Subscribe:

adds 468 x 60

Wednesday, January 18, 2012

Gin Pennant Wisma Samudera Berkibar Di KD MAHAWANGSA


Tanggal 18 Jan 12, KD MAHAWANGSA sekali lagi melakar sejarah di awal tahun apabila berjaya mengadakan sambutan meraikan kenaikan pangkat pegawai-pegawai TLDM (Gin Pennant) di Geladak Kereta Kebal bermula jam 1200H dengan kehadiran pegawai-pegawai dari setiap unit dalam pangkalan.



Seterusnya pada jam 1230H ketibaan Yang Berbahagia Panglima Armada diiringi oleh Yang DiPertua Wisma Samudera dan Pegawai-pegawai Memerintah disambut oleh pegawai-pegawai yang diraikan. Kehadiran pegawai pada hari itu dianggarkan seramai 500 orang dari pelbagai unit.



Sebelum majlis dimulakan beberapa orang Pegawai Kanan TLDM dan Orang Besar Jajahan Manjung (OBJ) , Dato’ Ab Wahab bin Dato’ Sri Azizul Hasan telah dibawa melawat ke geladak atas dan bawah kapal untuk melihat implimentasi Amalan 5S di kapal. Secara keseluruhannya mereka amat kagum dengan Amalan 5S yang dilakukan di mana ianya menjadi tunjang kekuatan warga kapal untuk melaksanakan kerja dalam suasana yang bersih, teratur dan kemas.



Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh pengerusi majlis iaitu Lt Mohd Hafizul Hadi bin Hisham TLDM yang merupakan pegawai yang termuda yang diraikan. Seterusnya persembahan montaj yang menarik telah disediakan oleh AJK Persembahan dari Skuadron 26 Corvette memaparkan wajah-wajah pegawai yang diraikan.


Ucapan yang amat bermakna disampaikan oleh Yang Berbahagia Panglima Armada berkenaan dengan Request Pleasure of Company (RPC) dan Gin Pennant yang diadakan julung kalinya di KD MAHAWANGSA. Sebelum pegawai-pegawai menjamu selera, bagi memberkati majlis, bacaan doa disampaikan oleh Lt Kdr Norhysam bin Kamelan TLDM selaku pegawai yang terkanan yang diraikan.

Hidangan yang amat menyelerakan telah disediakan oleh Wisma Samudera dibantu oleh KD MAHAWANGSA. Sambil tetamu menikmati hidangan, majlis diserikan dengan persembahan oleh Kumpulan Gelombang Biru TLDM. Ketika tetamu asyik menikmati hidangan, Yang Berbahagia Panglima Armada sempat bertemu dan bertegur sapa serta berkenalan dengan pegawai-pegawai yang diraikan.

Sehubungan itu, Yang Berbahagia Panglima Armada meminta salah seorang daripada pegawai-pegawai tersebut untuk tampil kehadapan bagi mendendangkan sebuah lagu. Justeru pegawai termuda yang diraikan tampil dan mendendangkan sebuah lagu yang bertajuk ‘Biarlah Bulan Bicara’.

Bagi menyerikan lagi majlis, Orang Besar Jajahan Manjung, Dato’ Ab Wahab bin Dato’ Sri Azizul Hasan telah tampil kehadapan dan mendendangkan 2 buah lagu Inggeris.



Rata-rata pegawai yang hadir pada Gin Pennant ini berpuas hati dengan apa yang telah dipersembahkan oleh Armada TLDM dan besar harapan mereka aktiviti sosial sebegini diadakan lagi di kapal yang lain. Majlis selesai pada jam 1400H.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...