Subscribe:

adds 468 x 60

Saturday, December 10, 2011

Teknik 5S


Teknik 5S akan diguna pakai oleh semua warga kapal bagi mewujudkan tempat kerja yang sistematik, teratur, bersih dan kemas. Amalan ini akan menjadikan sistem kebersihan kapal lebih efisien, efektif dan memudahkan tugas harian dan rutin yang akan dilaksanakan.

Teknik 5S ini merupakan teknik yang asas yang menjurus kepada pelaksanaan aktiviti harian di tempat kerja. Apabila perlaksanaan ini dapat dibuat, maka setiap warga kapal yang bertugas di kapal akan mempunyai rasa tanggungjawab dan sayang pada kapal. Setiap warga kapal berperanan untuk melaksanakan 5S tanpa ada seorang pun akan tertinggal. Ringkasnya, amalan 5S ini memerlukan penglibatan dan sokongan dari semua warga KD MAHAWANGSA bagi menjayakannya.

5S adalah singkatan bagi istilah-istilah Jepun seperti Seiri (SISIH), Seiton (SUSUN), Seiso (SAPU), Seiketsu (SERAGAM) & Shitsuke (SENTIASA AMAL). Aktiviti ini merupakan aktiviti yang mudah dilakukan. Selain menggunakan cara kerja yang bersesuaian ianya akan menghasilkan impak yang lebih praktikal.

SEIRI - SISIH


     Menyisih dan membuang barang yang tidak perlu di tempat kerja. Barang-barang seperti sampah dan alatan yang tidak diperlukan serta tidak perlu proses pelupusan, perlu dibuang oleh warga yang bertanggungjawab ke tempat yang disediakan. Apabila kita membuat SISIH barang yang tidak diperlukan akan dapat dikenal pasti, dan ianya akan menyebabkan ruang penyimpanan akan lebih luas.


SEITON - SUSUN

     Menyusun dan menyimpan barang dengan kemas, mudah diambil dan disimpan semula ditempatnya. Seiton memerlukan penyusunan fail dan barang-barang mengikut sistem yang bersesuaian. Penyusunan yang mengikut kod, sistem nombor jilid dan pelbagai sistem akan dapat mewujudkan proses kerja yang lebih pantas.



SEISO - SAPU

     Membersihkan tempat kerja dengan rapi supaya tiada habuk dan kotoran di lantai, meja, tingkap, pintu, dinding, mesin dan peralatan. Aspek kebersihan antara perkara yang sering kali dipandang mudah dan terlalu bergantung kepada warga kapal lain untuk melaksanakannya. Sebagai warga KD MAHAWANGSA, setiap individu bertanggungjawab menjaga kebersihan di tempat mereka bekerja. Di dalam amalan 5S, konsep ownership, tempat jagaan dan Person-In-Charge (PIC) seringkali digunakan untuk aktiviti SAPU. Apakah konsep ownership, tempat jagaan atau PIC? Ianya merupakan konsep yang digunakan di mana setiap warga kapal mempunyai tanggungjawab secara giliran untuk menjaga tempat atau barang milik jabatan masing-masing. Konsep ini biasanya ditandakan dengan gambar, label, gambar anggota yang dipertanggungjawabkan. Anggota yang ditugaskan bagi menjaga satu-satu kawasan mestilah boleh dihubungi dengan mudah.

SEIKETSU - SERAGAM

     Ianya bermaksud sentiasa memelihara kebersihan dan penyusunan sepanjang masa dengan mengamalkan Seiri-Seiton-Seiso secara berterusan dan berkesan. Secara ringkasnya bolehlah disimpulkan bahawa untuk mewujudkan keseragaman dalam amalan 5S di kapal, pelbagai kaedah akan dilaksanakan dengan mewujudkan dari semasa ke semasa panduan, peraturan serta arahan seperti Manual 5S ini untuk dipatuhi. Peraturan dan garis panduan ini akan membolehkan kos penyelenggaraan yang lebih rendah. Ini juga akan membantu dari segi kecekapan proses kerja kerana jika terdapat warga yang mungkin tidak biasa dengan amalan 5S boleh melaksanakannya dengan merujuk kepada Manual 5S tanpa mengambil masa yang lama untuk memahaminya.


SHITSUKE - SENTIASA AMAL

    Berdisiplin dan melatih semua warga mematuhi peraturan dan budaya kualiti di KD MAHAWANGSA. Amalan berdisplin dan melatih warga akan membawa ke arah penukaran budaya kerja yang lebih sistematik. Setelah keempat-empat langkah (SISIH, SUSUN, SAPU, SERAGAM) dilakukan, kapal mestilah mempunyai satu kaedah supaya warga dapat berdisiplin dan terus sentiasa mengamalkannya dengan berkesan. Ini dapat dijadikan sebagai satu platform ke arah budaya kerja yang cemerlang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...