Subscribe:

adds 468 x 60

Wednesday, February 29, 2012

Lawatan Ke Rainforest Discovery Centre


Rainforest Discovery Centre yang terletak berhampiran dengan Pusat Pemulihan Orang Utan, Sepilok juga merupakan tempat yang harus dikunjungi. Warga KD MAHAWANGSA juga tidak melepaskan peluang melawat ke sini.




Bagi pencinta alam, inilah tempat yang tidak harus dilepaskan jika berada di Sandakan. Jika anda bernasib baik, anda berpeluang untuk melihat burung-burung yang jarang dilihat di Semenanjung Malaysia. Kepelbagaian flora dan fauna memang berjaya menarik perhatian para pengunjung.



Terkenal dengan ‘Sepilok Giant’ pokok ini antara yang terbesar di Borneo. Pastikan anda memakai pakaian dan kasut yang sesuai kerana anda bakal meluangkan masa hampir 3 ke 4 jam untuk menjelajah tempat ini.

Dengan tiket bernilai RM 5 tempat ini memang patut dikunjungi untuk mengisi masa terluang yang ada. 


Tuesday, February 28, 2012

Lawatan 5S Oleh Pengarah MPC & Wakil Kerajaan Negeri Sabah


“Saya akan mencadangkan KD MAHAWANGSA dilantik sebagai Duta 5S” berikut adalah cadangan yang dikemukakan semasa ucapan balas oleh Y.B. Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmun, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).


Cadangan tersebut diucapkan beliau sempena Lawatan 5S beliau serta rombongan kerajaan negeri dan wakil MPC Sabah ke KD MAHAWANGSA ketika kapal berlabuh di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) pada 28 Feb 12. Rombongan seramai 35 orang terdiri dari jabatan-jabatan kerajaan negeri Sabah seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Penjara Pusat Kota kinabalu, Pejabat Pilihan Raya Negeri dan sebagainya.


Majlis bermula pada jam 0930H dengan ketibaan Ahli Lembaga Pengarah beserta rombongan ke kapal. Seterusnya majlis bermula dengan ketibaan para rombongan ke kapal melalui elevator yang berada di Geladak Kenderaan. Sebelum itu keterujaan para pelawat dapat dilihat dengan ramai pelawat bercakap tentang kebersihan dan kekemasan persekitaran kapal.
Sementara itu kapal turut menerima kunjungan Panglima Armada Yang Berbahagia Laksamana Madya Dato’ Wira Jamil bin Osman dan Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Mohammad Rosland bin Omar ke kapal untuk meraikan hari yang bersejarah ini. Kunjungan Panglima Armada ke PTKK bertujuan untuk menyaksikan majlis serah menyerah tugas Panglima Wilayah Laut 2 yang baru di antara Laksamana Muda Dato’ Anuwi bin Hassan dan Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Mohammad Rosland bin Omar. Walaupun kunjungan tersebut hanya sementara, tetapi ianya amat bermakna bagi warga 1MAHAWANGSA kerana kesudian Dato' untuk menjenguk kapal dilihat sebagai pembakar semangat warga kapal untuk terus maju jaya.
Dalam ucapan pembukaan Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA Kept Jamel bin Abd rahman TLDM, beliau berkata kejayaan 5S ini adalah daripada kesungguhan dan semangat warga 1MAHAWANGSA sendiri yang inginkan persekitaran yang kondusif di tempat kerja.


Menurutnya, kejayaan kapal untuk memperolehi Sijil ISO dan OHSAS juga berpandukan Amalan 5S yang diterapkan di jiwa warga kapal. Ini kerana Amalan 5S adalah sebagai pemudahcara dalam menyelesaikan segala permasalahan yang timbul. Dari Amalan 5S inilah pelbagai penambahbaikan untuk ISO dan OHSAS telah timbul di kapal demi memastikan kesenangan dan memudahkan warga kapal untuk melaksanakan kerja.
Seterusnya Taklimat 5S telah diberikan oleh Pegawai Laksana KD MAHAWANGSA Kdr Ahmad Nazree bin Abu Hassan TLDM selaku Ketua 5S kapal. Dalam taklimat tersebut beliau telah memfokuskan perjalanan Amalan 5S sejak kapal keluar dari limbungan pada awal tahun 2011 sehinggalah sekarang. Kejayaan-kejayaan kapal seperti memenangi kejohanan sukan, pelaksanaan tugasan operasi dan sebagainya diperlihatkan kepada pelawat.
Montaj 5S yang disediakan oleh Tim Promosi 5S dipersembahkan untuk tatapan para pelawat sementara menanti acara seterusnya iaitu lawatan keseluruhan kapal. Lawatan yang dibahagikan kepada 3 kumpulan diketuai sendiri oleh Pegawai Memerintah bagi Kumpulan 1. Manakala Kumpulan 2 serta 3 diketuai oleh Pegawai Laksana dan Timbalan Pegawai Persenjataan Lt Mohd Fiqri bin Othman TLDM.


Lawatan ini difokuskan ke setiap kompartmen, jabatan dan bahagian-bahagian kapal di mana untuk membuktikan kepada para pelawat bahawasanya Amalan 5S ini diterapkan ke setiap pelusuk kapal tanpa ada satu bahagian pun yang tertinggal. Dalam lawatan tersebut beberapa tempat kerja seperti Anjungan, Stor OSL, Pejabat Kapal dan beberapa tempat lagi diuji oleh para pelawat untuk menentukan barang-barang yang diminta mampu diperolehi dalam masa 1 minit. Alhamdulillah, setiap Pemilik Proses juga diuji berjaya mendapatkannya dalam masa kurang dari 30 saat.

Selesai lawatan, para pelawat berkumpul kembali di Geladak Kereta Kebal untuk mendengar ucapan balas oleh Y.B. Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmum. Dalam ucapan tersebut, beliau berasa bangga kerana KD MAHAWANGSA mampu memperolehi persijilan 5S. Ini sesuatu yang luar biasa kerana sebuah kapal yang belayar seperti ini ia telah berdiri setanding dengan jabatan-jabatan kerajaan dan swasta yang telah lama dipersijilkan Amalan 5S. KD MAHAWANGSA harus dijadikan penanda aras dalam kecemerlangan Amalan 5S oleh jabatan-jabatan yang sedang menuju ke arah persijilan 5S.

Dalam pada itu, Datuk Buhtamam menegaskan jabatan-jabatan kerajaan dan swasta harus melawat KD MAHAWANGSA jika ia berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia. Oleh sebab itu beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah MPC untuk mencadangkan KD MAHAWANGSA sebagai ‘Duta 5S’ kerana berkeupayaan untuk berlayar ke mana-mana pelabuhan.
Sesi pertukaran cenderahati juga dilakukan di antara kapal dan pihak MPC Sabah. Sesungguhnya lawatan ini berupaya untuk menjulang nama TLDM amnya dan KD MAHAWANGSA khasnya dalam merealisasikan hasrat pucuk pimpinan untuk menuju tahap ‘World Class Navy’.

Sebelum majlis selesai pihak kapal ada menyediakan kudapan ringan kepada para pelawat yang hadir. Hasil tinjauan, ramai mengatakan kekaguman kerana tidak menyangka masakan kapal setanding dengan restoran-restoran ternama. Ada di antara para pelawat hanya mendengar tentang kelazatan masakan kapal dan ini merupakan pengalaman pertama mencubanya.


Lawatan Ke War Memorial


Sekumpulan warga KD MAHAWANGSA telah berkunjung ke War Memorial, Sandakan. Tujuan lawatan ini adalah untuk mengisi masa terluang yang ada semasa kapal berlabuh di Sandakan. Walaupun dalam keadaan gerimis, warga kapal tetap bersemangat untuk menjelajah ke tempat bersejarah ini.



Sedikit kekecewaan berlaku kerana tempat ini di dalam proses minor upgrade, tetapi ini tidak mematahkan semangat warga kapal kerana masih ada ruang penjelajahan untuk memahami apa yang berlaku.


Sejarah yang tercipta semasa Perang Dunia Ke-2 ini memperlihatkan kekejaman tentera Jepun, di mana seramai 2700 orang anggota tentera United Kingdom dan Australia yang telah di jadikan tawanan perang oleh tentera Jepun.

Di sana anda dapat melihat kronologi peristiwa tersebut bermula dari penahanan tawanan perang, dipaksa membina landasan kapal terbang, berkawat dari Sandakan ke Ranau sejauh 260km ataupun juga dikenali sebagai Death March, penyeksaan terhadap pelarian dan pelbagai lagi kekejaman yang dilakukan oleh Tentera Jepun.



Sebuah pondok kecil dibina oleh kerajaan negeri yang mempertontonkan diorama khemah tawanan perang, video hasil temuramah 6 orang tahanan perang yang berjaya menyelamatkan diri dan pelbagai info lagi boleh diketahui di sini.



Hasil lawatan ini sungguh bermakna kepada warga kapal kerana di samping mengetahui sejarah yang terjadi, pengetahuan tentang undang-undang sebagai tahanan perang berdasarkan Konvesyen Geneva juga dapat ditambah.

Monday, February 27, 2012

Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Kanan Armada



Detik bersejarah dilakarkan pada tanggal 27 Feb 12 bersempena dengan Majlis Serah Terima Tugas Pegawai Kanan Armada (PKA) yang baru di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Serah terima tugas ini diadakan di antara Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA Kept Jamel bin Abd Rahman TLDM dan Pegawai Memerintah KD PERAK Kept Abdul Rahman bin Ayob TLDM. Buat julung kalinya majlis ini diadakan di Markas Wilayah Laut 2 kerana sebelum ini, ia telah diadakan di Markas Armada.

Sebelum majlis bermula, berbagai perkara telah dibincangkan di antara kedua-dua Pegawai Memerintah mengenai tugas dan tanggungjawab yang harus dipikul demi memastikan Armada terus maju dan gemilang.

Majlis yang diadakan pada jam 0830H bermula dengan acara menandatangani sijil serah terima tugas dan penyerahan nota serah tugas PKA. Majlis ini disaksikan oleh Panglima Wilayah Laut 2 (PANGWILLA 2), Laksamana Muda Dato’ Anuwi bin Hassan dan diadakan di Markas Wilayah Laut 2.


Selesai serah menyerah tugas, Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA dan KD PERAK melakukan kunjungan hormat ke atas PANGWILLA 2. Majlis tersebut selesai pada jam 1030H.

Taklimat Kesedaran 5S



Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA sekali lagi berbesar hati telah menyampaikan Taklimat Kesedaran 5S secara lebih lanjut kepada warga KD SRI SANDAKAN bertempat di Auditorium KD SRI SANDAKAN.

Taklimat yang bermula pada jam 0830H telah mendapat sambutan yang amat mengalakkan.  Taklimat dimulakan oleh Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA dengan memberi pengertian apakah itu 5S iaitu Sisih, Susun, Sapu,  Seragam dan Sentiasa Amal.

Di dalam taklimat ini juga menerangkan bagaimana Amalan 5S ini dapat diaplikasikan di semua tempat sama ada di kapal, unit pangkalan dan sebagainya.


Taklimat yang diberikan menekankan perlaksanaan 5s perlu dilaksanakan agar dapat mewujudkan tempat kerja yang harmoni, bersih, selesa, teratur dan selamat. Selain itu Amalan 5S sedikit sebanyak dapat mengurangkan berlakunya kecelakaan dan mempertingkatkan lagi kesiagaan sesuatu tempat.

Taklimat yang amat bermakna dikongsikan lagi dengan sesi soal jawab bersama Pegawai Memerintah.  Rata-rata warga KD SRI SANDAKAN bertuah kerana dapat mendengar taklimat ini kerana memberi gambaran kepada warga KD SRI SANDAKAN bagaimana untuk memulakan Amalan 5S.

Kapal Terbuka Untuk Lawatan Awam Di Sandakan



Sebagai duta kecil untuk memperkenalkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pihak pengurusan KD MAHAWANGSA telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Kapal Terbuka Untuk Lawatan Awam di Sandakan. Mengambil kesempatan ketika kapal berlabuh di jeti KD SRI SANDAKAN, pihak pengurusan telah memilih tarikh 18 dan 19 Feb 12 untuk melaksanakannya. Ini bersesuaian kerana tarikh tersebut jatuh pada hari cuti hujung minggu.


Objektif utama acara ini adalah untuk memperkenalkan TLDM di mata warga penduduk Sandakan sekaligus menarik minat untuk menyertai TLDM. Sempena kapal terbuka ini juga pihak pengurusan kapal telah mengambil tindakan untuk menyediakan tapak pameran di Geladak Penerbangan. Sebanyak 7 buah tapak pameran disediakan seperti Jabatan Persenjataan, Selam, Navigasi, NBCD, Komunikasi, Bekalan dan Kelasi. Tujuan pameran ini dilaksanakan bertujuan mempromosikan TLDM dan menunjukkan kehidupan sebagai warga tentera laut di kapal.

Selain tapak pameran, kapal juga turut membuka gerai jualan dengan menjual pelbagai cenderahati kapal seperti t-shirt, mug, payung dan pelbagai lagi. Untuk memeriahkan lagi suasana, sesi karaoke juga disediakan di Geladak Penerbangan. Penyertaan yang diterima amat memberangsangkan dengan masing-masing menunjukkan bakat yang terpendam. Suasana sepanjang sesi karaoke berlangsung tidak ubah bagaikan sebuah konsert kerana penyertaan silih berganti tanpa henti.


Waktu lawatan dirancang pada jam 1000H tapi bagaikan tidak percaya warga Sandakan dari setiap pelusuk samada bandar, kawasan pedalaman seperti kampung dan penduduk dari Pulau Berhala sanggup datang ke kapal seawal jam 0800H. Apa yang lebih menarik perhatian adalah kunjungan warga asing seperti Sweden, Perancis, Pakistan dan Jerman juga tidak ketinggalan untuk melawat kapal. Sekaligus membuktikan kehadiran kapal TLDM berjaya menarik perhatian penduduk setempat dan warga asing untuk lebih mengenali TLDM.

Hasil dari temuramah terhadap pengunjung yang datang samada penduduk setempat atau warga asing, rata-rata mereka berasa teruja kerana dapat melawat kapal perang. Ini kerana peluang untuk melawat kapal TLDM adalah jarang-jarang dilakukan di Sandakan. Sejarah baru juga telah tercipta sepanjang 2 hari lawatan dengan kehadiran pengunjung seramai 15 000 orang berbanding pada tahun lepas seramai 12 000 orang. Sekaligus membuktikan kehadiran kapal TLDM berjaya menarik perhatian penduduk setempat dan warga asing untuk lebih mengenali TLDM.


Pihak pengurusan kapal bersyukur kerana tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang lawatan berlangsung. Jutaan terima kasih diucapkan kepada para pengunjung, semoga berjumpa lagi di masa akan datang. 

Sunday, February 26, 2012

'Sharing is Caring'

Sumber: Lt Dya Mohammad Afiq bin Andenan N/405165




Pegawai  Memerintah KD MAHAWANGSA telah dijemput oleh Pegawai-pegawai Memerintah kapal di KD SRI SANDAKAN untuk menyampaikan ceramah ‘Sharing is Caring’.  Ceramah yang diadakan di Auditorium KD SRI SANDAKAN dan dihadiri oleh semua warga KD SRI SANDAKAN yang terdiri daripada semua pegawai, bintara dan laskar kanan ke bawah.  Ceramah ini memfokuskan kepada 4 nilai teras TLDM iaitu Kemuliaan, Kesetiaan Keberanian dan Kebanggaan. 

Kemuliaan yang tinggi akan mempunyai budi pekerti luhur, jujur dan amanah kepada tanggungjawab yang diberikan.  Sirat-sifat ini merupakan ciri utama yang perlu ada bagi setiap warga TLDM bagi memastikan diri sentiasa dipandang mulia oleh rakan sekerja, pegawai mahupun dimata masyarakat.

Selain itu juga tahap disiplin yang tinggi dan patuh kepada arahan serta peraturan mencerminkan kesetiaan seorang warga TLDM kepada unit ataupun perkhidmatan.  Sikap ini adalah penting untuk mewujudkan semangat setia kepada negara tercinta.



Keberanian pula merupakan sikap yang wajib ada didalam jiwa seorang tentera.  Sifat ini akan sentiasa membuat warga tentera sanggup melakukan apa sahaja mahupun berkorban nyawa demi mempertahankan  kedaulatan agama,bangsa dan negara.

Kebanggaan kepada perkhidmatan merupakan aspek yang harus disemai di dalam jiwa setiap warga TDLM.  Setiap warga TLDM jangan sekali-kali memburukkan TLDM apatah lagi mendedahkan kelemahan yang ada kepada pihak luar.  Kebanggaan menjadi warga TLDM adalah seperti menganggap TLDM satu keluarga yang harmoni yang sentiasa bangga mempertahankan negara.

Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA juga menegaskan, Keikhlasan juga salah satu nilai teras yang harus dipupuk di kalangan warga TLDM.  Ini adalah kerana dengan keikhlasan dapat menghasilkan kerja yang cemerlang dan berkualiti.  



Tanda aras bagi sesebuah tentera laut bukan hanya dilihat dari segi pemilikan aset yang canggih atau banyak tetapi ia juga bergantung kepada warga Navy People yang mempunyai tahap sumber manusia yang tinggi.

Nilai teras ini perlu diterapkan agar seluruh warga TLDM dapat meningkatkan dan memiliki keupayaan mental yang tinggi bagi menghadapi segala cabaran dan dugaan yang dihadapi sepanjang perjalanan kita mencapai status tentera laut bertaraf dunia sejajar dengan Visi TLDM.  Ceramah yang banyak memberi banyak  manfaat ini diakhiri dengan sesi soal jawab .  

Jamuan Makan Ahli Wisma Perwira


AJK Wisma Perwira telah menganjurkan jamuan makan bertempat di Restoran Mama, Sandakan. Ke semua ahli Wisma Perwira termasuk Pegawai Memerintah turut hadir pada jamuan ini.



Tujuan utama jamuan ini adalah untuk memenuhi aktiviti wisma dan juga sebagai pendekatan untuk beramah mesra dengan semua ahli.



Di kesempatan yang ada juga pihak wisma menyampaikan hadiah kepada Pegawai Navigasi Lt Hamizan TLDM yang bakal berkahwin dalam masa terdekat. 

Saturday, February 25, 2012

Kunjungan Pegawai Memerintah KD SRI SANDAKAN



Kapal menerima kunjungan Pegawai Memerintah KD SRI SANDAKAN Kept Ali bin Idrus TLDM bersama keluarga sempena Kapal Terbuka Untuk Lawatan Awam dan disambut oleh Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA Kept Jamel bin Abd Rahman TLDM.


Sehubungan dengan itu kapal telah menyediakan juadah istimewa makan tengahari di Wisma Perwira. Selesai juadah, Kept Ali TLDM bersama keluarga sempat bertegur sapa dengan para pelawat yang mengunjungi kapal.

Di kesempatan yang ada, satu sesi bergambar juga turut diadakan di jeti. Di mana penyertaannya adalah pegawai-pegawai dan bintara-bintara kapal bersama-sama dengan Kept Ali TLDM sekeluarga.

Friday, February 24, 2012

Lawatan 5S Warga TLDM Sandakan




Warga TLDM Sandakan yang dianggotai seramai 50 orang telah mengadakan Lawatan 5S di KD MAHAWANGSA semasa kapal berlabuh di Sandakan.  Keanggotaan ini terdiri daripada pegawai-pegawai dan juga anggota lain-lain pangkat dari kapal yang beroperasi di Jeti KD SRI SANDAKAN iaitu KD BAUNG, KD SRI PERLIS, KD SRI JOHOR, KD SRI TIGA dan juga KD SRI GAYA. 


Kesempatan ini diambil semasa kapal bertambat di Jeti KD SRI SANDAKAN untuk pemunggahan barang logistik tempoh hari.  Sepanjang lawatan tersebut diadakan, para pelawat telah dibawa ke tempat-tempat seperti Anjungan, Bilik Komunikasi, Pejabat Kapal, Pejabat WE, Stor OSL dan berakhir di Tank Deck. 


Lawatan ini berakhir dengan Taklimat 5S dari Pegawai Laksana selaku Ketua 5S KD MAHAWANGSA yang diadakan di Tank Deck.  Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk menyampaikan penerangan dengan lebih jelas dan menunjukkan contoh-contoh pengimplementasian Amalan Persekitaran Berkualiti 5S di atas KD MAHAWANGSA.  Lawatan tersebut berakhir kira-kira pada jam 1100H.

Thursday, February 23, 2012

Garisan 109º Timur


Melintasi garisan 109º Timur menandakan kegembiraan bagi warga kapal yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia. Ini kerana sebaik sahaja melintasi garisan ini samada melalui jalan laut atau udara menandakan warga kapal sah untuk mendapat Elaun Malaysia Timur (EMT).

Elaun ini merupakan imbuhan kepada warga ATM atas khidmat dan sumbangan yang tidak mengenal erti penat lelah ketika berkhidmat di Sabah dan Sarawak. 

Wednesday, February 22, 2012

It’s Your Ship & Get Your Ship Together

Nukilan: Kept Jamel bin Abd Rahman TLDM
               Pegawai Memerintah 
               KD MAHAWANGSA
               

‘It’ Your Ship’ dan ‘Get Your Ship Together’ merupakan dua buah buku yang telah ditulis oleh Captain D. Michael Abrashoff. Beliau adalah pegawai Tentera Laut Amerika lulusan United States Naval Academy dan pernah berkhidmat sebagai Military Assistant kepada bekas Setiausaha Pertahanan, Dr. William J. Perry. Beliau telah bersara pada tahun 2001 dan merupakan pengasas dan CEO kepada Grassroots Leadership Centre.

Di dalam kedua-dua buku ini Captain D. Michael Abrashoff mencatatkan pengalaman beliau semasa memerintah USS Benfold. Beliau telah melaksanakan beberapa program yang telah mentransformasikan USS Benfold menjadi kapal paling efektif dan berkesan di armada Tentera Laut Amerika. Prinsip-prinsip dan falsafah pemerintahan beliau ini telah ditulis menjadi bab di dalam kedua-dua buku ini. Di antara tajuk-tajuk yang menarik ialah:

a.    Lead by Example.
b.    Listen Aggressively.
c.    Communicate Purpose and Meaning.
d.    Create a Climate of Trust.
e.    Look for Results not Salutes.
f.     Take Calculated Risks.
g.    Go Beyond Standard Procedure.
h.    Build Up Your People.
i.      Beyond Benfold.


Buku ini juga telah menceritakan suka duka serta liku-liku pemerintahan beliau serta cabaran yang telah dilalui. Isi kandungan banyak berkisar tentang teknik-teknik pengurusan yang efektif, prospek diri yang perlu ada untuk menjadi pemimpin hebat, tatacara bagaimana untuk menjadi pemimpin yang berjaya dan disegani serta pelbagai lagi perkara-perkara menarik. Coretan ayat dan kandungannya yang ringkas, membuatkan sesiapa sahaja yang membacanya mudah memahami.

Buku ini wajar dimiliki dan dibaca oleh setiap Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Panglima Armada yang telah meminjamkan buku milik peribadi beliau kepada saya sebaik sahaja beliau mengambil-alih pemerintahan sebagai Panglima Armada. Buku ini menjadi inspirasi kepada saya untuk menjadikan KD MAHAWANGSA  
                                                                ‘The Best Damn Ship’ di Armada TLDM.

Tuesday, February 21, 2012

Majlis Ramah Mesra Di PTKK



Sekali lagi sejarah dilakarkan oleh KD MAHAWANGSA atas kejayaan menganjurkan Majlis Ramah Mesra semasa berlabuh di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK). Objektif majlis ini diadakan adalah untuk mengenali warga PTKK sekaligus merapatkan hubungan yang sedia terjalin.


Majlis bermula pada jam 1200H dengan ketibaan Yang Berbahagia Panglima Markas Angkatan Kapal Selam merangkap Penguasa Operasi Kapal Selam (POKAS) Laksamana Pertama Dato’ Pahlawan Mohammad Rosland bin Omar bersama-sama pegawai-pegawai kanan dari PTKK melalui elevator kapal.


Tayangan montaj bertajuk ‘Ombak Badai KD MAHAWANGSA’ ditayangkan sebagai mukadimah majlis. Montaj berkisarkan pencapaian-pencapaian yang telah dilakukan oleh KD MAHAWANGSA sepanjang tahun 2011/12. Rata-rata para hadirin yang hadir merasa kagum atas pencapaian yang telah dilakukan oleh kapal sejak keluar dari limbungan pada tahun lalu.


Majlis diteruskan dengan ucapan Pegawai Memerintah dan disusuli dengan doa serta menikmati jamuan yang disediakan. Juadah yang disediakan oleh Tukang Masak Kapal yang diketuai oleh BK BDI Rusli ternyata tiada tandingan. Jutaan terima kasih diucapkan kepada beliau serta anak-anak buahnya atas keikhlasan memasak untuk tetamu seramai 145 orang.

Sesi karaoke juga disediakan oleh pihak kapal untuk para tetamu di mana penyanyi pertama adalah Lt Dya Irwandy TLDM dari KD GANAS yang mendendangkan lagu Dipenjara Janji yang dipopularkan oleh Awie.


Sebelum majlis bersurai Dato’ Rosland berbesar hati untuk melawat persekitaran KD MAHAWANGSA yang telah mengamalkan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S.

Monday, February 20, 2012

Pencapaian TLDM


Sumber: navy.mil.my

TLDM PENERAJU KEPADA SISTEM PENGURUSAN KUALITI DI DALAM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

KD MAHAWANGSA DAN KD SRI INDERA SAKTI, KAPAL PERANG PERTAMA DI DUNIA DAN DI MALAYSIA  YANG DIPERSIJILKAN Sistem Pengurusan Berintergrasi (SPB); ISO 9001:2008 dan OHSAS 18001:2007


Kept Jamel bin Abd Rahman TLDM, Pegawai Kanan Skuadron MPCSS Ke - 31 menerima Sijil Sistem Pengurusan Berintergrasi (SPB); ISO 9001:2008 dan OHSAS 18001:2007 daripada Menteri Pertahanan Malaysia dan di saksikan oleh PTD dan TPTL sempena Perbarisan Bulanan Menteri Pertahanan Tahun 2011. Persijilan ini telah meletakkan TLDM merupakan organisasi ketenteraan pertama di Malaysia dan dunia yang mempunyai kapal perang yang memiliki persijilan ini dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Record. Pencapaian ini membuktikan TLDM     telah maju setapak ke arah Tentera Laut Bertaraf Dunia.

KD MALAYA DAN KD PELANDOK, ORGANISASI KETENTERAAN DAN AWAM PERTAMA DIPERSIJILKAN ISO 22000:2005  DI MALAYSIA



Pegawai Memerintah MALAYA dan Pegawai Memerintah KD PELANDOK menerima Sijil Berintegrasi (SPB); ISO 9001:2008  dan ISO 22000:2005 untuk skop  ‘Penyediaan dan Penyajian Makanan Bermasak’ daripada Menteri Pertahanan. Pencapaian ini juga diiktiraf oleh Malaysia Book of Record yang meletakkan Tentera Laut  DiRaja Malaysia merupakan organisasi ketenteraan dan awam pertama dipersijilkan dalam Sistem Pengurusan dan Keselamatan Makanan sempena Perbarisan Bulanan Menteri Pertahanan tahun 2011.

KD LEKIU DAN KD SRI INDERA SAKTI, KAPAL PERANG PERTAMA DI DUNIA DIPERSIJILKAN BRONZE EARTHCHECK.




Pegawai Memerintah KD SRI INDERA SAKTI dan KD LEKIU menerima Sijil Bronze Earthcheck daripada Menteri Pertahanan kerana telah berjaya dipersijilkan Bronze Earthcheck sempena Perbarisan Bulanan Menteri Pertahanan tahun 2011.  Persijilan ini merupakan pengiktirafan antara bangsa ke atas usaha TLDM terhadap pemeliharaan alam sekitar. Kejayaan kapal-kapal ini telah meletakkan TLDM merupakan organisasi ketenteraan pertama melaksanakan persijilan ini di dunia dan telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Record.                                                   
          
CAWANGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT MARKAS TENTERA LAUT, ORGANISASI  KETENTERAAN DAN AWAM PERTAMA DIPERSIJILKAN Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat ISO 27001:2007 DI MALAYSIA



Kept Azhar bin Saadon TLDM , Pengarah Cawangan Teknologi Maklumat, Markas Tentera Laut  menerima Sijil Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat ISO 27001:2007 daripada Menteri Pertahanan Malaysia, sempena Perbarisan Menteri Pertahanan tahun 2011. Pencapaian ini telah meletakkan Tentera Laut  DiRaja Malaysia merupakan organisasi ketenteraan dan awam pertama di Malaysia yang dipersijilkan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Record.


Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksmana Madya Datuk Mohamed Noordin bin Ali 
bergambar bersama penerima sijil.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...