Subscribe:

adds 468 x 60

Wednesday, April 25, 2012

LATIHAN BELAYAR BERSAMA KD MAHAWANGSA




Pada 8 hingga 14 April 2012 yang lalu, satu program latihan belayar bersama Kapal TLDM, KD MAHAWANGSA telah diadakan bermula di Lumut hingga Langkawi. Latihan tersebut telah dilaksanakan oleh 68 warga KD SRI KLANG (KDSK) yang terdiri daripada Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat. Latihan ini juga telah dikendalikan oleh Pegawai Staf KDSK iaitu Lt. Kdr. Dzulkarnain Bin Ismail TLDM dan Pegawai Laksana KDSK iaitu Lt. Kdr. Tamreez Kaur PSSTLDM. Tujuan latihan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan sebenar kepada warga KDSK tentang kehidupan dan aktiviti di atas kapal.

Pada hari pertama iaitu pada 8 April (Ahad), semua peserta berkumpul di KDSK untuk tujuan pergerakan dan taklimat ringkas oleh Pegawai Staf. Mereka akan bermalam di atas kapal kerana kapal akan bergerak keesokkan harinya. Setibanya para peserta di atas kapal, satu taklimat ringkas diberikan oleh Pegawai Pertugas Harian. Taklimat adalah mengenai keselamatan dan mereka diberikan jaket keselamatan untuk digunakan sepanjang pelayaran.
Pada hari kedua latihan diadakan, bacaan doa dapat didengari di pelusuk kapal menandakan bahawa sauh sudah diangkat dan kapal akan mula belayar. Para peserta diarahkan untuk bersama-sama kru kapal membuat persediaan belayar. Tepat jam 0830 H, KD MAHAWANGSA meluncur keluar meninggalkan Labuhan Pangkalan TLDM. Sepanjang pelayaran, pelbagai aktiviti telah dirangka sebagai latihan kepada warga KDSK. Antara aktiviti yang dijalankan pada hari Isnin ialah latihan melawan kebakaran dan melawan api (MKMA) oleh anak kapal dan stesen kecemasan. Selain itu, pihak kapal juga menunjukkan latihan penembakan dan pengujian meriam 57 mm iaitu A-gun dan Y-gun, gpmg dan senjata oerlikon 20 mm. Semua peserta juga dibenarkan untuk mencuba menembak menggunakan gpmg. Pada sebelah petang, permainan hoki geladak diadakan sebagai aktiviti senaman petang. Malamnya pula, latihan ‘Flashing’ iaitu membaca Kod Morse diadakan di geladak penerbangan. Jam 2100 H, kapal berlabuh di perairan Pulau Pinang.


Keesokkan harinya iaitu pada 10 April, selepas sauh dibongkah menuju ke Langkawi, laut bergelora kerana cuaca buruk. Oleh itu, teori latihan pemindahan ‘Jackstay’ diadakan di geladak kereta kebal. Diikuti pula latihan ‘flashing’ iaitu semaphore. Para peserta tekun mendengar penerangan yang diberikan. Malahan, mereka berpeluang untuk melakukan aksi semaphore dan meneka apakah jawapan yang diberikan. Pada sebelah malam akan diadakan Majlis Ramah Mesra bersama anak-anak kapal. Oleh itu, peserta pelayaran bergotong-royong bersama kru kapal menyiapkan juadah, tempat makan dan pentas. Malahan, peserta juga akan membuat persembahan mengikut awasan mereka. Majlis tamat pada jam 2300 H kerana pada malam tersebut, setiap awasan akan bertugas mengikut kawasan masing-masing.


Jam 0800 H, KD Mahawangsa berlabuh di Labuhan Pangkalan MAWILLA 3, Langkawi. Pegawai Memerintah membenarkan kelepasan kepada semua anak kapal sehingga jam 0200 H. Namun begitu, kapal akan dicuci dan dibersihkan terlebih dahulu kerana ia akan menerima kunjungan daripada pelbagai agensi yang berada di Langkawi. Akan tetapi, kelepasan ini dibatalkan apabila semua kru kapal diarahkan kembali ke kapal kerana Pulau Langkawi dijangka akan menerima ancaman bencana tsunami. Jika arahan meminta bergerak, kapal akan digerakkan ke utara manakala warga PSSTLDM akan didaratkan di MAWILLA 3. Pada jam 2200 H, pihak kapal menerima arahan bahawa amaran tsunami ditarik balik dan kapal akan kekal berada di Langkawi untuk lawatan pada keesokannya.

Pada 12 April, warga KDSK melawat Markas Wilayah Laut Tiga (MAWILLA 3). Kami disambut mesra oleh pegawai yang terlibat. Lawatan ini diadakan sebagai aktiviti tambahan kepada PSSTLDM di samping menambahkan pengetahuan tentang aktiviti dan pengurusan MAWILLA 3. Markas ini bertanggungjawab memenuhi keperluan operasi di Perairan Selat Melaka Utara dan bantuan logistik untuk penempatan di Pulau Perak yang terletak lebih kuran 68 batu nautika Barat Daya Pulau Langkawi. Selepas itu, para peserta bergegas pulang ke kapal untuk mengikuti lawatan dari agensi luar. Lawatan tersebut diadakan kerana kapal ini adalah kapal contoh yang menerima persijilan 5S daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC). Kapal ini juga digelar duta mobil oleh Timbalan Ketua Pengarah MPC, Tn. Hj. Ahmad Fadzil Bin Mahmud kerana pengikhtirafan yang diterima. Kemudian, para peserta mengambil peluang untuk berkelepasan sekitar pulau lagenda ini sehingga jam 0100 H.

Tepat jam 0700 H, sauh mula dibongkah dan kapal bergerak keluar dari perairan Langkawi. Kapal dijangka akan tiba di Lumut pada jam 2000 H. Ketika waktu makan tengahari, anak-anak kapal dihidangkan dengan masakan yang dibantu oleh warga PSSTLDM. Ini merupakan satu penghargaan kepada kru kapal atas jasa yang telah diberikan kepada peserta. Oleh kerana, pergerakan balik ke KDSK pada 14 April, oleh itu, kelepasan ke bandar Lumut diberikan. Malahan, para peserta akan bermalam buat kali terakhir di atas kapal.

Terima Kasih KD MAHAWANGSA
Pengalaman yang dikumpul semasa belayar tidak akan dapat dilupakan. Segala tunjuk ajar dan bantuan yang dihulurkan sepanjang latihan akan menjadi satu azimat kepada warga KDSK yang mengikuti latihan pelayaran ini. Diharapkan, akan ada lagi latihan-latihan seperti ini diwujudkan untuk pendedahan sebenar kepada Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat Simpanan Sukarela yang sedia berkorban demi negara tercinta.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...