Subscribe:

adds 468 x 60

Wednesday, March 14, 2012

Pencetus Semangat


Sumber: Harian Metro
                6 Mac 12



KEJAYAAN MENYELAMAT KAPAL DIRAMPAS LANUN JADI MOTIVASI KREW KD MAHAWANGSA

Kuching:  Kejayaan operasi menyelamatkan sebuah kapal tangki yang dirampas lanun di Laut China Selatan, pada 27 Oktober tahun lalu mencetuskan motivasi kepada anak kapal KD MAHAWANGSA untuk terus menjaga perairan negara daripada pelbagai ancaman yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Usaha menyelamatkan dua hari yang digerakkan itu, tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa, malah mengangkat martabat kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA, Kepten Jamel bin Abd Rahman, berkata kejadian berlaku ketika kapal membawa 19 anak kapal dan 11 daripadanya adalah rakyat Malaysia ditawan lanun pada jam 5.30 pagi.

“Kapal dagang milik Malaysia dikenali MT Nautika Johor dirampas sekumpulan lanun bersenjatakan ketika belayar di Laut China Selatan. Kapal berkenaan membawa muatan minyak dan gas dalam perjalanan dari Melaka ke Sibu, Sarawak sebelum dirampas di Selat Singapura.

“Sebaik dirampas, kapal tangki berkenaan dibawa ke utara perairan negara iaitu menuju ke Indonesia sebelum dibebaskan pada jam 9.10 malam, dua hari kemudian,” katanya ketika berucap sempena Lawatan 5S Pegawai Pemerintah ke KD MAHAWANGSA di Pelabuhan Kuching di Pending, semalam.

Lawatan itu antara lain membolehkan orang ramai mengetahui lebih dekat mengenai sejarah penubuhan kapal berkenaan yang kini merangkul lima anugerah sepanjang setahun ditubuhkan.

Kejayaan itu berdasarkan konsep 5S diperkenalkan dalam kapal berkenaan, iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.

Jamel berkata, kejayaan operasi menyelamat itu adalah yang paling besar dicapai warga kapal berkenaan sehingga kapal TLDM itu diangkat sebagai ‘sifu’ kepada kapal lain.

“Bukan itu saja, saya begitu teruja apabila melihat anak kapal mewujudkan satu kumpulan yang mampu bekerjasama dalam semua aspek. Inilah kunci sebenar kapal itu terpilih sebagai kapal terbaik di negara ini.” katanya.

Kapal ini juga dikenali sebagai “Duta Kecil” bagi memperkenalkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pengurusan kapal itu kepada pihak umum melalui pelbagai program yang dilakukan.    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...