Subscribe:

adds 468 x 60

Monday, April 30, 2012

PROGRAM TV AL-HIJRAH DI KD MAHAWANGSA

Oleh: Lt Mohd Nasrul Hashim TLDM 
         Pembantu Pegawai Jurutera Eletrik & Senjata 



27 Apr 12 - Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari TLDM ke-78 dengan slogan kata “Warga Berinformasi Menjana Transformasi”, satu rakaman rancangan TV Al-Hijrah telah diadakan di Geladak Kereta Kebal bertajuk ‘Solat Dan Kehidupan’ yang disampaikan oleh Mejar Ustaz Md Shahrim bin Abd Hamid Pegawai Agama Kanan KD MALAYA. 


Hampir keseluruhan warga KD MAHAWANGSA telah menghadiri program ceramah ini yang dilakukan setelah selesai Perbarisan Hari TLDM. Dalam ceramah yang disampaikan ini Mej Shahrim menekankan pentingnya kita sebagai umat islam dan anggota tentera menjaga perhubungan dengan Allah S.W.T bagi mendapat keberkatan di dalam kehidupan kita seharian. 


Sesi soal jawab juga dibuka selesai ceramah, ini bertujuan untuk memberi kesempatan kepada warga kapal bertanyakan soalan dan memberi pendapat masing-masing bagi perkongsian ilmu dan merungkaikan segala persoalan yang bermain difikiran. Oleh itu, marilah kita sama-sama meningkatkan perhubungan kita sebagai warga TLDM dan umat islam dengan Allah S.W.T semoga mendapat keberkatan di dunia dan akhirat. Sekian, Sedia Berkorban.

Sunday, April 29, 2012

WARGA BERINOVASI, PENCETUS TRANSFORMASI


OLEH LT MUHAMMAD SHAFIE BIN RAZI TLDM
            TIMBALAN PEGAWAI PEPERANGAN ELEKTRONIK

CHIEF OF NAVY COMMENDATION

KEMUNCAK KEJAYAAN PEGAWAI MEMERINTAH KD MAHAWANGSA


Pingat Pujian Panglima Tentera Laut

'Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’, perumpamaan  yang amat sesuai diungkapkan kepada Kepten Jamel bin Abd Rahman TLDM, Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA,  ini dizahirkan lagi apabila perbarisan sempena Sambutan Hari TLDM Ke 78, beliau telah menerima Pingat Pujian Panglima Tentera Laut (PPTL) daripada Panglima Tentera Laut YBHG Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Bin Haji Jaafar. 

Chief of Navy Commendation atau Pujian Panglima Tentera Laut (PPTL) ini merupakan satu penghargaan atau pengiktirafan yang diberikan kepada pegawai, anggota serta           kakitangan awam yang telah mencurahkan khidmat bakti yang cemerlang sepanjang perkhidmatan serta mengharumkan nama TLDM.

Mula berkhidmat dengan TLDM pada 1 Mei 1981 dan memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA sejak 4 Jan 2010.  Kecemerlangan beliau terserlah apabila menjadi Pegawai Memerintah kapal yang pertama yang diberi kepercayaan oleh pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia, Malaysia Productivity Corporation (MPC) untuk KD MAHAWANGSA dipersijilkan sebagai kapal pertama di Malaysia yang menerima persijilan Quality Environment (5S).      
YBHG Panglima Tentera Laut menyematkan lencana di dada Kept Jamel
Pengiktirafan tertinggi ini membuktikan kemampuan beliau sebagai Pegawai Memerintah kapal yang berjaya mempamerkan sikap seorang pegawai yang professional dan berkredibiliti tinggi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan serta mampu menjadi pemimpin yang dapat menyalurkan maklumat, pengetahuan dan kepakaran dalam bidang ‘5S’ kepada organisasi-organisasi awam dan syarikat-syarikat swasta yang lain melalui lawatan-lawatan yang dilakukan ke kapal tersebut.

Hasil daripada kepimpinan beliau itu juga, pihak MPC telah melantik KD MAHAWANGSA sebagai duta Quality Environment (5S) MPC dan beliau telah diberi kepercayaan sebagai jurucakap yang mana berkongsi pengalaman beliau dalam pelaksanaan ‘5S’ dalam   program-program anjuran MPC ini. 

Kept Jamel bersama isteri yang sentiasa menyokong karier beliau
Seramai 289  pegawai kerajaan dan pengurusan syarikat swasta dari 89 agensi kerajaan telah mendapat faedah hasil lawatan ke KD MAHAWANGSA. Kredibiliti Kepten Jamel dalam menerajui KD MAHAWANGSA jelas membuktikan kejayaan demi kejayan telah ditempa seterusnya mengharumkan nama TLDM. Bravo Zulu.

Saturday, April 28, 2012

PUJIAN PANGLIMA TENTERA LAUT

Lencana Pujian Pangima Tentera Laut

Pujian Panglima Tentera Laut (PPTL) atau Chief of Navy Commendation merupakan anugerah yang diberikan kepada pegawai, anggota lain-lain pangkat dan kakitangan awam yang berkhidmat dalam organisasi TLDM. 

PPTL diberikan kepada seseorang yang telah menyumbang khidmat bakti dan mengharumkan nama TLDM ke persada negara serta secara langsung menaikkan imej TLDM.

Penganugerahan PPTL juga diberi kepada kapal dan unit yang dicadangkan oleh Timbalan Panglima Tentera Laut atau Panglima Formasi. 

Penghargaan sebegini diberikan kepada kapal dan unit sebagai satu entiti dan disimpan oleh kapal dan unit tersebut. 

Penyampaian anugerah ini akan dibuat oleh Panglima Tentera Laut pada setiap tahun semasa Perbarisan Sambutan Hari TLDM atau majlis yang bersesuaian lain.

ANUGERAH PUJIAN PANGLIMA TENTERA LAUT


OLEH LT MUHAMMAD SHAFIE BIN RAZI TLDM

        TIMBALAN PEGAWAI PEPERANGAN ELEKTRONIK


SAMBUTAN HARI TLDM KE –78

KD MAHAWANGSA MELAKAR SEJARAH



Tanggal 27 April 2012 menzahirkan TLDM telah mencecah usia 78 tahun. Sambutan Hari TLDM ini membawa pengertian yang amat besar dalam melakarkan sejarah kewujudan TLDM, peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat kepada semua warga “The navy people” serta segala pengorbanan warga terdahulu. 

Dalam usianya yang menjangkau hampir 8 dekad ini, TLDM ini telah berjaya menempuh berbagai cabaran dalam memastikan transformasi daripada ‘Brown Water Navy’ hinggalah ke tahap ‘The Blue Water navy’ menjadi kenyataan. 

Dengan tahap keupayaan Blue Water Navy yang merangkumi kemampuan menghadapi peperangan dalam pelbagai dimensi di wilayah maritim negara mahupun antarabangsa telah mempamerkan KD MAHAWANGSA bukanlah sebuah aset armada yang calang-calang. 


Ini dibuktikan semasa sambutan Hari TLDM ke 78, Panglima Tentera laut YBHG Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Bin Haji Jaafar telah menganugerahkan pingat Pujian Panglima Tentera Laut kepada KD MAHAWANGSA diatas kejayaan menyelamatkan MT NAUTICA JOHOR BHARU yang dirampas lanun pada 29 Okt 11 yang lalu di Perairan Laut China Selatan. 

Anugerah Pujian Panglima Tentera Laut ini diberikan kepada kepada warga TLDM dan kapal-kapal serta unit-unit yang telah memberikan khidmat cemerlang serta berjaya mengharumkan nama TLDM di persada armada. KD MAHAWANGSA yang bertindak sebagai Kapal Pemerintah semasa Operasi menyelamat dijalankan bersama-sama 3 aset TLDM yang lain iaitu KD KELANTAN, KD JEBAT dan KD LEKIU. 


Pingat kepujiaan itu telah disampailan oleh Ybhg PTL kepada Kepten Jamel Bin Abd Rahman TLDM selaku Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA semasa perbarisan sempena Ulang Tahun TLDM Ke 78 di Padang Kawad KD PELANDOK. Dengan kehadiran penonton dan juga warga 1 MAHAWANGSA yang memenuhi setiap ruang padang kawad bagi menyaksikan acara yang penuh bersejarah itu. 

Anugerah Pujian Tentera laut ini membuktikan kemampuan aset –aset TLDM dalam mempertahankan kepentingan negara dan ia juga turut membuktikan bahawa kesiagaan kapal dan anak-anak kapal sentiasa berada di tahap tertinggi dan bersedia untuk melaksanakan sebarang misi bagi menjaga perairan negara ini. Sekali lagi ‘Bravo Zulu’ kepada KD MAHAWANGSA. 

MAHAWANGSA KINI

Nukilan: PW I PRL Ramli bin Ali
            PSSTLDM KD SRI KLANG




Di kesempatan yang ada ketika Majlis Penutup Pelayaran PSSTLDM KD SRI KLANG yang lalu. Sebuah lagi sajak telah diperdengarkan kepada warga kapal dan PSSTLDM KD SRI KLANG. Kali ini ianya telah dideklamasikan oleh PW I PRL Ramli bin Ali.


Friday, April 27, 2012

ATURCARA PROGRAM DAN AKTIVITI SAMBUTAN HARI TLDM KE-78

Gambar kredit: www.navy.mil.my

TARIKH
MASA
AKTIVITI
LOKASI
20 - 22
APR
0900 - 2300
KARNIVAL HALAL
PERKARANGAN MASJID AN-NUR /DEWAN SOLAT/ DEWAN PPI

22 APR
0800 - 1830
PEMULAAN PROJEK JIWA MURNI
KAMPUNG MASJID PULAU PANGKOR
Pakaian: 2C.

25 APR
0800 - 1200
PERJUMPAAN KEAGAMAAN KHAS
RUMAH IBADAT DI MANJUNG

26 APR
0900 - 1000
PERASMIAN KOMPLEKS PRA SEKOLAH

KOMPLEKS PRA SEKOLAH
Pakaian: 2B
1015 - 1600

MAJLIS MERAIKAN ANAK-ANAK YATIM
KD MAHAWANGSA
Pakaian: 2B
1830 - 2200
MAJLIS BACAAN YASSIN DAN TAHLIL
MASJID AN-NUR
Pakaian: KEBANGSAAN LENGKAP
2000 - 2300
PERJUMPAAN KHAS PENGANUT AGAMA HINDU
KUIL PANGKALAN TLDM LUMUT
27 APR
0830 - 0945

PERBARISAN HARI TLDM KE-78
PADANG KAWAD KD PELANDOK
1000 - 1025
PERUTUSAN HARI TLDM KE-78
AUDITORIUM M.SIDEK
S/S
PELANCARAN BUKU DAFTAR PESARA

S/S

PENYAMPAIAN SIJIL STANDARD OF TRAINING CERTIFICATION AND WATCH KEEPING (STCW)

S/S
SIDANG MEDIA
BLUE LOUNGE GUN HUT

S/ S

JAMUAN DI GUN HUT
GUN HUT

1000 - 1100
LAWATAN KE 96 HAT OLEH BAKAT (L)
96 HAT

1300 - 1400
KHUTBAH KHAS HARI TLDM SERENTAK DI SEMUA FORMASI
MASJID AN-NUR
Pakaian: BUSH JACKET
1400 - 1800

KAPAL DIBUKA UNTUK LAWATAN
TPL

1430 - 1700

MAJLIS MERAIKAN BALU-BALU TLDM
PUSAT PEMBANGUNAN WANITA (PPW)
1600 - 1700

PERASMIAN KOMPLEKS MEMANAH
KOMPLEKS MEMANAH
Pakaian: BUSH JACKET
2000 - 2300
PERASMIAN PESTA LAUT PANGKOR
DATARAN LUMUT
Pakaian: BATIK
28 APR
0800 - 1200

PERJUMPAAN KEAGAMAAN KHAS KRISTIAN
GEREJA SEKITAR LUMUT DAN MANJUNG

0900 - 1030

PENUTUP JIWA MURNI
KG. MASJID PULAU PANGKOR
Pakaian: 2A

1000 - 1800

KAPAL DIBUKA UNTUK LAWATAN
TPL

1100 - 1200
LAWATAN KE PPDK DAN PERASMIAN KOLAM HIDROTERAPI
MARKAS BANTUAN/PPDK
Pakaian: 2A

1200 - 1330

MAJLIS PERASMIAN BLOK H
BLOK H
Pakaian: 2A

1700 - 2230
PERTANDINGAN PANCARAGAM SEKOLAH-SEKOLAH  MENENGAH MALAYSIA PERINGKAT NEGERI PERAK
STADIUM PANGKALAN TLDM LUMUT
Pakaian: SMART KASUAL
29 APR
0800 - 0830

PELANCARAN WALKATHON SRIKANDI NUSA MALAYSIA
DATARAN LUMUT
Pakaian: SUKAN

2000 - 2200
PERLAWANAN AKHIR PIALA ZAIN
STADIUM PANGKALAN TLDM LUMUT
Pakaian: SMART KASUAL
30 APR
1000 - 1400
PROGRAM DERMA DARAH SERENTAK DI SEMUA FORMASI
AUDITORIUM M.SIDEK
Pakaian: 2A

Membelah Samudera Bersama Anak-anak Yatim

Sumber: Lt Misyran Haffizul Izlan bin Mazuki TLDM
              Pembantu Pegawai Jurutera elektrik & Senjata 2

Upacara pelepasan kapal oleh YBhg PTL dan isteri 
Tanggal 26 Apr 12 merupakan tarikh yang bermakna buat 110 orang anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim kawasan negeri Perak apabila berpeluang mengikuti pelayaran bersama KD MAHAWANGSA sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ke-78. Turut serta mengikuti pelayaran bagi meraikan anak-anak yatim adalah Ketua Staf Markas Armada, Laksamana Pertama Dato’ Khairul Anuar bin Yahya TLDM, dan Kumpulan Muzik Gelombang Biru. Majlis ini telah diceriakan lagi dengan kehadiran pelakon dan pelawak terkenal tanahair iaitu Mazlan Pet Pet (SENARIO) selaku pengacara yang digandingkan dengan Lt Muhammad Shafie bin Razi TLDM. 

Taklimat Keselamatan oleh Pegawai Laksana
Upacara pelepasan tali Kapal KD MAHAWANGSA telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Hj Jaafar di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut pada jam 1000H. Setelah selesai upacara, kesemua penumpang diberikan Taklimat Keselamatan oleh Pegawai Laksana KD MAHAWANGSA iaitu Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM. 

Sukaneka 'Bola Beracun'
Persembahan Lawak oleh Lan Pet Pet
Anak-anak yatim telah diraikan dengan beberapa acara menarik yang telah diprogramkan dari awal pelayaran sehingga kembali merapat ke Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) pada jam 1600H. Antara aktiviti yang telah diprogramkan adalah tayangan montaj Membelah Samudera, acara sukaneka, persembahan lawak oleh Mazlan Pet Pet serta persembahan nyanyian dari kumpulan Gelombang Biru. 

Pegawai Memerintah mendendangkan lagu 'Anak Kampung' 
Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA, Kept Jamel Bin Abd Rahman TLDM tidak melepaskan peluang keemasan untuk bersama-sama menghiburkan anak-anak yatim dengan mendendangkan lagu “Anak Kampung” yang pernah dipopularkan oleh Jimmie Palikat sambil diiringi Gelombang Biru. 

Warga 1MAHAWANGSA membantu dalam menyediakan juadah tengahari

Menjamu selera bersama anak-anak yatim
Anak-anak kapal juga tidak melepaskan peluang untuk menjamu selera bersama anak-anak yatim di Geladak Kereta Kebal. Setelah selesai menjamu selera, anak-anak kapal dan juga anak-anak yatim bersama-sama menunaikan solat Zohor secara berjemaah di Geladak Kenderaan. 

Kumpulan Fauzan
Majlis ini diakhiri dengan persembahan nasyid anak-anak yatim dari kumpulan Fauzan yang dianggotai oleh kanak-kanak lelaki dan juga kumpulan Ummul Sofia yang dianggotai oleh kanak-kanak perempuan. 

Kumpulan Ummul Sofia
Kegembiraan jelas terpancar di setiap wajah anak-anak yatim sepanjang mengikuti pelayaran ini. 

Thursday, April 26, 2012

"KAPAL DIBUKA UNTUK LAWATAN UMUM" PANGLIMA TENTERA LAUT

Sumber: www.navy.mil.my



Kuala Lumpur, 23 Apr - Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Hj Jaafar hari ini telah menghadiri sesi wawancara khas melalui rancangan Malaysia Hari Ini di saluran TV3 bersempena dengan Sambutan Hari TLDM Ke-78. Antara intipati yang dibincangkan sewaktu sesi wawancara adalah mengenai aktiviti sepanjang sambutan Hari TLDM dan pengunjung awam yang berdekatan dengan pangkalan-pangkalan TLDM juga turut diberi peluang untuk melawat kapal TLDM yang dibuka untuk lawatan. Program tersebut diadakan sempena sambutan Hari TLDM Ke-78 yang akan disambut pada 27 Apr 12.


Di samping itu, YBhg Tan Sri berkesempatan untuk menyingkap kembali sejarah penubuhan TLDM, kejayaan yang dikecapi, cabaran yang dihadapi, perancangan masa hadapan serta aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Markas atau Formasi sempena Hari TLDM Ke-78.


Menerusi Rancangan MHI ini juga, TLDM turut memperlihatkan kemahiran anggota kulinari KD PELANDOK dalam seni mengukir buah-buahan sebagai perhiasan. Lt Azmi bin Hj Rahman TLDM, Pegawai Jurulatih Hospitaliti telah memaklumkan bahawa minat yang mendalam terhadap bidang kemahiran seni ukiran ini perlu wujud bagi menghasilkan seni ukiran yang bermutu tinggi.


Badan Kesenian (BAKES) TLDM turut mengadakan persembahan di perkarangan Sri Pentas TV3. Ketika ditanya, Lt Dya Mohd Shamram bin Ramli TLDM, Pegawai Kesenian TLDM menyatakan bahawa BAKES TLDM telah banyak mengadakan persembahan di majlis yang melibatkan tetamu kenamaan dan majlis Diraja. Populariti kumpulan ini amat terserlah dan setanding dengan artis tempatan. Di samping itu juga, beberapa elemen penting diperlukan sebagai anggota BAKES TLDM bagi memberi impak maksima ketika membuat sesuatu persembahan. Selain daripada bakat, minat, kemahiran bermain dan berpengetahuan dalam bidang muzik anggota juga perlu berkorban masa dan tenaga.



Wednesday, April 25, 2012

LATIHAN BELAYAR BERSAMA KD MAHAWANGSA




Pada 8 hingga 14 April 2012 yang lalu, satu program latihan belayar bersama Kapal TLDM, KD MAHAWANGSA telah diadakan bermula di Lumut hingga Langkawi. Latihan tersebut telah dilaksanakan oleh 68 warga KD SRI KLANG (KDSK) yang terdiri daripada Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat. Latihan ini juga telah dikendalikan oleh Pegawai Staf KDSK iaitu Lt. Kdr. Dzulkarnain Bin Ismail TLDM dan Pegawai Laksana KDSK iaitu Lt. Kdr. Tamreez Kaur PSSTLDM. Tujuan latihan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan sebenar kepada warga KDSK tentang kehidupan dan aktiviti di atas kapal.

Pada hari pertama iaitu pada 8 April (Ahad), semua peserta berkumpul di KDSK untuk tujuan pergerakan dan taklimat ringkas oleh Pegawai Staf. Mereka akan bermalam di atas kapal kerana kapal akan bergerak keesokkan harinya. Setibanya para peserta di atas kapal, satu taklimat ringkas diberikan oleh Pegawai Pertugas Harian. Taklimat adalah mengenai keselamatan dan mereka diberikan jaket keselamatan untuk digunakan sepanjang pelayaran.
Pada hari kedua latihan diadakan, bacaan doa dapat didengari di pelusuk kapal menandakan bahawa sauh sudah diangkat dan kapal akan mula belayar. Para peserta diarahkan untuk bersama-sama kru kapal membuat persediaan belayar. Tepat jam 0830 H, KD MAHAWANGSA meluncur keluar meninggalkan Labuhan Pangkalan TLDM. Sepanjang pelayaran, pelbagai aktiviti telah dirangka sebagai latihan kepada warga KDSK. Antara aktiviti yang dijalankan pada hari Isnin ialah latihan melawan kebakaran dan melawan api (MKMA) oleh anak kapal dan stesen kecemasan. Selain itu, pihak kapal juga menunjukkan latihan penembakan dan pengujian meriam 57 mm iaitu A-gun dan Y-gun, gpmg dan senjata oerlikon 20 mm. Semua peserta juga dibenarkan untuk mencuba menembak menggunakan gpmg. Pada sebelah petang, permainan hoki geladak diadakan sebagai aktiviti senaman petang. Malamnya pula, latihan ‘Flashing’ iaitu membaca Kod Morse diadakan di geladak penerbangan. Jam 2100 H, kapal berlabuh di perairan Pulau Pinang.


Keesokkan harinya iaitu pada 10 April, selepas sauh dibongkah menuju ke Langkawi, laut bergelora kerana cuaca buruk. Oleh itu, teori latihan pemindahan ‘Jackstay’ diadakan di geladak kereta kebal. Diikuti pula latihan ‘flashing’ iaitu semaphore. Para peserta tekun mendengar penerangan yang diberikan. Malahan, mereka berpeluang untuk melakukan aksi semaphore dan meneka apakah jawapan yang diberikan. Pada sebelah malam akan diadakan Majlis Ramah Mesra bersama anak-anak kapal. Oleh itu, peserta pelayaran bergotong-royong bersama kru kapal menyiapkan juadah, tempat makan dan pentas. Malahan, peserta juga akan membuat persembahan mengikut awasan mereka. Majlis tamat pada jam 2300 H kerana pada malam tersebut, setiap awasan akan bertugas mengikut kawasan masing-masing.


Jam 0800 H, KD Mahawangsa berlabuh di Labuhan Pangkalan MAWILLA 3, Langkawi. Pegawai Memerintah membenarkan kelepasan kepada semua anak kapal sehingga jam 0200 H. Namun begitu, kapal akan dicuci dan dibersihkan terlebih dahulu kerana ia akan menerima kunjungan daripada pelbagai agensi yang berada di Langkawi. Akan tetapi, kelepasan ini dibatalkan apabila semua kru kapal diarahkan kembali ke kapal kerana Pulau Langkawi dijangka akan menerima ancaman bencana tsunami. Jika arahan meminta bergerak, kapal akan digerakkan ke utara manakala warga PSSTLDM akan didaratkan di MAWILLA 3. Pada jam 2200 H, pihak kapal menerima arahan bahawa amaran tsunami ditarik balik dan kapal akan kekal berada di Langkawi untuk lawatan pada keesokannya.

Pada 12 April, warga KDSK melawat Markas Wilayah Laut Tiga (MAWILLA 3). Kami disambut mesra oleh pegawai yang terlibat. Lawatan ini diadakan sebagai aktiviti tambahan kepada PSSTLDM di samping menambahkan pengetahuan tentang aktiviti dan pengurusan MAWILLA 3. Markas ini bertanggungjawab memenuhi keperluan operasi di Perairan Selat Melaka Utara dan bantuan logistik untuk penempatan di Pulau Perak yang terletak lebih kuran 68 batu nautika Barat Daya Pulau Langkawi. Selepas itu, para peserta bergegas pulang ke kapal untuk mengikuti lawatan dari agensi luar. Lawatan tersebut diadakan kerana kapal ini adalah kapal contoh yang menerima persijilan 5S daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC). Kapal ini juga digelar duta mobil oleh Timbalan Ketua Pengarah MPC, Tn. Hj. Ahmad Fadzil Bin Mahmud kerana pengikhtirafan yang diterima. Kemudian, para peserta mengambil peluang untuk berkelepasan sekitar pulau lagenda ini sehingga jam 0100 H.

Tepat jam 0700 H, sauh mula dibongkah dan kapal bergerak keluar dari perairan Langkawi. Kapal dijangka akan tiba di Lumut pada jam 2000 H. Ketika waktu makan tengahari, anak-anak kapal dihidangkan dengan masakan yang dibantu oleh warga PSSTLDM. Ini merupakan satu penghargaan kepada kru kapal atas jasa yang telah diberikan kepada peserta. Oleh kerana, pergerakan balik ke KDSK pada 14 April, oleh itu, kelepasan ke bandar Lumut diberikan. Malahan, para peserta akan bermalam buat kali terakhir di atas kapal.

Terima Kasih KD MAHAWANGSA
Pengalaman yang dikumpul semasa belayar tidak akan dapat dilupakan. Segala tunjuk ajar dan bantuan yang dihulurkan sepanjang latihan akan menjadi satu azimat kepada warga KDSK yang mengikuti latihan pelayaran ini. Diharapkan, akan ada lagi latihan-latihan seperti ini diwujudkan untuk pendedahan sebenar kepada Pegawai dan Anggota Lain-Lain Pangkat Simpanan Sukarela yang sedia berkorban demi negara tercinta.

Tuesday, April 24, 2012

Majlis Perpisahan Mantan Ketua Pegawai Peperangan KD MAHAWANGSA

Sumber: Lt Mohd Nasrul Hashim TLDM 
             Pembantu Pegawai Jurutera Eletrik & Senjata 

Satu majlis ringkas telah diadakan di Wisma Perwira baru-baru ini bagi menyampaikan cenderahati kepada mantan Ketua Pegawai Peperangan (KPU) Lt Kdr Dzulkarnain bin Ismail TLDM . Walaupun setelah empat bulan meninggalkan kapal dan telah bertukar ke unit baru iaitu KD SRI KLANG ahli Wisma Perwira masih sempat melakukan majlis sebegini walaupun tidak dirancang. 


Kesempatan ini diambil semasa Lt Kdr Dzulkarnain bin Ismail TLDM menjadi Pegawai Pengiring Pasukan Simpanan Sukarelawan TLDM (PSSTLDM) dalam pelayaran latihan bersama KD MAHAWANGSA. 

Dalam majlis tersebut KPU dihadiahkan senaskah buku bertajuk Blue Ocean Strategy hasil tulisan W. Chan Kim dan Renee Mauborgne dan ditandatangani oleh Pegawai Memerintah dan para pegawai KD MAHAWANGSA. 


Dalam ucapan mantan PPU, beliau menyampaikan rasa terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih ke atas warga KD MAHAWANGSA kerana telah memberikan kerjasama penuh dan tunjuk ajar dalam menjayakan program pelayaran latihan bersama PSSTLDM. 

Pegawai Memerintah menasihati KPU supaya hubungan yang telah terjalin antara KD MAHAWANGSA dan KD SRI KLANG dapat dieratkan lagi dengan lebih banyak latihan dilakukan antara dua unit ini. 

Daripada warga KD MAHAWANGSA ingin kami ucapkan syabas dan tahniah kepada mantan KPU serta berjaya di dalam tugas yang diamanahkan. 

Sekian, Sedia Berkorban.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...