hadith-hadith Sahih no. 664). 

Hadis ini dikhabarkan oleh Rasulullah berkenaan dengan seseorang yang datang kepadanya dan berkata: 

Wahai Rasulullah, kami ini setiap kali makan tidak pernah kenyang. 

Maka Rasulullah berkata: Pasti masing-masing kamu makan sendiri sendiri. 

Dia menjawab: Benar ya Rasulullah. 

Rasulullah berkata: Berjemaahlah dalam menyantap makananmu. 

Hadith di atas memerintahkan kepada kita agar setiap kali makan supaya makan bersama-sama sebab makan sendiri-sendiri itu disamping akan membuat masing-masing orang yang makan itu tidak akan kenyang (seperti kata sahabat di atas) juga tidak mendapatkan berkat/kecukupan. 


Kerana kecukupan itu akan diperoleh dengan makan bersama, meskipun jumlah peserta hidangan bertambah, sebagaimana kata Nabi SAW: 

“Makanlah berjemaah dan jangan bercerai-berai, sesungguhnya makanan satu orang itu cukup untuk dua orang”. 

“Sesungguhnya makanan satu orang itu cukup untuk dua orang makanan dua orang cukup untuk tiga atau empat orang dan makanan empat orang cukup untuk lima atau enam orang. (Silsilah hadith-hadith shahih no. 895). 

Maka, marilah kita bersama-sama mengamalkan amalan yang baik ini untuk mendapat keberkatan dari Allah S.W.T.


Tuesday, May 22, 2012

SOLAT HAJAT BAGI MENDOAKAN KESEJAHTERAAN WARGA KAPAL

Oleh: Lt Mohd Nasrul bin Hashim TLDM 
         Pembantu Pegawai Jurutera Letrik & Senjata

Dalam pelayaran ke Kuching, satu solat hajat telah dilakukan selepas solat jamak qasar Zohor dan Asar pada 11 Mei 12.
   
Solat hajat tersebut dilakukan bertujuan untuk memohon kesejahteraan warga kapal, keluarga dan juga keselamatan sepanjang pelayaran logistik pada kali ini.

Solat tersebut diimamkan oleh staf KAGAT KD MAHAWANGSA iaitu Prebet Hairul bin Hamdan. Selepas solat dilakukan imam telah menyampaikan tazkirah ringkas bertajuk panduan rukun sembahyang. 

 
Selesai sahaja tazkirah warga kapal menjamu selera beramai-ramai di dalam talam yang turut disertai oleh anggota Tentera Darat yang turut menyertai pelayaran logistik pada kali ini.

Semoga aktiviti ini terus diamalkan supaya warga KD MAHAWANGSA mendapat keberkatan dan kesejahteraan daripada Allah S.W.T.

Monday, May 21, 2012

REUNION OLD PUTRA (OP) 79 di KD MAHAWANGSA

Oleh : Lt. Mohd Zakwan bin Mohd Khalid TLDM 
          Timb. Pegawai Jurutera Elektrik dan Senjata


Tanggal 8 Mei 11 menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan oleh Old Putra 79 (OP79). OP 79 adalah alumni bagi semua bekas pelajar Royal Military Collage (RMC) pengambilan tahun 1979. Pegawai Memerintah (PM) KD MAHAWANGSA merupakan salah seorang daripada pengambilan tersebut. 


Memandangkan KD MAHAWANGSA telah berlabuh di Pelabuhan Klang sempena pemunggahan masuk barang-barang logistik, beliau telah mengambil inisiatif untuk mengumpulkan seberapa ramai OP79 untuk satu jamuan makan di atas kapal. Disamping mengumpul OP79, objektif bagi perjumpaan atau reunion untuk kali ini adalah bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan di antara setiap OP79. 

Alumni OP79
Alumni OP79 sudah mula berkumpul seawal jam 8 malam. PM dan isteri telah menyambut sendiri jemputan istimewa beliau. Dapat diperhatikan kegembiraan PM semasa menyambut sendiri kenalan lama beliau. Ini kerana ada diantara mereka yang tidak berjumpa hampir 30 tahun. 

Ahli Keluarga OP79
Setelah itu, PM telah menjemput tetamu beliau ke Wisma Perwira bagi menikmati hidangan makan malam yang disediakan oleh chef kapal. Beliau ingin memastikan rakan-rakan dan keluarga merasai sendiri keenakan makan yang telah disediakan oleh chef KD MAHAWANGSA. Antara Hidangan yang disediakan adalah siakap masak kari, udang mentega, sayur-sayur dan banyak lagi.

Selamat berjumpa lagi OP79
Setelah selesai menikmati makan malam tersebut, PM telah menjemput tetamu beliau ke Geladak Kereta Kebal bagi melihat sendiri kebersihan dan keistimewaan KD MAHAWANGSA yang tiada di kapal-kapal lain. Lawatan juga telah diadakan di Anjungan dan sekitar kapal. 

Memandangkan keesokan harinya merupakan waktu persekolahan, ini membataskan tempoh waktu tetamu-tetamu beliau berada lebih lama di kapal ini. Walaupun pada tempoh yang singkat berada di atas KD MAHAWANGSA, semua tetamu istimewa PM telah menunjukkan riak kegembiraan atas jemputan PM kali ini. 

Sunday, May 20, 2012

LAWATAN 5S OLEH POLITEKNIK SULTAN ABDUL AZIZ SHAH

Oleh : Lt. Muhammad Norfadli bin Badri TLDM 
         Timb. Pegawai Persenjataan

Pada 8 Mei 12 yang lepas, walaupun warga 1 MAHAWANGSA sibuk dengan kerja-kerja pemunggahan logistik di Pelabuhan Klang namun warga 1 MAHAWANGSA dengan berbesar hati menerima kunjungan Lawatan 5S seramai 40 orang pensyarah dan staf dari Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah yang tiba seawal jam 9 pagi. 


Ketibaan rombongan ini disambut dengan mesra oleh Pegawai Bertugas Harian yang kemudiannya membawa rombongan ke Geladak Kereta Kebal untuk mendengar kata-kata aluan dari Pegawai Memerintah dan menonton tayangan montaj Amalan 5S kapal diikuti montaj Membelah Samudera. 

Seterusnya rombongan dibahagikan kepada 4 kumpulan dan dibawa melawat sekitar kapal antaranya Rumah Masak, Bilik Kawalan Jentera, Anjungan, Geladak Helikopter dan haluan kapal.

Selesai lawatan sekitar kapal, rombongan lawatan disajikan dengan kudapan ringan yang disediakan di Geladak Kereta Kebal. Rata-rata peserta lawatan kagum dengan Amalan 5S yang diamalkan di kapal dan ingin menjadikan Amalan 5S di kapal sebagai contoh untuk dipraktikan di Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah. Lawatan ini selesai pada jam 1240. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...