Subscribe:

adds 468 x 60

Thursday, December 01, 2011

KD MAHAWANGSA: Terbaik di kalangan yang terbaik

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB (iwan@thestar.com.my)

KD Mahawangsa diiktiraf sebagai 
'The Best Damn Ship in The Navy"
PENGALAMAN menikmati makan malam di kapal KD Mahawangsa milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sempena Lawatan Editor Kanan dan Wartawan ke Pangkalan Hadapan Operasi (Op) Pasir di Sabah baru-baru ini merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Manakan tidak, bukan semua orang berpeluang menaiki ‘kapal perang’ atau ‘kapal tentera laut’ dalam kehidupan sehariannya. Begitulah juga dengan penulis.
Tambahan pula kapal yang ditauliahkan pada 16 Mei 1983 itu mencatatkan kejayaan dalam Penilaian Kesediaan Operasi baru-baru ini sehingga dijadikan sebagai ‘role model’ untuk kapal-kapal TLDM lain.
Dikategorikan sebagai Multi Purpose Command Support Ship (MPCSS), ia berukuran panjang 103 meter, lebar 15 meter dan mempunyai kedalaman perut lima meter.


KD Mahawangsa mampu bergerak dengan kelajuan 16.5 knot 
dilengkapi dengan persenjataan berat, radar dan keupayaan 
kargo dalam jumlah yang besar
Pegawai Memerintah KD Mahawangsa TLDM, Kepten Jamil Abd Rahman berkata, secara dasarnya kapal tersebut boleh melakukan tugas sejajar dengan fungsinya sebagai kapal pemerhati dan logistik.
“Walaupun KD Mahawangsa sudah berusia hampir 30 tahun namun kapal itu masih dalam keadaan baik dan boleh terus berfungsi.
“Kesiagaan semua pegawai dan anggota menunjukkan komitmen yang jitu untuk terus mengadakan operasi sama ada di perairan tempatan mahupun antarabangsa,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar di KD Mahawangsa sewaktu kapal itu berlabuh di Tawau dalam pelayarannya dari Kota Kinabalu ke Sandakan yang sedang menjalankan operasi perairan dan logistik.
Misi kemanusiaan
Jamil yang memegang jawatan itu pada 14 Julai 2010 berkata, kapal tersebut sebelum ini pernah terbabit dengan misi bantuan kemanusiaan untuk pelarian Afghanistan di Pakistan pada 2001 dan pelarian Somalia pada 1994.
“KD Mahawangsa juga pernah berlayar ke Teluk Aden bagi melindungi kapal-kapal milik MISC Berhad daripada ancaman lanun pada September 2008,” katanya.


Sebahagian editor kanan dan wartawan menaiki tangga ke 
kapal KD Mahawangsa untuk menikmati makan malam
Sebagai kapal logistik, ia membantu dari segi keupayaan sokongan di Timor Leste sewaktu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerangi keganasan di Dili.
Perairan Teluk Aden dan sekitar Somalia diklasifikasikan sebagai tidak selamat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan jumlah keganasan lanun yang sangat berleluasa.
Pelayaran sejauh kira-kira 555 kilometer dari Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor ke Pelabuhan Krueng Beukuh di Kecamatan Dewantara, Aceh Utara menyaksikan KD Mahawangsa memikul tanggungjawab membawa pelbagai bentuk bantuan dalam misi kemanusiannya menerusi Operasi (Ops) Tsunami berikutan bencana tsunami di Aceh pada 2004 yang melenyapkan ratusan ribu nyawa dan kemusnahan teruk di wilayah itu.


Kepten Jamil Abd Rahman
“KD Mahawangsa banyak terlibat dalam misi kemanusiaan selain menjalankan operasi perairan dalam mempertahankan negara namun kekuatan terletak pada moral tinggi pegawai dan anggotanya meskipun dilanda pelbagai cabaran,” kata Jamil.
Selain itu Jamil berkata, kapal yang diberikan pensijilan MS ISO 9001:2008 berdasarkan pencapaiannya memenuhi piawaian dalam Sistem Pengurusan Berkualiti turut dijadikan sebagai kapal latihan.
“Antaranya melibatkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan pada masa ini, terdapat seramai 30 pegawai kadet kanan dari UPNM menyertai latihan di KD Mahawangsa bagi menjalani latihan tahun akhir,” katanya.
Tidak gentar
Sumbangan besar KD Mahawangsa bersesuaian dengan pengiktrafannya sebagai The Best Damn Ship in The Navy yang membawa semangat tidak gentar untuk menerima apa saja tanggungjawab dan tugas yang diberi dan melaksanakannya sebaik mungkin.


Penggunaan platform atau lantai bergerak yang boleh memuatkan kira-kira 
50orang pada satu-satu masa yang bergerak secara perlahan turun ke ruang bawah
Pada masa ini, kapal tersebut mampu bergerak dengan kelajuan 16.5 knot dilengkapi dengan persenjataan berat, radar dan keupayaan kargo dalam jumlah yang besar mempunyai seramai 25 pegawai dan 135 anggota.
Mungkin pengalaman penulis bersama editor-editor kanan dan wartawan lain di kapal KD Mahawangsa hanya sekadar menikmati makan malam namun ia cukup bermakna kerana turut disertai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datuk Wira Jamil Osman.


Kapal KD Mahawangsa pada waktu malam
Dan mungkin juga tiada siapa yang percaya makan malam yang beraneka jenis hidangan seperti udang galah, payau bakar, kambing bakar, sup cendawan dan air batu campur (ABC) mampu disediakan dalam sebuah kapal perang.
Penulis bersama yang lain perlu menggunakan platform atau lantai bergerak yang boleh memuatkan kira-kira 50 orang pada satu-satu masa yang bergerak secara perlahan turun ke ruang bawah yang dianjurkan majlis makan malam.
Difahamkan, KD Mahawangsa kini berada di Sandakan bagi meneruskan operasi pemerhati dan logistiknya sebelum pulang kembali ke Kota Kinabalu dan dijangka berada di Pangkalan TLDM di Lumut, Perak menjelang akhir Ogos ini.
Pengalaman berada dalam KD Mahawangsa akan diabadikan sebagai kenangan dan diharapkan agar penulis diberikan peluang untuk menyertai The Best Damn Ship in The Navy itu bagi membuat liputan mengenai misi bantuan kemanusiaan akan datang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...