Subscribe:

adds 468 x 60

Sunday, December 18, 2011

Majlis Makan Barbeque Menteri Pertahanan Bersama Editor Kanan Media




Kejayaan KD MAHAWANGSA mendapat keputusan yang cemerlang dalam Operational Readiness Evaluation baru-baru ini telah mendapat perhatian daripada seluruh warga Armada khasnya dan TLDM amnya.  Kejayaan ini disambut baik oleh pihak Markas apabila telah mengeluarkan kawat menjadikan KD MAHAWANGSA sebagai “Role Model” untuk kapal-kapal TLDM yang lain.  Justeru dengan semangat “The Best Damn Ship in The Navy” KD MAHAWANGSA tidak gentar untuk menerima apa sahaja tugas serta tanggungjawab yang diberi dan akan melaksanakannya sebaik mungkin.



Atas sebab itu, KD MAHAWANGSA telah diberi kepercayaan untuk dijadikan sebagai platform bagi Majlis Makan Barbeque Menteri Pertahanan Bersama Editor Kanan Media bertempat di Pelabuhan Tawau pada 21 Julai yang lalu. Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Pertahanan sendiri, Dato Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Panglima Armada Laksamana Madya Dato’ Wira Jamil bin Hj Osman, Panglima Markas Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin serta editor kanan media yang lain. Seramai 180 editor media yang terdiri daripada 16 jenis media berbeza seperti Berita Harian, Utusan, Samudera, Tempur dan banyak lagi turut hadir bagi memeriahkan majlis.

 Kapal telah memulakan misi pertama untuk satu tugas penting dari Pangkalan TLDM Lumut pada 12 Julai 2011 dan tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 16 Julai 2011 untuk mengambil keperluan barangan seperti meja dan kerusi untuk tetamu kehormat. Seterusnya kapal meneruskan pelayaran menuju ke Tawau pada 17 Julai. Kapal merapat di Pelabuhan Tawau pada 19 Julai jam 1400H. Setibanya di Pelabuhan Tawau, kesemua warga kapal bertungkus lumus melaksanakan persiapan bagi menyambut kedatangan Yang Berhormat Menteri Pertahanan.

 Dengan usaha gigih dan berterusan daripada keseluruhan warga 1 Mahawangsa, majlis tersebut telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Menu yang disediakan oleh staf KD MAHAWANGSA amat menarik perhatian tetamu yang hadir. Antara hidangan yang disediakan ialah lobster, payau bakar, kambing bakar, garlic bread, sup cendawan, air batu campur dan banyak lagi. Rata-rata media yang hadir pada malam itu seolah-olah tidak percaya bahawa masakan yang enak beraneka jenis serta cara persiapan majlis sebegitu rupa mampu disediakan di dalam sebuah kapal perang.

Majlis pada malam tersebut juga bertambah ceria apabila wujud idea pertandingan karaoke yang datangnya dari Yang Berhormat Menteri sendiri. Beliau secara spontan menyumbangkan hadiah kemenangan berupa wang secara tunai kepada pemenang dengan tempat pertama berjumlah RM 1000, tempat kedua RM 750 dan tempat ketiga RM 500. Seramai 18 penyertaan karaoke telah diterima pada malam tersebut untuk merebut hadiah kemenangan.  Yang Berhormat Menteri menyuarakan rasa kagum beliau kerana penyediaan persiapan majlis serta karaoke di dalam kapal seakan-akan seperti di sebuah majlis yang dilakukan di sebuah dewan besar.  Yang Berhormat Menteri mengakhiri majlis tersebut dengan upacara penyampaian cendera kenangan kepada wakil-wakil media yang menyertai program lawatan ke penempatan lokasi hadapan ATM di Sabah dan seterusnya beredar meninggalkan majlis pada jam 2230H.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...