Subscribe:

adds 468 x 60

Monday, November 28, 2011

Falsafah Pemerintah


     Sebagai seorang pemerintah saya pastinya mempunyai falsafah tersendiri. Saya semestinya inginkan yang terbaik bagi kapal ini. Iltizam serta visi saya sebelum menjawat jawatan Pegawai Memerintah adalah untuk menjadikan kapal ini sebuah kapal yang terbaik dan disegani di Armada TLDM. Saya berharap seluruh warga kapal menikmati masa yang menggembirakan, menggunakan ilmu pengetahuan yang dimiliki serta komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan sepanjang saya menjadi Pegawai Memerintah. Kerjasama dan semangat kerja berpasukan amat diperlukan dalam melaksanakan sesuatu tugas dan saya berkehendakkan seluruh warga KD MAHAWANGSA dapat mewujudkan semangat “1 MAHAWANGSA” iaitu pegawai dan anggota bersatu padu dalam apa jua aktiviti yang dilaksanakan demi memastikan kapal ini sentiasa berada di landasan yang betul serta menjadi “benchmark” untuk kapal-kapal lain. Sebagai kapal terkanan di Armada TLDM adalah amat penting untuk KD MAHAWANGSA menjadi yang terbaik dan contoh kepada kapal-kapal lain.

PENGHARAPAN


           Sebagai Pegawai Memerintah, pengharapan saya dari seluruh warga 1 MAHAWANGSA boleh disingkatkan sebagai “ÁCT” iaitu Attitude (Sikap), Continuous Learning (Belajar Secara Berterusan) dan Teamwork (Semangat Berpasukan).


a) Attitude (Sikap). Sekiranya ada satu sahaja elemen perlu diubah dalam diri kita untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, elemen tersebut adalah sikap. Dengan mengubah sikap diri sendiri (dalaman), ia akan mengubah kejayaan kita (luaran). Mereka yang berjaya menanamkan sikap melakukan kerja yang sukar, penting dan memberi pulangan manakala mereka yang tidak berjaya menanam sikap suka melakukan kerja yang mudah, tidak penting & sentiasa untuk mencari alasan dalam melakukan sesuatu. Justeru, harapan saya agar warga kapal mempunyai sikap yang positif dan berkehendakkan seluruh warga kapal sentiasa berfikiran “Saya boleh melaksanakannya” berbanding “Saya tidak mampu melaksanakannya”. Warga kapal hendaklah memfokuskan kepada mencari penyelesaian kepada masalah dan bukan hanya menuding jari atas masalah tersebut bahkan dapat menyumbang kepada penambahbaikan yang berterusan. Lihatlah serta hargailah kepada kelebihan orang lain dan jangan hanya mencari kelemahan dan kesalahan orang lain. Saya berkehendakkan seluruh warga kapal terutamanya pegawai dan bintara dapat memimpin anggota bawahan serta membimbing mereka menjadi warga yang berilmu serta pengetahuan kerana pelapis ini yang bakal menerajui masa hadapan TLDM. Semua warga kapal harus merasakan pekerjaannya penting maka dirinya sendiri adalah penting, setiap tugas yang diamanahkan harus dilakukan sebaik mungkin untuk penghasilan Kelas Pertama.



b) Continuous Learning (Belajar Secara Berterusan). Pembelajaran secara berterusan dapat meningkatkan lagi keyakinan diri dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Saya berkehendakkan semua warga kapal berusaha untuk memajukan diri dalam semua aspek baik dari aspek karier mahupun kehidupan peribadi. Bak kata pepatah orang tua berkata “mahu seribu daya tidak mahu seribu dalih”. Jangan jadikan alasan pangkat, kewangan dan kekangan masa satu alasan utama untuk terus menimba ilmu. Yang berpengetahuan, bimbing serta bantulah warga lain untuk terus maju. Yang berpengalaman pula, berilah panduan serta tunjuk ajar yang baik dan berterusan kepada warga yang baru agar masa depan seluruh warga 1 MAHAWANGSA menjadi individu yang positif, produktif, berilmu dan berpengetahuan tinggi. Ingatlah bahawa ilmu pengetahuan adalah kuasa!!


c) Teamwork (Semangat Berpasukan). Kerja berpasukan merupakan perkara utama dalam menjayakan sesuatu sasaran serta objektif yang ingin dicapai. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” bermaksud perkara yang difikirkan sukar untuk dilakukan dapat dilaksanakan jika ramai yang ringan tulang untuk membantu melaksanakannya. Justeru saya berkehendakkan semua warga 1 MAHAWANGSA tidak mementingkan diri sendiri yang hanya ingin melepaskan tengkuk sendiri tanpa melihat sahabat lain yang dalam kesusahan. Kita seharusnya saling membantu antara satu sama lain kerana kita berada di bawah satu organisasi yang sama dan semangat kekeluargaan perlu disemarakkan pada setiap peringkat tidak kira pegawai mahupun anggota.


PENERIMAAN


        Seluruh warga 1 MAHAWANGSA yang saya sayangi boleh mengharapkan untuk menerima “LEAD” daripada saya sebagai Pegawai Memerintah. “LEAD” mewakili Leadership (Kepimpinan), Engage (Ambil Bahagian), Accountability (Bertanggungjawab), dan Development (Kemajuan).


a) Leadership (Kepimpinan). Sebagai seorang pemerintah semestinya sikap kepimpinan perlu wujud dalam diri saya. Justeru saya sedaya upaya akan memimpin 1 MAHAWANGSA dengan pengalaman, ilmu serta pengetahuan yang saya miliki. Saya tidak akan hanya memberi arahan untuk melaksanakan sesuatu perkara tetapi saya akan sendiri turun padang untuk memberi panduan bagaimana untuk melaksanakan perkara tersebut dengan cara yang betul dan mengikut garis panduan sewajarnya. Pemerintah merupakan “role model” bagi sesebuah organisasi tidak kira awam atau tentera, justeru saya selaku Pegawai Memerintah KD MAHAWANGSA berjanji akan menunjukkan sikap dan teladan yang baik untuk semua jadikan contoh. Saya berjanji akan sentiasa mengutamakan moral dan kebajikan warga kapal dijaga sebaik mungkin.


b) Engage (Ambil Bahagian). Sebagai pemerintah, saya tidak mahu warga kapal bekerja untuk saya tetapi saya mahu semua warga 1 MAHAWANGSA bekerja bersama-sama saya. Saya akan mengamalkan sikap “turun padang” untuk turut sama mengambil bahagian bersama-sama. Ini kerana sikap turun padang adalah perkara yang penting dalam usaha mencapai apa yang saya hajati. Kita perlu berkongsi informasi secara bersama dan saling berhubungan dalam memastikan kita semua memahami dan memperoleh perkara yang sama. Hanya dengan kaedah ini sahaja kita mampu mencapai apa yang kita hajatkan dan dapat menerapkan semangat 1 MAHAWANGSA.


c) Accountability (Bertanggungjawab). Tugas Pegawai Memerintah bukan sahaja memegang amanah yang diberikan perkhidmatan tetapi juga bertanggungjawab terhadap apa jua yang berlaku di kapal. Segala tindakan warga 1 MAHAWANGSA sama ada di dalam perkhidmatan ataupun dengan kehidupan seharian, ia tetap akan membawa bersama nama KD MAHAWANGSA. Seterusnya nama saya sebagai Pegawai Memerintah juga akan terlibat sama. Saya tidak pernah gentar dengan tugas dan tanggungjawab ini. Saya meletakkan seluruh kepercayaan saya kepada semua sebagai warga 1 MAHAWANGSA untuk berkhidmat bersama-sama saya berasaskan nilai-nilai teras TLDM iaitu Kemuliaan, Kesetiaan, Keberanian dan Kebanggaan.


d) Development (Kemajuan). Saya komited untuk mencurahkan pengetahuan dan pengalaman yang saya miliki demi memajukan dan meningkatkan 1 MAHAWANGSA sebagai warga KD MAHAWANGSA bukan sahaja dalam aspek profesionalisme tetapi juga sebagai individu. Saya yakin, selepas menamatkan tugas di kapal ini, saudara-saudara akan menjadi individu berbeza dari aspek kemajuan pengetahuan dan keyakinan diri. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip warga 1 MAHAWANGSA adalah aset terpenting yang saya miliki dan perlu dijaga sebaik mungkin.



PENUTUP


Marilah kita merealisasikan KD MAHAWANGSA sebagai sebuah kapal atau organisasi yang hebat dan sentiasa berada di landasan yang betul. Saya yakin dan percaya dengan adanya warga kapal yang berwibawa, komited serta berpengetahuan dan akan menjadikan kapal ini sebuah kapal yang boleh dijadikan benchmark oleh kapal-kapal lain di Armada. Ingatlah bahawa “ACT” dan “LEAD” mampu diaplikasikan dalam setiap proses yang kita lakukan untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di sepanjang perkhidmatan kita di kapal ini. Saya berharap agar seluruh warga 1 MAHAWANGSA dapat membuat perubahan dari aspek kerjaya dan peribadi agar kita semua senantiasa menuju ke arah kejayaan. Akhir kata saya berdoa kepada Allah Yang Maha Esa agar sentiasa mengurniakan kesejahteraan dan rahmat-Nya ke atas seluruh warga 1 MAHAWANGSA dan keluarga.



“Sedia Berkorban”


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...