Subscribe:

adds 468 x 60

Tuesday, December 13, 2011

Kejayaan TLDM Dalam Operasi Menyelamat MT Nautica Johor Bahru




Pada tanggal 28 Oktober 2011 yang lalu, TLDM sekali lagi menempa kejayaan tersendiri  dalam aspek pengoperasian dan penguatkuasaan undang-undang maritim apabila berjaya menyelamatkan sebuah kapal tangki MT Nautica Johor Baru milik Syarikat E.A Technique (M) Sdn Bhd yang bernilai RM40 juta dan membawa muatan kargo bernilai RM 12 juta daripada dirampas oleh perampas yang disyaki berasal daripada Indonesia. Kejayaan ini sekali lagi dilakar dalam sejarah organisasi TLDM selepas kejayaan Ops Fajar di Teluk Aden, Somalia empat tahun yang lalu. Ini sekaligus menunjukkan bahawa TLDM dalam usia yang matang sentiasa bersiap sedia dan berada ditahap kesiagaan yang tertinggi pada bila-bila masa untuk diaturgerakkan.

Operasi melibatkan empat buah kapal TLDM iaitu KD MAHAWANGSA, KD JEBAT, KD LEKIU dan  KD KELANTAN bersama-sama dua buah pesawat Super Lynx  yang mana pada ketika itu sedang terlibat dalam Eksesais Bersama Lima 2011 di perairan Laut China Selatan. Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA ditugaskan untuk menjadi Ketua Gugus Tugas dan mengetuai operasi ini.  Setelah menerima maklumat bahawa kapal ini telah terkeluar daripada laluannya dan disyaki dirampas daripada pemilik syarikat iaitu Dato Abdul Haq bin Mohd Amin melalui Pusat Operasi Maritim Agensi Peguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sebuah pesawat Dolphin milik APMM telah diterbangkan bagi mengesan dan menjejaki posisi kapal.

 Pesawat berjaya mengesan kapal telah dicat separuh hurufnya di bahagian belakang kapal bagi dielakkan di kesan oleh pihak berkuasa. Kapal yang dirampas dalam pelayaran dari Melaka ke Sibu ini telah dilihat sedang menuju keluar daripada perairan negara dan telah disyaki menuju ke perairan Indonesia. Hasil perkongsian maklumat dan kerjasama maritim antara TLDM dan APMM ini, kapal-kapal TLDM yang ketika itu berada di Laut China Selatan telah diaturgerakkan untuk menjejaki kapal tangki tersebut. Dalam masa yang sama, sepasukan 42 orang anggota daripada KD PANGLIMA HITAM telah bersedia untuk digerakkan ke Kuantan menggunakan pesawat C130 bagi membantu jika keadaan menjadi genting.

Setelah dikesan, kapal yang membawa 19 orang anak kapal yang terdiri daripada warganegara Malaysia dan Indonesia ini terus dibanyangi serta diekori oleh kapal-kapal TLDM sehingga memasuki perairan Indonesia menghampiri kawasan Pulau Jemaja, Indonesia. Pelbagai tekanan bagi memujuk perampas untuk menyerah diri dan melepaskan kapal telah dilakukan tetapi perampas masih tidak mahu meninggalkan kapal. Didapati perampas adalah warganegara Indonesia yang berhasrat untuk menjual kapal kepada agen mereka di Pontianak, Indonesia. 

Hasil kesabaran dan kecekapan yang telah ditunjukkan oleh kapal TLDM dalam operasi ini akhirnya kapal MT Nautica Johor Bahru berjaya dimiliki semula apabila perampas-perampas telah melarikan diri dengan menggunakan sebuah bot kecil di kawasan perairan Pulau Jemaja. Semua anak kapal dalam keadaan selamat dan kapal telah diiring balik oleh kapal KD KELANTAN dan seterusnya bagi meneruskan Eksesais Bersama Lima 2011. Faktor komunikasi yang berterusan dan berkesan melalui sistem C4ITacX yang dipasang di kapal-kapal terlibat dan Pusat Operasi Armada juga dilihat sebagai pemangkin kepada kejayaan operasi ini apabila setiap data, maklumat penting telah disalurkan kepada unsur-unsur terlibat dengan cepat dan tanpa masalah.

Walaupun perampas tidak dapat ditangkap, namun usaha semua pihak dalam operasi menyelamatkan kapal tangki ini tetap merupakan kejayaan yang perlu kita banggakan. Sehubungan itu, pada 5 Nov 11, satu majlis sambutan ketibaan wira TLDM telah diadakan bagi menyambut kepulangan kapal-kapal di jeti Tambatan Pangkalan TLDM Lumut. Menurut Dato Abdul Haq bin Mohd Amin, sebagai rakyat Malaysia beliau amat berbangga kerana negara mempunyai organisasi seperti TLDM dan begitu berterima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha membebaskan kapal milik syarikat beliau.

Sekali lagi kejayaan TLDM ini telah memertabatkan organisasi ini ke satu tahap yang terbaik disamping meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada komuniti maritim dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta terus memelihara keamanan walau dimana sahaja ditugaskan. Semoga matlamat TLDM menjadi Tentera Laut bertaraf dunia akan dapat terus direalisasikan. Sedia Berkorban.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...