Subscribe:

adds 468 x 60

Tuesday, February 28, 2012

Lawatan 5S Oleh Pengarah MPC & Wakil Kerajaan Negeri Sabah


“Saya akan mencadangkan KD MAHAWANGSA dilantik sebagai Duta 5S” berikut adalah cadangan yang dikemukakan semasa ucapan balas oleh Y.B. Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmun, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).


Cadangan tersebut diucapkan beliau sempena Lawatan 5S beliau serta rombongan kerajaan negeri dan wakil MPC Sabah ke KD MAHAWANGSA ketika kapal berlabuh di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) pada 28 Feb 12. Rombongan seramai 35 orang terdiri dari jabatan-jabatan kerajaan negeri Sabah seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Penjara Pusat Kota kinabalu, Pejabat Pilihan Raya Negeri dan sebagainya.


Majlis bermula pada jam 0930H dengan ketibaan Ahli Lembaga Pengarah beserta rombongan ke kapal. Seterusnya majlis bermula dengan ketibaan para rombongan ke kapal melalui elevator yang berada di Geladak Kenderaan. Sebelum itu keterujaan para pelawat dapat dilihat dengan ramai pelawat bercakap tentang kebersihan dan kekemasan persekitaran kapal.
Sementara itu kapal turut menerima kunjungan Panglima Armada Yang Berbahagia Laksamana Madya Dato’ Wira Jamil bin Osman dan Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Mohammad Rosland bin Omar ke kapal untuk meraikan hari yang bersejarah ini. Kunjungan Panglima Armada ke PTKK bertujuan untuk menyaksikan majlis serah menyerah tugas Panglima Wilayah Laut 2 yang baru di antara Laksamana Muda Dato’ Anuwi bin Hassan dan Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Mohammad Rosland bin Omar. Walaupun kunjungan tersebut hanya sementara, tetapi ianya amat bermakna bagi warga 1MAHAWANGSA kerana kesudian Dato' untuk menjenguk kapal dilihat sebagai pembakar semangat warga kapal untuk terus maju jaya.
Dalam ucapan pembukaan Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA Kept Jamel bin Abd rahman TLDM, beliau berkata kejayaan 5S ini adalah daripada kesungguhan dan semangat warga 1MAHAWANGSA sendiri yang inginkan persekitaran yang kondusif di tempat kerja.


Menurutnya, kejayaan kapal untuk memperolehi Sijil ISO dan OHSAS juga berpandukan Amalan 5S yang diterapkan di jiwa warga kapal. Ini kerana Amalan 5S adalah sebagai pemudahcara dalam menyelesaikan segala permasalahan yang timbul. Dari Amalan 5S inilah pelbagai penambahbaikan untuk ISO dan OHSAS telah timbul di kapal demi memastikan kesenangan dan memudahkan warga kapal untuk melaksanakan kerja.
Seterusnya Taklimat 5S telah diberikan oleh Pegawai Laksana KD MAHAWANGSA Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM selaku Ketua 5S kapal. Dalam taklimat tersebut beliau telah memfokuskan perjalanan Amalan 5S sejak kapal keluar dari limbungan pada awal tahun 2011 sehinggalah sekarang. Kejayaan-kejayaan kapal seperti memenangi kejohanan sukan, pelaksanaan tugasan operasi dan sebagainya diperlihatkan kepada pelawat.
Montaj 5S yang disediakan oleh Tim Promosi 5S dipersembahkan untuk tatapan para pelawat sementara menanti acara seterusnya iaitu lawatan keseluruhan kapal. Lawatan yang dibahagikan kepada 3 kumpulan diketuai sendiri oleh Pegawai Memerintah bagi Kumpulan 1. Manakala Kumpulan 2 serta 3 diketuai oleh Pegawai Laksana dan Timbalan Pegawai Persenjataan Lt Mohd Fiqri bin Othman TLDM.


Lawatan ini difokuskan ke setiap kompartmen, jabatan dan bahagian-bahagian kapal di mana untuk membuktikan kepada para pelawat bahawasanya Amalan 5S ini diterapkan ke setiap pelusuk kapal tanpa ada satu bahagian pun yang tertinggal. Dalam lawatan tersebut beberapa tempat kerja seperti Anjungan, Stor OSL, Pejabat Kapal dan beberapa tempat lagi diuji oleh para pelawat untuk menentukan barang-barang yang diminta mampu diperolehi dalam masa 1 minit. Alhamdulillah, setiap Pemilik Proses juga diuji berjaya mendapatkannya dalam masa kurang dari 30 saat.

Selesai lawatan, para pelawat berkumpul kembali di Geladak Kereta Kebal untuk mendengar ucapan balas oleh Y.B. Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmum. Dalam ucapan tersebut, beliau berasa bangga kerana KD MAHAWANGSA mampu memperolehi persijilan 5S. Ini sesuatu yang luar biasa kerana sebuah kapal yang belayar seperti ini ia telah berdiri setanding dengan jabatan-jabatan kerajaan dan swasta yang telah lama dipersijilkan Amalan 5S. KD MAHAWANGSA harus dijadikan penanda aras dalam kecemerlangan Amalan 5S oleh jabatan-jabatan yang sedang menuju ke arah persijilan 5S.

Dalam pada itu, Datuk Buhtamam menegaskan jabatan-jabatan kerajaan dan swasta harus melawat KD MAHAWANGSA jika ia berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia. Oleh sebab itu beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah MPC untuk mencadangkan KD MAHAWANGSA sebagai ‘Duta 5S’ kerana berkeupayaan untuk berlayar ke mana-mana pelabuhan.
Sesi pertukaran cenderahati juga dilakukan di antara kapal dan pihak MPC Sabah. Sesungguhnya lawatan ini berupaya untuk menjulang nama TLDM amnya dan KD MAHAWANGSA khasnya dalam merealisasikan hasrat pucuk pimpinan untuk menuju tahap ‘World Class Navy’.

Sebelum majlis selesai pihak kapal ada menyediakan kudapan ringan kepada para pelawat yang hadir. Hasil tinjauan, ramai mengatakan kekaguman kerana tidak menyangka masakan kapal setanding dengan restoran-restoran ternama. Ada di antara para pelawat hanya mendengar tentang kelazatan masakan kapal dan ini merupakan pengalaman pertama mencubanya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...