Subscribe:

adds 468 x 60

Friday, March 02, 2012

Majlis Koktel KD MAHAWANGSA



Sempena kehadiran KD MAHAWANGSA di Sandakan, satu inisiatif diambil oleh pihak pengurusan kapal dan KD SRI SANDAKAN untuk meraikan kejayaan dalam melaksanakan Kapal Terbuka Untuk Lawatan Awam pada 18 dan 19 Feb 12 yang lalu.

Pendekatan yang diambil adalah dengan mengadakan Majlis Koktel KD MAHAWANGSA yang telah dilakukan pada 21 Feb 12 di Geladak Penerbangan, KD MAHAWANGSA. Majlis ini bertujuan untuk meraikan kejayaan mengadakan kapal terbuka. Di samping itu, tujuan majlis ini dilakukan juga adalah untuk menjalinkan hubungan yang sedia terjalin antara KD MAHAWANGSA dan KD SRI SANDAKAN supaya lebih erat lagi. Seramai 145 orang tetamu yang hadir di mana para jemputan terdiri dari warga KD SRI SANDAKAN serta kapal-kapal yang berlabuh dan tetamu-tetamu kenamaan dari jabatan-jabatan kerajan dan NGO.



Majlis yang bermula pada jam 1930H dimulai dengan Tarian Lolai yang dipersembahkan oleh Kumpulan Gema Tari dari Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) , KD SRI SANDAKAN sebagai pembuka majlis. Seterusnya persembahan montaj dari KD MAHAWANGSA yang bertajuk ‘Suka Duka Warga 1MAHAWANGSA’ juga turut ditayangkan kepada para hadirin.


Dalam ucapan Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA Kept Jamel bin Abd Rahman TLDM beliau berasa sungguh teruja kerana majlis sebegini berjaya dilaksanakan. Ini menunjukkan kerjasama antara warga kapal dan pangkalan telah menghasilkan satu majlis yang gilang gemilang di mana sukar untuk melihat suasana sebegini di kapal-kapal lain.



Sejurus ucapan Kept Jamel TLDM, LK I PAP Abdul Rahman bin Ibn Hajar ditugaskan untuk memimpin bacaan doa. Selesai bacaan doa, acara seterusnya adalah menikmati juadah yang telah disediakan oleh Tukang Masak KD MAHAWANGSA dan KD SRI SANDAKAN. Sebanyak 22 jenis hidangan disediakan, di mana KD MAHAWANGSA mengambil tugasan menyiapkan 14 hidangan manakala KD SRI SANDAKAN sebanyak 8 hidangan. Kecekapan Ketua Rumah Masak Kapal, BK BDI Rusli dan anak-anak buah beliau memang harus dipuji kerana 14 hidangan yang ditugaskan adalah dimasak sendiri. Rata-rata para tetamu yang hadir berasa teruja dengan hidangan yang disediakan.



Acara selingan seperti persembahan tarian oleh Kumpulan Gema Tari diselang-selikan dengan persembahan nyanyian dari Borneo Rhythm Band dari PSTL juga dipertontonkan. Untuk menarik perhatian tetamu yang yang hadir satu pertunjukan silap mata oleh ‘Irpan The Magician’ turut dipersembahkan untuk menghiburkan para tetamu. Pertunjukan yang memakan masa hampir 15 minit ini berjaya membuatkan adrenalin para tetamu meningkat kerana Irpan telah memperlihatkan aksi silap mata yang berbahaya secara berdepan dengan tetamu, di mana jika difikirkan adalah amat tidak logik dek akal untuk membuatnya.



Sebelum majlis bersurai Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA mengambil kesempatan yang ada untuk menghadiahkan cenderahati kenang-kenangan kepada Pegawai Memerintah KD SRI SANDAKAN Kept Ali bin Idrus TLDM yang bakal bertukar keluar ke Markas Tentera Laut.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...