Subscribe:

adds 468 x 60

Sunday, December 18, 2011

Kejohanan Mini Marathon Armada Tahun 2011

Artikel: navy.mil.my


Pada tanggal 24 Nov 2011 KD SRI INDERA SAKTI telah menganjurkan Kejohanan Mini Marathon peringkat Armada 2011. Kejohanan ini telah disertai oleh semua unit kapal yang berpangkalan di Lumut dan diadakan di Stadium Kompleks Sukan Pangkalan TLDM.

Penglibatan secara positif dan menggalakkan oleh semua unit sangat membanggakan. Kesungguhan dan kecekalan peserta yang terlibat telah membolehkan kita mencungkil bakat-bakat baru dalam acara mini marathon dan secara tidak langsung kejohanan ini dijadikan titik permulaan dalam persiapan menghadapi Kejohanan Mini Olimpik (KMO) pada tahun hadapan. Warga Armada juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim melalui kejohanan ini.

Para peserta mula berdaftar pada jam 0730 H dan melakukan aktiviti pemanasan badan 15 minit selepas taklimat keselamatan oleh pihak penganjur. Acara mini marathon dimulakan pada jam 0815 H dan para peserta dilepaskan oleh Pegawai Memerintah KD SRI INDERA SAKTI, Kept Roslan bin Mohd Yunus TLDM di trek larian stadium. Seramai 160 orang peserta terlibat dan pemenang dibahagikan kepada 2 kategori iaitu individu dan berpasukan.

Trek larian adalah sepanjang 12 km dan peserta melalui 3 check points untuk sampai ke garisan penamat iaitu di trek stadium. Kawalan trafik sepanjang kejohanan dikendalikan oleh Provos Tentera Laut (PROTELA). Pihak penganjur juga menyediakan bantuan perubatan kecemasan dan dibantu oleh beberapa staf perubatan kapal. Peserta pertama yang berjaya menamatkan larian ialah peserta daripada KD SRI INDERA SAKTI, Lt Dya Hazieki TLDM dengan catatan masa 59 minit. Seterusnya naib johan kategori individu ialah LK II HDI Mohd Nizan daripada KD PERANTAU dengan catatan masa 1 jam 5 minit dan tempat ketiga dimenangi oleh Lt Sukhbir Singh TLDM daripada KD JERAI dengan catatan masa 1 jam 6 minit.

Pemenang kategori berpasukan disandang oleh KD JEBAT dengan mengumpul sebanyak 42 mata. Naib johan pula ialah KD PERANTAU dengan 35 mata dan pemenang tempat ketiga ialah KD SRI INDERA SAKTI mengumpul sebanyak 33 mata. Seterusnya adalah pemenang kategori penyertaan terbanyak disertai 35 orang peserta iaitu KD LEDANG. Medal bagi kategori individu diberikan kepada 10 orang peserta terawal dan piala pusingan kategori berpasukan dianugerahkan kepada johan keseluruhan dan kategori penyertaan terbanyak dihadiahkan sebuah hamper. Majlis penyampaian hadiah diadakan pada jam 1100 H. Hadiah telah disampaikan oleh Pegawai Memerintah KD KASTURI dan diiringi Pegawai Memerintah KD SRI INDERA SAKTI selaku penganjur kejohanan pada kali ini. Majlis penyampaian hadiah selesai  pada jam 1145 H. Seterusnya jamuan ringan untuk pegawai-pegawai kanan serta warga Armada.

Selain daripada acara larian mini marathon, perlawanan persahabatan bola sepak telah diadakan di padang bola kompleks sukan. Perlawanan ini melibatkan pertembungan di antara pasukan pegawai-pegawai memerintah kapal serta pegawai kanan Armada menentang pasukan pegawai waren dan bintara Armada. Perlawanan ini diadakan untuk memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan warga Armada. Perlawanan persahabatan ini telah dimenangi pasukan pegawai waren dan bintara Armada dengan keputusan 5 jaringan berbalas 2.


Kejohanan mini marathon Armada pada kali ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meneruskan kecemerlangan sukan TLDM.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...