Subscribe:

adds 468 x 60

Saturday, April 21, 2012

Laungan Pantai Timur

Sumber: Buletin Armada 2/11
Oleh: Lt Mohamad Nazmi bin Zailan TLDM N/404383—KD PERAK


Malaysia adalah merupakan salah sebuah negara di rantau Asia Tenggara yang mempunyai sempadan perairan maritim yang luas. Hampir keseluruhan sempadan negara adalah melibatkan kawasan perairan. Justeru, adalah penting bagi negara untuk memantau keadaan kawasan sempadan perairan tersebut pada sebilang masa bagi mengelakannya dari dicerobohi sewenang-wenangnya oleh anasir-anasir luar yang mempunyai niat jahat terhadap negara. Selain itu, kawasan perairan negara  turut menyimpan khazanah yang  sangat bernilai seperti gas asli, petroleum serta kawasan perikanan yang luas yang secara  majoritinya terletak perairan pantai timur negara. Maka, adalah penting bagi Malaysia khususnya bagi angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memiliki satu Armada yang kredibel bagi memantau serta memastikan kedaulatan perairan pantai timur serta segala kepentingan negara yang berada di dalamnya sentiasa terpelihara. Lantaran itu, tanggungjawab tersebut  telah digalas oleh aset- aset Armada yang berada di bawah naungan Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1).            


Armada MAWILLA 1 kini diperkuatkan dengan aset-aset yang terdiri daripada 2 buah Kapal Ronda Generasi Baru (NGPV) dan 6 buah kapal di dalam Squadron Kapal Penyerang Laju (FAC). Antara kapal-kapal yang berada di dalam Squadron Kapal Ronda ke 17 adalah KD PERAK dan KD TERENGGANU  manakala kapal-kapal yang berada di dalam   Squadron Kapal Penyerang Laju ialah KD GEMPITA, KD PERKASA, KD PERDANA, KD HANDALAN, KD GANYANG dan KD PENDEKAR. Selain itu, Armada MAWILLA 1 turut dibantu serta diperkasakan dengan kehadiran sebuah bot tempur laju (CB 90) bagi melaksanakan tugas-tugas bantuan kepada kapal-kapal yang beroperasi.

Dalam usaha untuk memastikan kesemua aset Armada MAWILLA 1 sentiasa berada pada tahap yang baik dan sedia untuk diatur-gerakan pada bila-bila masa, ia sudah pastinya memerlukan satu    sistem pentadbiran yang mantap dan efisyen. Oleh yang demikian, tugas tersebut telah digalas dan dipertanggungjawabkan kepada Pegawai Memerintah KD PERAK iaitu Komander Shahriman bin Hj Mahmud TLDM yang turut merangkap jawatan   sebagai Perwakilan Pegawai Kanan Armada. Beliau telah mula menjawat perjawatan tersebut sejak 8 Mac 10 dan di sepanjang tempoh tersebut sehingga kini, telah banyak kejayaan serta pencapaian telah dicapai dan boleh           dibanggakan oleh seluruh warga Armada MAWILLA 1. Ia berdasarkan kepada jumlah operasi yang melibatkan kapal-kapal Armada MAWILLA 1 yang telah dilaksanakan.

Antara operasi yang melibatkan Armada MAWILLA 1 adalah Operasi Kekal Warisan yang mana ia merupakan satu kesinambungan daripada operasi yang dahulunya lebih dikenali dengan nama Operasi Kukuh Warisan.

Selain itu, kapal-kapal dari squadron ini turut terlibat dengan rondaan di kawasan Coordinated Patrol Area/ Joint Development Area (CPA/JDA) bersama-sama dengan kapal-kapal Tentera Laut Diraja  Thailand. Ia adalah salah satu konsep rondaan bersama yang telah dipersetujui oleh  kerajaan kedua-dua buah negara. Kawasan tersebut yang merangkumi kawasan persempadanan kedua-dua buah negara telah diwartakan sebagai kawasan yang akan dibangunkan serta dipantau   secara bersama oleh pihak Malaysia dan juga Thailand.
               
Di samping daripada penglibatan di dalam pelayaran operasi, Armada MAWILLA 1 turut tidak ketinggalan untuk terlibat dengan beberapa siri lawatan operasi ke negara jiran antaranya sempena Ops PATKOR-MALINDO 111/11 yang telah berlangsung mulai 7 hingga 16 Mac 11.  KD GEMPITA dan KD HANDALAN telah berkesempatan untuk menyertai operasi tersebut sebelum    merapat di jeti  LANTAMAL 1, Belawan, Indonesia mulai 15 hingga 17 Mac 11 yang lalu. Pelbagai latihan di laut telah dilaksanakan oleh kapal-kapal yang terlibat dari kedua-dua buah negara sepanjang  rondaan dilakukan. Selain itu, beberapa aktiviti sosial seperti sukan yang melibatkan warga kapal dan anggota tentera laut Indonesia turut dilaksanakan. Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya oleh warga  kapal untuk melawat dan melancong di sekitar bandar  Belawan selain beriadah dan membeli belah sepanjang berada di sana. Dengan cara ini, secara tidak langsung ia mampu untuk meringankan bebanan serta mengurangkan tekanan kerja warga kapal.


Aktiviti Armada MAWILLA 1 tidak hanya melibatkan pelayaran operasi dan latihan semata-mata malah turut melibatkan aktiviti di pangkalan dan di  sekitarnya. Bagi memastikan warga Armada MAWILLA 1 sentiasa bersedia untuk menjalani operasi dan latihan, beberapa siri ceramah atau penerangan tentang evolusi-evolusi di laut serta prosedur yang betul untuk melaksanakannya turut diadakan pada setiap minggu. Faktor kemantapan rohaniah juga perlu seiring dengan kecermerlangan jasmani. Justeru itu, ia tidak pernah diabaikan  termasuklah di kalangan warga Armada MAWILLA 1. Lanjutan daripada itu, pihak  Armada telah mengambil kesempatan untuk menganjurkan Tahlil Bulanan yang telah dikelolakan oleh KD PERAK. Majlis telah  dilaksanakan di Masjid Al-Amin, Balok Perdana pada 17 Feb 11. Majlis juga  telah disertai oleh bukan hanya warga Armada malah seluruh warga MAWILLA 1. Ia juga adalah merupakan sebahagian daripada aturcara bulanan  pihak Markas, maka    secara tidak langsung ia telah menyokong aktiviti tersebut di samping mampu untuk menyediakan santapan rohani kepada setiap warga MAWILLA 1 terutamanya di kalangan warga Armada. Ia adalah penting agar segala urusan yang melibatkan  Armada MAWILLA 1 di permudahkan serta diberkati Allah SWT.


Adalah diharapkan Armada MAWILLA 1 akan terus maju serta diperkasakan dengan kehadiran aset-aset rondaan yang lebih efisyen dan berkeupayaan untuk melaksanakan  operasi dan rondaan dengan lebih efektif.  Negara juga sewajarnya amat berbangga dengan pencapaian Armada MAWILLA 1 sehingga kini memandangkan ia telah banyak membantu Armada TLDM secara keseluruhannya di dalam mencapai kejayaan dan juga telah berjaya mengharumkan serta mengangkat martabat negara setanding dengan negara-negara lain di rantau ini. Dengan yang demikian maka dengan ini diharapkan Armada MAWILLA 1 akan mampu untuk meneruskan laungan pantai timur yang mampu menggerunkan petualang-petualang yang cuba untuk menggugat kedaulatan Malaysia yang tercinta. Sedia Berkorban. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...