Subscribe:

adds 468 x 60

Tuesday, March 06, 2012

Lawatan 5S di Kuching, Sarawak



Berikutan kejayaan melaksanakan Lawatan 5S di Sabah baru-baru ini, tanggal 5 Feb menyaksikan kapal menerima Lawatan 5S dari jabatan-jabatan kerajaan dan swasta negeri Sarawak. Di antaranya ialah Jabatan Imigresen Malaysia, SME Corp Malaysia, Harwood Timber Sdn Bhd dan pelbagai lagi.

Majlis bermula dengan ketibaan tetamu-tetamu VIP iaitu Y.Bhg Datuk Abang Haji Abdul Karim Tun Abang Hj Openg; Presiden Sarawak Chamber of Commerce & Industry (SCCI), Y.Bhg Datu Abu Bakar bin Mat; Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan Tuan Haji Ab Rahim bin Yusoff; Pengarah Kanan MPC ke kapal. Kehadiran pelawat pada lawatan ini berjumlah 40 orang


Seterusnya para tetamu dibawa ke Geladak Kereta Kebal melalui elevator dan diraikan oleh warga 1MAHAWANGSA. Dalam ucapan Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA; Kept Jamel bin Abd Rahman TLDM, beliau merasa bangga dengan sikap keperibadian dan semangat yang ada dalam diri setiap warga kapal kerana mampu melaksanakan setiap tugasan yang diberikan dengan sempurna. Amalan 5S yang diamalkan menjadi pemangkin kepada kemajuan dan peningkatan kualiti setiap kerja.

Menyusul selepas itu ialah Taklimat 5S oleh Pegawai Laksana Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM. Taklimat yang disampaikan mencakupi amalan dan pelaksanaan 5S oleh setiap jabatan, bahagian serta Kumpulan 5S di kapal bermula selepas kapal keluar dari limbungan sehinggalah ke minggu-minggu akhir audit.


Lawatan ke sekeliling kapal dimulakan sebaik sahaja Taklimat 5S selesai. Lawatan pada kali ini dibahagikan kepada 4 buah kumpulan di mana Kumpulan 1 diketuai oleh Pegawai Memerinah dan Pegawai Laksana mengetuai Kumpulan 2. Manakala Kumpulan 3 serta 4 masing-masing diketuai oleh Lt Mohd Fiqri bin Othman TLDM dan Lt  Mohamad Juhaizal bin Mohamad Junid TLDM. Objektif lawatan adalah untuk menunjukkan kepada para pelawat mengenai Amalan 5S yang dilakukan oleh setiap jabatan dan bahagian kapal.

Selesai sahaja lawatan, majlis diteruskan dengan ucapan oleh Y.Bhg Datuk Abang Haji Abdul Karim Tun Abang Hj Openg; Presiden SCCI. Dalam ucapannya beliau amat berbangga dengan pencapaian yang dilakukan oleh KD MAHAWANGSA sehingga terkedu seketika kerana tidak mampu meneruskan ucapan beliau.

“Pencapaian yang diterima KD MAHAWANGSA amat tinggi, ini harus dijadikan contoh oleh jabatan-jabatan kerajaan dan swasta yang lain. Bukan senang sebuah kapal yang untuk mengekalkan Amalan 5S kerana ianya amat sukar, tetapi saya berbangga kerana sikap dan dedikasi anak-anak kapal yang sentiasa berfikiran positif untuk meneruskan amalan ini. Saya sangat teruja apabila melawat bilik jentera kapal, tiada sedikit pun minyak yang dijumpai. Ianya bagaikan kapal yang tidak pernah belayar langsung. Jika dibandingkan dengan kapal-kapal mewah 5 bintang yang pernah saya naiki, saya gredkan KD MAHAWANGSA ini setaraf 6 bintang” kata Datuk Abdul Karim sebelum mengakhiri ucapan beliau.

Majlis diteruskan dengan penukaran cenderahati antara kapal dan wakil MPC Sarawak. Sebelum majlis selesai, para pelawat dan warga kapal menikmati hidangan yang dihidangkan oleh Tukang Masak Kapal yang diperakui amat menyelerakan.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...